Seluruh negeri Hutan Chempaka bergegar. Bukan dek gempa bumi. Tetapi kerana kalutnya rakyat hutan itu apabila mendengar berita baru yang telah diumumkan utusan negeri. Hutan Chempaka tidak seperti hutan-hutan lain. Di sini, penduduknya hanya ada serangga dan tumbuh-tumbuhan.

“Satu lagi bandar bakal dibuka, berjiran dengan Sungai Diraja. Tetapi kepala negeri telah membuat keputusan untuk tidak meletakkan nama kepada bandar itu. Satu pertandingan akan dibuat, dan rakyat negeri ini diberi peluang menentukannya…” Kata utusan Sultan kepada rakyat Hutan Chempaka.

Pak Lawang yang merupakan seekor belalang tua itu meneruskan bacaan. Walaupun lambat, rakyat Hutan Chempaka setia menanti dengan debarnya.

“Peraduan itu akan dijalankan seperti berikut: Hidupan mana yang paling besar antara calon yang bertanding akan menjadi pemenang. Dan namanya akan diabadikan menjadi nama bandar baru yang akan dibuka. Pemenang juga akan menjadi wakil Sultan bagi menghidupkan bandar itu. Syarat-syarat bertanding adalah; calon mestilah rakyat Hutan Chempaka. Calon akan dipindahkan ke bandar itu dan calon diberi masa tiga purnama untuk menambah kebesaran badan di sana. Sultan Yang Mulia sendiri akan menjadi juri pada hari pemutusan nanti.”

“Berikan nama calon kepada aku sekarang. Dan tempoh tiga purnama itu akan bermula, mulai hari ini!” Pak Lawang menyudahkan bacaan perutusan itu.

Tergamam rakyat dibuatnya. Mereka mula berfikir siapakah hidupan paling besar yang boleh dinamakan sebagai calon bertanding. Serangga-serangga kecil seperti semut dan anai-anai awal-awal lagi sudah mengaku kalah. Jadi mereka bersepakat untuk menjadi penyokong pada calon yang dirasakan baik untuk menjadi wakil bandar itu nanti.

Tinggallah serangga-serangga besar yang masing-masing merasa bangga dengan tubuh sendiri. Kumpulan serangga seperti kumbang, lipas dan lipan sibuk mencalonkan nama mereka sendiri.

Di keramaian itu, ada satu pohon yang berfikir dalam-dalam.

“Hmm, Sultan membuka peraduan ini pada rakyat jelata. Dan aku juga rakyat negeri ini. Aku lebih besar dari semua serangga itu. Hanya aku sudah tua. Dan akarku membenam ke dasar bumi. Mana mungkin aku boleh bertanding. Kerana aku tidak boleh begerak dan berpindah ke bandar itu!” Gumamnya seorang diri.

Pohon itu namanya Cenar, dia menyampaikan hasratnya pada temannya Kak Lang; sejenis lalang yang hidup liar di Hutan itu. Kak Lang akhirnya mendapat satu akal;

“Kamu kan boleh mengeluarkan benih, wakilkan benih kamu saja untuk bertanding. Dan mintalah serangga-serangga yang baik hati untuk menjaganya di sana.” katanya.

“Benar juga kata Kak Lang. Baiklah, saya tahu benar siapa yang boleh diharapkan.” Kata Cenar.

***

Pak Lawang kelihatan sibuk mendaftarkan nama peserta. Serangga-serangga yang mendaftarkan diri masing-masing yakin mereka boleh menjadi pemenang. Sehingga tiba-tiba sebatang kaki labah-labah berbulu menjunam ke bumi betul-betul di hadapan Pak Lawang. Sebatang kaki sahaja sudah lebih tinggi dari Pak Lawang. Inikan pula bila dihitung dengan kelapan-lapan kaki labah-labah itu.

Semua serangga-serangga yang menggerumuni Pak Lawang tadi mendongak kepalanya di atas. Badan labah-labah gergasi itu saja sudah menutup pandangan mereka dari melihat langit. Bayang-bayang tubuhnya saja sudah menutup kehangatan mentari yang seakan memadam seluruh semangat mereka untuk bertanding.

“Inikah dia labah-labah terbesar dunia yang disebut-sebut orang itu? Aku fikir ia kisah dongeng.” Kata seokar lipas kepada temannya.

Iya, labah-labah itulah serangga paling besar di Hutan Chempaka. Namun ramai yang tidak menyedari kewujudannya. Mungkin kerana sifat pemangsa menjadikan orang takut mahu mendekatinya.

“Daftarkan nama aku sebagai calon. Padamkan saja nama calon-calon lain. Aku yakin, tiada yang dapat menandingi aku di Hutan Chempaka ini!” Kata labah-labah itu penuh angkuh. Mulutnya yang bertaring itu menakutkan semua serangga yang lain.

