Berada di tengah riuhnya orang berbincang. Berada di tengah ramainya orang berlalu-lalang. Berada di tengah riuhnya para peniaga mencari nafkah dan aku masih membisu di sini.

Menunggu datangnya seseorang yang sudah lama tidak ku temui. Bertemankan jam tangan yang sudah ku lihat berkali-kali.

Sudah lebih satu jam aku menanti. Satu lagi bas berhenti. Beberapa orang mulai berhamburan keluar dari gerbang yang membawa mereka sampai ke tempat ini. Ada yang penuh rasa bahagia bertemu dengan orang yang dikasihi, ada pula menangis kerana perlu melepaskan seseorang untuk pergi. Aku masih duduk termenung menunggu. Menatap dengan cemas sekelilingku.

Tiba-tiba ada seseorang yang berdiri disebelahku. Aku hanya melihat dari tepi mataku, ah seorang lelaki. Lelaki itu berdehem, seolah memberi isyarat untukku melihatnya. Seketika aku menoleh, menatap wajahnya.

Tidak aku sangka, hanya perasaan bahagia ketika itu. “Abah!” jeritku sebak.

Aku memandangnya. Tatapan mata yang teduh dan senyum manis yang selalu terukir di bibirnya masih sama seperti dulu. Tidak berubah sedikitpun. Aku tidak percaya yang dia akan menepati janjinya iaitu untuk datang melihat majlis graduasiku. Tangannya aku capai dengan genggaman erat hingga hidung mengucupnya. Tanpa sedar pipi ku basah lalu ketika aku ingin mengelapnya, jantungku berdegup laju. Nafasku seakan-akan tidak terkawal. Aku lihat hanyalah sepasang jubah konvokasyen yang bergantung di hadapan almari bilik dan selimut biru yang masih menutupi badan ku.

Mimpi ku pagi itu mengingatkan aku dengan peristiwa empat tahun lalu ketika berada di tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, Universiti Yarmouk.

“Kamu puas hati dengan markah kamu?” ayat pertama yang keluar daripada mulut Dr.

Ahmeed dengan senyum siringnya.

“Tidak…” jawab daripada majoriti pelajar arab di dalam kelas itu.

“Oleh kerana terlalu ramai pelajar yang dapat markah rendah, saya berikan kamu sekali lagi peluang untuk jawab peperiksaan dengan syarat kalau markah peperiksaan ulangan lagi rendah daripada markah peperiksaan pertama, saya tetap akan ambil markah peperiksaan  ulangan. Sesiapa yang mahu mengulang, datang kelas hari khamis dan kepada sesiapa yang tidak mahu mengulang, selesai; kamu tiada kelas” terangnya panjang.

Sambil memujuk hati di sebabkan markah yang rendah, aku juga terfikir untuk mungulang. Bukan hendak menolak takdir tapi mungkin ini peluang kedua yang Allah beri.

“Yana, sudah la tu. Jangan difikir dulu pasal peperiksaan ulangan itu, kau fokus untuk peperiksaan madkhal dakwah dulu. Lusa kau peperiksaan madkhal dakwah kan?” tegur Mina yang melihat kerutan di dahiku.

“Hmm. Kita tengok peperiksaan madkhal dakwah esok. Kalau aku rasa teruk, aku akan ulang peperiksaan madkhal sunnah. Tapi kalau aku rasa agak baik, mungkin aku tidak akan sertai peperiksaan ulangan madkhal sunnah itu sebab takut markah ulangan lagi rendah daripada peperiksaan sebelum ni.” Jawab ku pasrah.

“Nur Amaliyana”. Sampai giliran nama ku dipanggil.

Dr. Ahmeed menyebut nama pelajar satu per satu untuk mengambil kertas peperiksaan ulangan yang telah disemak. Jantung ku berdegup kencang. kaki ku bergetar, mulut ku tidak henti dengan kalam zikir dan selawat, tangan ku sejuk. Perlahan-lahan aku bangun meninggalkan kerusi.

“Berapa markah kamu peperiksaan sebelum ini?” tanya Dr. Ahmeed dengan suaranya yang lantang menggema satu kelas. 

“11 doktor.” jawab ku dengan nada rendah seakan-akan berbisik.

“11?! tapi sekarang 9!” suaranya kuat disebabkan oleh mini microphone tergantung pada kot tebalnya itu.

“Haaaaa?” kedengaran suara-suara pelajar lain dari belakang kelas yang terkejut selepas sahaja mendengar markah ku.

“Memalukan! Tiada guna kau mengulang. Hanya memenatkan diri sendiri. Buang masa!” jerit suara hati ku.

Berbekalkan ‘muka tembok’, aku balik ke tempat duduk dan cuba terus kuat dengan senyuman. Tiada perasan lain yang aku rasa ketika itu selain sedih yang tidak terluah.

“Kuatnya suara doktor, sudahlah  pakai mini microphone. Dengar satu kelas.” Rungut Nora, rakan (melayu) sekelasku.

“Yana, bagi aku kertas kau.” Pinta Lubna, rakan karibku yang berbangsa arab itu. “Soalannya mudah bukan?” tanya ku sayu.

Aku tidak nafikan yang soalan peperiksaan ulangan ini lebih mudah jika hendak dibandingkan dengan soalan peperiksaan pertama. Ini juga antara asbab yang menjadikan ku kecewa.