“Ba,ba,baikk, apakah nama tuan?” Tanya Pak Lawang. Berketar-ketar tangannya mahu menulis.

“Nama aku Janavar. Makhluk yang berbisa dan boleh memusnahkan lawan sekelip mata.”

Pak Lawang mencatit namanya. Nama asing yang tak pernah didengarnya sebelum ini. Janavar tersenyum sinis. Dia melangkah penuh bergaya ke hadapan perkumpulan serangga itu.

“Wahai seluruh serangga di hadapan aku, jika kalian mahu selamat dan mahukan sebuah bandar baru yang makmur untuk semua, maka patuhilah arahan aku. Jika tidak, maka hadapilah risikonya.” Seruan Janavar kepada rakyat Hutan Chempaka adalah seruan jaminan dalam masa yang sama, seruan ugutan.

Serangga-serangga yang asalnya mahu bertanding tadi pun takut untuk melawan kata Janavar. Apatah lagi mahu bertanding dengannya dalam pertandingan ini. Mereka takut Janavar akan memakan seluruh keturunan mereka.

Maka ada di antara mereka yang berjanji akan menjadi penyokong setia Janavar agar dia menang nanti. Bagi sebahagian mereka, biarlah Janavar pergi jauh ke bandar baru, tidak mengganggu ketenteraman rakyat di tempat lama mereka.

Mereka bersurai. Tentera-tentera Sultan diperintahkan untuk mengiringi Janavar dan pendokongnya ke bandar baru itu. Pak Lawang bergegas ke istana, mahu melaporkan apa yang terjadi.

Kiranya, hanya Janavarlah calon tunggal pertandingan itu. Dia sudah menang tanpa bertanding!

Tiba-tiba Lebai Mut, seekor semut memanggil-manggil Pak Lawang dari belakang.

“Pak Lawang! Oh Pak Lawang. Tunggu aku.” Katanya, nafasnya tercungap-cungap mengejar Pak Lawang.

Pak Lawang berhenti, dan melihat siapa yang memanggilnya tadi.

“Kamu rupanya Mut. Ada apa?”

“Aku, aku…” Lafaznya masih terputus-putus. Lelah barangkali.

“Aku mahu mendaftarkan calon baru untuk peraduan itu.” Sambung Lebai Mut.

“Siapa?” Tanya Pak Lawang.

Lebai Mut mengeluarkan sebuah benda bulat di dalam beg sandangnya. Ia adalah biji benih Pohon Cenar. Masih tidur dalam selaput benihnya.

“Inilah calonnya, namanya Cenarjik, biji benih Cenar. Dia minta saya tanam biji benih ini di bandar baru itu nanti.” Lebai Mut menerangkan keadaannya.

Lebai Mut antara teman rapat Cenar. Lebai Mut lah yang selama ini menggembur tanah agar Cenar boleh terus membesar. Lebai Mut tahu benar seni menumbuhkan sebuah pokok.

“Hmm, tapi ia terlalu kecil. Kamu tahu kan Janavar itu terlalu besar. Tiada satu pun calon lain yang berani bertanding dengannya. Inikan biji benih kecil seperti ini!” Kata Pak Lawang. Pak Lawang lebih gemar jika Janavar menjadi calon tunggal. Tiada pertandingan, bermaksud kerjanya lebih mudah.

“Pak Lawang sudah lupa isi surat yang dibaca tadi? Bukankah tempoh yang diberikan adalah tiga bulan? Percayalah pada saya, dalam masa tiga bulan biji benih ini akan tumbuh dengan besar. Keturunan Cenar itu keturunan pohon ajaib. Mereka adalah pohon diraja nenek moyang di Hutan Chempaka. Mereka cepat tumbuh, dan boleh mengeluarkan benih-benih baru yang sihat nanti. Jika benih ini menang, bandar itu akan membangun dengan sejahtera. Akan banyak manfaat untuk rakyat kita. Pak Lawang pun tahu, aku dan keluarga sudah lama berlindung di bawah akar pohon ini, kami selamat tinggal di dalammnya.” Lebai Mut cuba meyakinkan.

“Aku faham hasrat kamu. Tapi kamu tahu bukan siapa Janavar? Dia akan lakukan apa saja untuk memusnahkan lawannya?” Kata Pak Lawang.

“Janavar juga perlukan benih ini untuk hidup. Berilah kami peluang Pak Lawang!” Lebai Mut memberikan kata-kata terakhir.

“Baik, aku akan daftarkan nama biji benih ini. Pastikan ianya tumbuh dengan baik. Aku tak mahu Sultan berfikir aku menguruskan peraduan ini sambil lewa.” Pak Lawang melontarkan amaran. Dia berat hati untuk mengubah pendiriannya. Walaupun Pak Lawang tahu, biji benih ini akan memberikan harapan baru buat rakyat jelata.

“Baiklah, serahkan pada aku. Keturunan pohon ini keturunan baik-baik. Campaklah ke mana saja, pasti akan berbudi buat semua.” Lebai Mut tersenyum.

“Aku harus berangkat lekas. Sultan pasti sudah lama menunggu.” Pak Lawang mahu menutup perbualan. Beliau berlalu tanpa teragak-agak.

Lebai Mut menghela nafas panjang. Dia tahu urusan ini tidak mudah. Tetapi calon kecil ini tidak akan mengecewakan.

***

“Kamu wajib hidangkan sepuluh ekor serangga kecil setiap hari untuk santapan aku. Tidak kira hidup atau mati. Kalau tidak kamu semua akan aku kerjakan.” Kata Janavar kepada pengikut-pengikutnya.

Pengikut-pengikut itu terpaksa menurut sahaja perintah Janavar. Mereka tak sanggup menggadaikan nyawa sendiri. Lebih baik serangga-serangga kecil lain yang terkorban, daripada mereka dan ahli keluarga!

Setiap hari pasti ada sepuluh ekor serangga hilang diculik di Hutan Chempaka. Tiada siapa tahu mereka dibawa ke mana. Namun yang pasti Janavar semakin besar setiap kali bilangan mereka yang hilang bertambah.

***

“Ahhh, aku tak sanggup lagi buat kerja ini. Aku lebih rela tinggal saja di kawasan lama kita. Aku rasa diperhambakan Janavar! Pantang keturunan aku diperhambakan. Aku juga adalah pemangsa, mengapa kini aku yang hidup menjadi mangsa!” Bentak Bojek. Dia adalah lipas yang paling besar di Hutan Chempaka.

Serangga-serangga besar yang berada dalam perkumpulan itu terkejut dengan protes Bojek. Tiada siapa berani membantah.

“Aku pun bersetuju dengan Bojek. Sejak kita menjadi pengikut Janavar, rakyat Hutan Chempaka sudah tidak menghormati kita. Mereka pandang rendah pada ahli keluarga kita. Kita sendiri, jadi tidak berani untuk keluar memburu seperti dulu! Sumpahan apakah ini?!” Kata Umbang. Ketua segala kumbang di hutan itu.

“Kamu semua mesti perasan, sejak kita bekerja menjadi penyokong Janavar, kita semua susah mendapatkan makanan. Serangga-serangga kecil tahu benar bahawa kita ini muka penculik. Kita mencari mangsa lebih daripada keperluan harian kita. Sedangkan semua yang kita dapatkan, semuanya dirampas Janavar. Sungguh aku panas hati dengan ketamakannya.” Jelas Injing. Dia pula adalah kala jengking yang telah dibuang keluarga kerana bersetuju menjadi pengikut Janavar.

“Kita semua mesti membuat keputusan segera. Selera Janavar sudah melanggar undang-undang Hutan Chempaka. Bukankah sudah jelas dalam undang-undang, setiap haiwan hanya boleh berburu sekadar keperluan? Dan tidak pernah dalam sejarah di Hutan Chempaka ini ada serangga yang menggunakan serangga-serangga lain untuk menyara hidupnya! Kita perlu akhiri semua ini.” Kata Bojek. Sepertinya dialah yang sedang mengetuai perbincangan.

“Aku setuju. Sampai bila kita mahu turut menjadi penjenayah di Hutan Chempaka ini. Kalaupun nanti Janavar menang, Sultan pasti menghukum kita kalau Sultan tahu apakah yang telah kita lakukan selama ini.” Kata Umbang.

“Tetapi kawan-kawan…” Injing bersuara.

Semua pandangan beralih padanya.

“Janavar itu berbahaya. Kamu semua sudah lupa pada ugutannya? Nyawa kita semua jadi taruhan.” Injing mengingatkan.

Semua yang berada di situ termenung panjang. Masing-masing berfikir apa yang perlu dilakukan.

“Aku ada akal, mengapa kita tidak gunakan saja pohon yang sedang membesar di bandar ini. Bukankah pohon itu satu-satunya lawan Janavar dalam peraduan ini? Janavar itu egonya besar. Tapi selalu gopoh bila berfikir. Kita cabar dia mendepani pohon itu seorang diri untuk membuktikan kehebatannya. Pasti dia akan sahut cabaran ini. Janavar itu seperti namanya, pantang dicabar!” Kata Bojek sambil ketawa besar.

“Tapi aku tak berani mencabar serangga seperti Janavar. Pandangannya saja sudah membuatkan aku mahu menyorok di dalam tanah.” Kata Injing.