“Kau tengok kertas ini, jawapan kau betul. Ini betul. Ini juga betul. Majoriti betul. Lebih separuh jawapan kau tepat seperti dalam buku. Kau hanya salah bahagian nama kitab dan nama pengarang kitab.” Pujuknya sambil menghalakan jari telunjuknya ke arah jawapan-jawapan yang tertulis pada kertas ku.

“Yana, adakah kau sudah belajar bersungguh-sungguh?” sampuk Nisreen, rakan kepada Lubna.

Hanya anggukan yang mampu ku buat.

“Bersungguh-sungguh bersungguh-sungguh?” pertanyaan itu diulang sekali lagi. “Jangan cakap begitu. Ini bukan bahasa mereka (bahasa arab).” Bisik lubna pada Nisreen

untuk menegur perlakuanya itu.

Aku tersentak sendiri. Banyak persoalan bermain dikepala ku . Mula berfikir adakah usaha siang malam ku belum cukup untuk sampai ke tahap ‘bersungguh’ yang dia maksudkan. Tanpa aku sedari, maka tu berkaca dan pipi ku mula basah.

Belum sempat aku mengelap kedua belah pipi yang mula dipenuhi air mata itu lalu kedengaran suara sayu, “jangan menangis. Jangan menangis.” Pujuk Lubna sambil memeluk ku.

Beberapa minit selepas itu, aku terus keluar dari kelas kerana kurang selesa dengan pujukan mereka. Semakin dipujuk, semakin banyak air mata yang berlinangan. Langkah ku laju dan hanya satu tempat yang terlintas di dalam fikiranku, iaitu surau kuliah syariah tingkat 5. Hanya di sana tempat yang sunyi dan jarang untuk jumpa pelajar melayu dan pelajar arab yang lain disebabkan arasnya yang tinggi. Sesudah sampai sahaja di sana, telefon pintar di dalam bag galas itu aku capai lalu membuka bahagian contact list. Kononya mahu meluah. Mencari tetapi tidak tahu siapa yang ingin dihubungi.

Ini lah yang aku hadapi sebagai seorang anak dan cucu sulung selama hampir 19 tahun hidup di muka bumi tuhan. Tiada sesiapa untuk di jadikan tempat bergantung. Abah sibuk bekerja di ladang demi menyara kami sekeluarga yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Perginya sebelum terbit sang matahari, motor tuanya kedengaran berbunyi usai sahaja beberapa minit selepas azan subuh. Baliknya pula kadang setelah hilang pancaran sinar mentari. Jarang untuk melihatnya di rumah pada waktu siang. Mungkin hanya seminggu sekali dua kali. Itupun pada cuti hujung minggu.

Ibu juga bekerja. Walaupun tidak sesibuk abah, tetapi aku tidak dapat merasakan kasih saying mereka seperti ibubapa yang sentiasa bersama anak-anak mereka yang lain. Hidupku tidak seperti rakan-rakan yang lain. Balik sekolah riang kerana tahu akan disambut dengan hidangan makanan tengah hari yang enak, tetapi aku hanya balik dengan nota kecil yang terselit di pintu ‘kunci rumah di dalam kasut seperti biasa’. Kalaupun tidak seperti itu, aku akan dipesan untuk tinggal di rumah jiran sehingga mereka pulang.

Sejak alam persekolahan lagi banyak perkara yang aku lakukan sendiri. Sekolah menengah pula dihantar masuk asrama. Segala keluh-kesah ku, jika aku mula merasa tidak tahan menyimpannya sendiri, kawan seasrama ku menjadi tempat untuk menceritakan segalanya. Hanya mereka tempat tu meluah dan berkongsi rasa.

“Dik, kau kenapa?” seoarang perempuan menyapaku.

“Kau menangis disebabkan ini?” tekanya yang sedang melirikkan mata ke arah kertas peperiksaan di pangkuan ku.

“Jangan! ini semua perasaan syaitan. Kau tidak sepatutnya sedih dengan keputusan ini.

Kerja kita adalah usaha. Natijah itu kerja tuhan. Kalau sudah usaha, sudah la. Jangan sampai di ambil kerja tuhan. Adakah kamu sedih dengan pemberian Allah?

kamu pelajar Malaysia boleh dapat 9 markah. Itu keputusan yang baik. Aku pelajar arab ini, banyak lagi subjek yang dapat markah lagi rendah daripada 10.” Sambungnya lagi.

Aku hanya mampu menangis dalam pelukannya yang cukup membuatkan ku tenang.

Memandangkan kelas madkhal sunah itu adalah kelas terakhir ku pada hari itu, setelah selesai sahaja solat zohor, aku terus balik ke rumah. Masih terngiang-ngiang teguran dan nasihat insan baik yang aku temui di surau itu tadi. Hanya kepada-Mu aku memanjatkan kesyukuran kerana telah mengirim seseorang yang dapat menenangkan ku dikala aku serabut dan terasa keseorangan. Terima kasih Tuhan kerana masih bersama ku walaupun di waktu ku susah, aku masih mencari bahu manusia untuk disandarkan.

“Cepatnya masa berlalu. Kalaulah abah masih ada, dia pasti akan bangga dengan aku”.

Bisik hati kecil ku yang dahulunya tidak pernah berhasrat langsung untuk menyambung pelajaran di luar negara. Namun demi melihat kegembiraan terukir di wajah ayahku yang penuh pengharapan,  aku tekad mengharungi episod-episod pembelajaran yang cukup berliku. 

Semoga abah tenang di sana. Al-Fatihah.


Nurul Suhailah binti Muhamad, pelajar Ijazah Sarjana Muda Universiti Yarmouk.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.