“Aku pun.” Kata Umbang.

Suasana suram, sepertinya tidak ada yang berani mengambil langkah seterusnya.

Namun, tiba-tiba Bojek bersuara:

“Tidak mengapa, biar aku yang bercakap sendiri dengannya.” Kata Bojek sambil matanya tajam memikirkan helah yang bakal disusun.

***

Pada sela waktu yang sama, Lebai Mut sedang melihat tumbesaran Cenarjik. Biji benih yang ditanamnya sudah membesar dengan baik. Bahkan kini sudah boleh bertutur sepeti ibunya.

“Lebai Mut, aku haus. Tolonglah hantarkan air untuk aku minum.” Cenarjik merayu.

“Jangan risau, akar kamu sudah membesar ke dalam tanah. Sebentar lagi kamu akan menemukan sumber air di dalamnya. Pada waktu itu kamu tidak perlu bimbang lagi dengan siapa yang bakal menjaga makan minummu.” Kata Lebai Mut girang. Dia turun ke dalam tanah, akar Cenarjik sudah sepuluh meter panjang menjalar ke dalam bumi.

“Tapi aku tak yakin aku boleh hidup tanpa bantuan kamu Lebai Mut.” Cenarjik bersuara dengan nada sayu.

“Kamu tidak perlu bimbang, aku ada mahupun tidak, pohon sihat seperti kamu selalunya pandai menjaga diri. Akar kamu akan menjadi sangat kuat, sampai ia boleh membelah tanah-tanah keras. Dan pucuk-pucuk kamu itu akan menumbuhkan ranting-rating panjang dan daun-daun yang lebat? Cahaya mentari akan kamu manfaatkan sebaiknya!”

Cenarjik masih tidak yakin diri. Kerana dia tidak mengenali dirinya sendiri. Bahkan dia tidak tahupun apa kelebihannya. Hanya Lebai Mut saja yang tahu.

“Aku hanya pohon kecil, mana mungkin aku boleh lakukan seperti yang Lebai Mut gambarkan.

Lebai Mut ketawa kecil. Dia faham benar sifat terburu-buru Cenarjik.

“Kamu memang masih kecil. Tapi kamu ada potensi untuk menjadi pohon besar. Izinkan diri kamu untuk membesar dengan baik. Ramai yang takut untuk membesar, kerana tidak percaya pada potensi diri. Ramai yang mengabaikan kelebihan diri dan selesa menjadi dirinya yang kecil. Aku tahu, kamu bukan keturunan yang menyia- nyiakan kelebihan itu.”

Cenarjik mendengar dengan tekun. Dia mengutip semangat baru dari kata-kata Lebai Mut.

Tiba-tiba dia rasakan sesuatu berlaku pada dirinya. Akarnya dirasakan semakin memanjang. Ia mencapai air bawah tanah, sumber air terus meresap dibawa ke atas. Kemudian dirasakannya pucuk-pucuknya memanjang dengan cepat. Dedaunan tumbuh melebat satu persatu. Cepat benar ia matang. Sinaran mentari menjadikan pohon itu kelihatan semakin menyerlah.

Lebai Mut sendiri terpegun melihat perubahan dihadapannya.

“Pohon Ajaib! Sesuai benar nama ini diberikan kepada keturunan kamu sejak dulu!” Kata Lebai Mut memberitahu sejarah nama sebenar keturunan Cenarjik.

“Pohon Ajaib?” Tanya Cenarjik.

“Iya, kerana kamu adalah keturunan pohon yang tumbuh dengan ajaib. Kerana itu keturunan kamu digelar Pohon Ajaib. Sehingga sultan berkenan menjadikan jenis kamu sebagai pohon diraja.”

Cenarjik seperti tidak percaya.

“Tetapi, serangga seperti kamulah yang selama ini membantu kami bertumbuh. Sepatutnya Sultan memilih kamu menjadi penasihat diraja.” Cenarjik menyatakan pendapat jujurnya.

“Mereka hanya memanggil aku lebai. Tidak seharusnya aku dijunjung sesiapa.” Lebai Mut menunduk.

“Lebai? Mengapa mereka memanggilmu lebai?”

“Dahulu aku ahli hikmat. Aku suka memberi nasihat dan kata-kata semangat. Namun masyarakat Hutan Chempaka tidak gemar pada serangga yang hanya pandai berkata-kata seperti aku. Mereka adalah masyarakat yang rajin bekerja. Mereka mahukan hasil. Bagi mereka, kata-kata tidak dapat menumbuhkan rezeki….” Kata- kata Lebai Mut terhenti.

“Kerana itu mereka memanggil aku lebai. Lebai adalah seorang berilmu dan menyampaikan ilmunya. Sedangkan tiada tempat untuk seorang lebai dalam hutan Chempaka. Panggilan itu lekat padaku sehingga hari ini.” Ayatnya disudahkan dengan lemah longlai. Hiba mengenangkan nasibnya dipulaukan masyarakat serangga Hutan Chempaka.

“Kerana itu juga aku memutuskan untuk menggunakan sisa hidup aku menolong pohon-pohon. Hanya mereka yang sudi menerima aku. Dan aku beruntung dipertemukan dengan keturunan pohon ajaib seperti keluarga kamu!” Lebai Mut mahu memujuk diri.

“Akulah yang beruntung. Kerana kamu lah yang memberi aku semangat dengan kata- katamu. Dan aku tak akan mampu membesar seperti ini tanpa semangat dari kamu Lebai Mut!”

Lebai Mut mengukir senyum terharu. Pertama kali kelebihannya dihargai orang.

“Sudahlah, mengapa kita bicarakan hal-hal yang tidak berguna. Kita patut meraikan pertumbuhanmu saat ini. Aku akan khabarkan berita gembira ini pada ibu kamu.” Lebai Mut cuba mengalihkan perbincangan. Dia tidak mahu perbualan itu dipanjang- panjangkan.

Lebai Mut berangkat ke kota lama. Dia tidak sabar melihat reaksi Cenar mendengar berita ini.

***

“Wahai Tuan Janavar, tahukah Tuan ada calon baru yang bertanding dengan tuan di bandar baru ini?” Tanya Bojek. Dia cuba berhemah dalam menyusun kata.

“Aku sudah lama tahu. Tapi dia hanya sebuah biji benih. Bodoh benar serangga yang mencalonkan biji benih sekecil itu. Tidakkah dia tahu bahawa aku jauh lagi besar?” Janavar berkata sambil tertawa angkuh.

“Tetapi tuan, biji benih itu sudah membesar menjadi sebuah pokok. Sedikit lagi mahu menjadi sebesar tuan.”

“Apa kamu kata?! Biji benih itu boleh membesar secepat itu?!”

“Iya tuan. Malah kami dengar dia memperlekehkan usaha kami menyokong tuan. Katanya tak lama lagi Janavar akan dikalahkan.” Bojek cuba memancing kemarahan Janavar.

Janavar bungkam. Dia memusingkan badannya ke arah Bojek.

“Sssss!” Bunyi sengatannya bergema. Janavar menunjukkan taring terbesarnya kepada Bojek untuk mengugut.

Bojek terkelu. Langkahnya mengundur ke belakang kerana takut.

Tidak lama kemudian Janavar bersuara. Kali ini dengan suara yang kasar.

“Apapun yang terjadi, aku akan kalahkan pokok tidak sedar diri itu. Mulai hari ini, tambahkan dua kali ganda makanan harian aku! Aku sendiri akan bersemuka dengan pokok itu, dan aku akan memberinya pelajaran!” Katanya sambil menghentak kaki hadapannya ke tanah.

“Ba, ba.. baikk tuan.” Bojek mengangguk dan cepat-cepat melarikan diri.

***

“Apa!? Dua kali ganda!? Kau gila?! Sudahlah makanan hariannya sebelum itu pun kita sukar dapatkan. Inikan mahu ditambah sekali ganda!” Marah Umbang.

“Kau lihat aku, sudah kurus kering. Entah kalau aku mati kelaparan, aku sendiri akan kau korbankan untuk Janavar!” Injing menggertak.

“Bertenang kawan-kawan. Ini baru permulaan. Untuk mendapatkan sesuatu yang besar, kita perlu berkorban lebih sedikit.” Kata Bojek.

“Ah, kamu hanya pandai menyusun kata seperti Lebai Mut. Jangan sampai nasib kau sama sepertinya!” Bentak mereka berdua.

“Tunggu sekejap. Bukankah Janavar akan berhadapan sendiri dengan pokok kecil itu?” Bojek cuba mengingatkan teman-temannya.

Umbang dan Injing saling berpandangan.

“Jadi?” Soal mereka serentak.

“Kita semua sedia maklum pokok itu dari keturunan pokok diraja. Mustahil Janavar dapat mengalahkannya. Kita semua akan saksikan kekalahan Janavar di depan mata nanti.” Sambung Bojek.

“Kemudian?” Umbang mengerutkan pandangannya.

“Kita bersabar buat sementara waktu memberikan apa yang Janavar mahu. Anggap saja ini hadiah perpisahan. Hanya kali ini, aku mahu kita semua menjadi penyokong Lebai Mut.” Bojek belum habis memberikan penjelasan.

“Apa!? Aku sudah agak, kau mesti ada hubungan akrab dengan Lebai Mut sejak dahulu! Kau sangat bijak bermain kata-kata sepertinya. Kau tahu, menjadi pendokongnya lebih menjatuhkan maruah aku daripada bekerja untuk Janavar!” Umbang semakin tidak sabar. Dia berasa dikhianati teman seperjuangannya sendiri.

“Aku juga tidak setuju! Kau sudah lupa nasib Lebai Mut? Kau mahu kita juga dipulaukan masyarakat serangga? Sudahlah aku ini dipulaukan keluarga kerana Janavar. Inikan mahu menjemput bencana lebih besar dari itu! Sekarang saja sudah hampir mati kelaparan. Kalau aku dipulaukan juga, umur aku tidak lama Bojek!” Kali ini Injing kelihatan tidak keruan. Dia tidak sanggup lagi menghadapi sebarang risiko.

“Bertenang teman-teman. Aku sendiri antara yang terawal memulaukan Lebai Mut itu. Mana mungkin aku mahu menyokongnya hari ini tanpa sebab. Mana mungkin aku mahu memalukan diri sendiri di depan masyarakat ramai.” Bojek mengajak teman- temannya berfikir.

“Kita semua tahu Janavar akan kalah. Dan masyarakat akan melihat kita sebagai serangga-serangga yang gagal kerana menjadi pendokongnya. Mereka akan memperlekehkan kita. Seluruh keturunan kita akan dipandang sebagai keturunan yang gagal. Waktu itu, ke mana saja kita pergi kita akan ditertawakan.” Sambungnya.

“Ahhh, jelaskan saja apa yang kau mahu sampaikan. Aku sudah tidak sabar!” Umbang meninggikan suara.

Bojek sendiri sudah semakin tidak sabar dengan rakan-rakannya. “Cubalah bawa bertenang. Kalau kita gopoh, nasib kita sama seperti Janavar.” Bentaknya.

Tangan Umbang sudah mula menghentak-hentak tanah menahan sabar.

Bojek menyambung bicara: “Kerana itulah kita perlu beralih arah pada hari ini. Lebai Mut adalah penjaga pokok ajaib yang bertanding melawan Janavar itu. Kelak Lebai Mut akan dilihat sebagai pemenang. Dia akan dijunjung tinggi di sisi masyarakat kita.

Kalau kita menjadi pendokongnya hari ini, kita akan menumpang tuah Lebai Mut nanti.”

“Bernas juga fikiran kamu. Lebai Mut itu serangga yang baik hati. Aku yakin dia akan menerima kita.” Kata Injing.

“Apa kamu semua mengarut?! Ini adalah khianat di atas pengkhianatan. Sudahlah kita mengkhianati masyarakat. Kemudian kita mengkhianati Janavar. Sekarang, kita mahu pergunakan Lebai Mut!? Kalian sudah gila! Mulai hari ini aku tidak lagi bersama kalian. Aku tarik diri dari pakatan ini!” Umbang memberi kata putusnya. Dia sangat tegas apabila bercakap tentang maruah dan kehormatan.

Umbang berlalu pergi dengan kemarahan. Injing mahu memanggil untuk memujuknya. Tetapi Bojek menghalang.

“Biarkan dia, lambat laun dia akan tahu kehormatan bukanlah segala-galanya.” Bojek kesal dengan kedegilan Umbang.

***

“Lebai Mut, terima kasih kerana menjaga Cenarjik. Tetapi aku khuatir Janavar akan mengapa-apakannya. Janavar sangat kuat untuk memusnahkan pohon sekecil Cenarjik.” Kata Cenar.

“Usah bimbang, Cenarjik itu keturunan pohon ajaib. Pohon seperti kalian ada kuasa sakti. Sesiapa yang memiliki niat jahat akan diserang penyakit gatal-gatal apabila menyentuh tubuh kalian. Dan sesiapa yang berniat baik, akan menjadikan kalian semakin tumbuh segar lantas menggembirakan hidupan yang berniat baik itu.” Lebai Mut memujuk.

“Wah, bagaimana Lebai Mut tahu? Aku sendiri tidak mengetahuinya.”

“Aku kan Lebai?” Kata Lebai Mut sambil ketawa.

Cenar juga ketawa. Lebai Mut memang pandai bergurau.

Tetapi memang benar apa yang Lebai Mut sebutkan. Pohon seperti Cenar dan Cenarjik memang ada kuasa sakti itu. Kerana itulah mereka sukar dimusnahkan.

Tiba-tiba Bojek dan Injing menyampuk perbualan mereka;

“Lebai Mut, Cenar, apa khabar kalian?

“Khabar baik. Ada apa kamu berdua kemari? Jarang benar ada serangga yang sudi bertandang ke tempat sebegini.” Kata Lebai Mut.

“Kami datang dengan hajat.” Kata Bojek. Injing mengangguk.

Bojek menjelaskan hajatnya dengan panjang lebar. Bojek dan Injing berharap Lebai Mut sudi menerima mereka dalam kumpulan lawan kepada Janavar. Lebai Mut mengangguk-angguk sekali-sekala mendengar luahan mereka. Akhirnya Lebai Mut berkata:

“Sebenarnya aku tidak perlukan apa-apa bantuan dan sokongan. Kerana pohon ajaib ini memang tahu tumbuh sendiri. Aku hanya mengawasi petumbuhannya.” Lebai Mut menolak pelawaan mereka dengan lembut.

“Tetapi aku beri jaminan. Jika Cenarjik menang, kalian semua boleh tinggal di bandar baru itu dengan selamat dan sejahtera.” Kata Lebai Mut.

“Betul kata Lebai Mut. Pohon seperti kami bukan mahu bertanding untuk merebut kuasa. Kami hanya mahu menyuburkan tempat-tempat di mana kami ditanam.” Kata Cenar mewakili anaknya.

“Tetapi pasti masyarakat Hutan Chempaka tidak mahu menerima kami lagi. Apatah lagi mempercayai kami. Ini semua kerana kami menjadi pendokong Janavar yang ditakuti oleh semua itu.” Kata Bojek.

“Kami risau, nasib kami seperti hidup segan mati tak mahu.” Injing menambah.

“Usahlah kalian berdua bimbang. Bandar baru itu pasti memiliki tempat untuk semua serangga. Sudah lama masyarakat kita bertengkar sesama sendiri kerana mahu menjadi juara di pandangan masing-masing. Sedangkan setiap kita ada perbezaan untuk diraikan. Mengapa tidak kita lakukan perubahan itu sekarang?” Kata Lebai Mut.

Bojek dan Injing tertunduk. Tidak berani bertentang mata dengan Lebai Mut.

“Penerimaan tidak dapat membeli penghormatan dan nama. Tetapi ia pasti dapat membeli kasih sayang. Dan kasih sayang cukup untuk kehidupan yang sejahtera.” Sambung Lebai Mut lagi.

Injing memandang Bojek. Injing teringatkan Umbang. “Kalau Umbang berada di sini, pasti Umbang juga bakal bersetuju.” Injing bermonolog. Dia rindukan Umbang.

Terdetik keinsafan di hati Bojek. Dia dan rakan-rakan merasakan kesempitan yang bertambah hari demi hari kerana mengejar penghormatan dan nama. Dia lupa ada hal yang lebih utama dari semua itu iaitu kasih sayang.
Bojek mengangkat pandangannya kepada Lebai Mut.

“Kau masih Lebai Mut yang aku kenal dulu.” Bojek tersenyum pucat.

“Maafkan kami kerana selama ini memulaukan kamu. Kami mengaku kami bersalah selama ini.” Kata Injing pula.

“Iya, maafkanlah kami.” Bojek menambah.

“Janganlah kalian meminta maaf. Kita kan bersaudara. Ayuh kita pergi ke bandar baru sekarang. Boleh aku perkenalkan kalian dengan Cenarjik.”

***

Pada suatu malam Janavar pergi menemui Cenarjik. Cenarjik sedang tidur. Janavar mahu merosakkan akar-akar Cenarjik dari dalam tanah. Dia mengorek tanah perlahan-lahan.

Apabila dia mula menggigit dan melepaskan bisa pada akar Cenarjik, Cenarjik menjerit kesakitan dan menggerakkan akarnya yang digigit ke atas. Habis terpelanting Janavar dan jatuh ke tanah.

Cenarjik terkejut melihat kehadiran Janavar. Dia tak pernah melihat serangga sebesar itu.

“Aduh! Gatal! Gatal!” Janavar meraung kesakitan.

Pada waktu itu Lebai Mut, Bojek dan Injing baru tiba di tempat kejadian. Mereka terkejut melihat keadaan Janavar yang terguling-guling kerana bisa gatal itu.

“Tolonglah aku Bojek, Injing. Tolonglah!” Rayu Janavar.

“Tiada ubat untuk penyakit Janavar, Dia sudah terkena bisa pohon ajaib. Tiada cara kecuali dia perlu meninggalkan hutan ini dan pergi ke Hutan Keramat untuk mendapatkan penawarnya.” Terang Lebai Mut.

“Berangkatlah Janavar. Kami juga tidak dapat membantu kamu.” Kata Bojek dan Injing.

Cenarjik masih terpinga-pinga. Dia tidak memahami apa yang baru saja berlaku.

Janavar pula tidak dapat bertahan lagi. Dia akhirnya melarikan diri menuju Hutan Keramat dengan gaya menahan sakit. Langkahnya seperti dirasuk hantu.

Bojek dan Injing menggosok-gosok mata. Benarkah serangga sebesar Janavar tewas begitu saja? Mereka memandang pohon Cenarjik dan menelan air liur ketakutan.

“Kamu masih mewarisi kuasa sakti itu Cenarjik. Lepas ini kamu tidak perlu bimbang disakiti sesiapa.” Kata Lebai Mut sambil menanam semula tanah yang telah dibongkar Janavar.

***

Seminggu telah berlalu sejak kejadian itu. Khabar pemergian Janavar dari Hutan Chempaka sudah tersebar di kalangan masyarakat seranga. Istana juga sudah mengetahui kisah kesaktian calon tunggal yang masih bertanding dalam pertandingan itu. Malah kini Cenarjik sudah membesar hampir sama tinggi dengan ketinggian ibunya.

Pada hari yang dinanti-nanti, Sultan berserta hulubalang tiba ke bandar yang masih tidak bernama itu. Sultan sempat berkenalan dengan Cenarjik dan Lebai Mut. Bojek dan Injing kelihatan menjadi pengiring.

“Wahai rakyat jelata, beta dengan ini mengumumkan bahawa pemenang kepada pertandingan ini jatuh kepada Cenarjik.” Titah Sultan dengan bangga.

Maka bermulalah acara penganugerahan tugas kepada Cenarjik. Masyarakat serangga menyaksikan acara itu dengan gembira. Umbang dan pengikutnya ada di celah-celah keramaian itu. Mereka turut kegirangan.

“Beta juga mengisytiharkan nama bandar ini sebagai Bandar Cenarjik.” Sorakan rakyat mengiringi titah bermakna itu. Mereka gembira kerana ada bandar yang lebih sejahtera untuk berpindah.

Lebai Mut tersenyum kepuasan melihat kejayaan Cenarjik hari itu.

“Benarlah, rakyat ini memang rakyat bekerja. Hari ini mereka gembira melihat hasilnya.” Lebai Mut bermonolog.

“Mut…” suara itu menyapa dari belakang. Majlis sudah selesai, orang ramai sudah bersurai. Rombongan Sultan juga mahu berangkat pulang.

“Pak Lawang rupanya. Ada apa Pak Lawang?” Lebai Mut bertanya.

“Tahniah aku ucapkan. Aku tahu kau bekerja keras untuk semua ini.” Kata Pak Lawang dengan pandangan seorang ayah.

“Terima kasih Pak Lawang. Cenarjik yang membesar sendiri. Aku hanya menjaga urusan-urusan kecilnya.” Lebai Mut menunduk. Senyuman nipis terukir dibibirnya.

“Kau masih begitu, suka merendah diri.” Pak Lawang menepuk belakang Lebai Mut.

“Begini, Sultan meminta aku sampaikan pesanannya kepada kamu.” Sambung Pak Lawang.

“Apa dia Pak Lawang.” Lebai Mut tertanya-tanya. Antara teruja dan gementar.

“Sultan meminta kamu datang ke istana. Kisah kepandaian kamu sudah tersebar sehingga ke pengetahuan Sultan. Sultan mahu mengenal kamu lebih lanjut. Sultan mempertimbangkan namamu untuk menjadi penasihat kerajaan.” Kata Pak Lawang.

Lebai Mut membesarkan mata. Dia tidak percaya apa yang baru didengar.

“Pergilah Lebai Mut, izinkan dirimu untuk menggunakan kelebihan diri dan bertumbuh. Hutan Chempaka perlukan serangga seperti kamu.” Cenarjik menyampuk perbualan mereka. Dari tadi Cenarjik memasang telinga.

Lebai Mut tersengih sahaja. Segan mendengar nasihat yang pernah disebut diberikan semula kepadanya.

Dia menghela nafas lantas menjawab:

“Baiklah Pak Lawang. Mohon disampaikan kepada Sultan, patik akan cuba hadir ke istana dalam masa terdekat. Terima kasih atas jemputan buat rakyat biasa seperti patik ini.” Lebai Mut menyusun pesanan kembali.

“Kalau begitu, kita jumpa di istana ya?” Pak Lawang tersenyum lantas berundur diri menyertai rombongan Sultan.

Lebai Mut tersenyum. Cenarjik turut gembira.

Sejak hari itu, Bandar Cenarjik menerima penduduk baru yang datang dari pelbagai jenis serangga. Lebih banyak pohon seperti Cenarjik ditanam serata bandar. Apa yang lebih menarik, Bojek, Injing dan Umbang menjadi penjaga-penjaga pohon tersebut. Terima kasih kepada Lebai Mut yang sudi mengajar. Masyarakat Bandar Cenarjik hidup aman damai sehingga ke hari ini.

 

Oleh: Ruqayya Azhari

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.