Sewaktu catatan ini dicoret, seramai 24 orang telah syahid yang telah dilaporkan pada jam 12.43 petang waktu Malaysia. Sembilan daripadanya ialah kanak-kanak. Ini hanya sebuah catatan peribadi dan refleksi pada malam hari di kala hati remuk melihat kekejaman yang berlaku.
Kisah bagaimana Palestin terjajah tidak usah diulang cerita, kita sedia maklum dengan kronologi yang berlaku sehingga tanah ketiga paling suci ini rasmi (berdasarkan undang-undang mereka) terjajah sehingga kini. Dunia masih menyepi walaupun ada beberapa usaha dilakukan untuk mengembalikan tanah itu kepada umat.
Tanah ini tanah keramat! Pertembungan tiga agama dunia yang jika kita amati, entah siapa yang paling layak memiliki tanah ini. Berdasarkan teks suci agama, kita sebagai Muslim percaya bahawa tanah itu milik kita. Lalu, mereka juga menggunakan hujah agama mereka bahawa tanah itu hak mereka-mewujudkan pertikaian demi pertikaian yang menjadikan nyawa sebagai bayaran.
Hati ini sayu, sakit, sedih dan kecewa dengan situasi yang sedang berlaku. Ralat dengan diri yang setiap hari memuntahkan doa meminta bantuan daripada Yang Menguasai Urusan untuk kehidupan mereka di Palestin sana, juga di tanah-tanah tertindas yang lain.
Namun, kian lama doa itu hanya sekadar ucapan melepaskan ‘tanggungjawab’ mendoakan kesejahteraan saudara seagama. Kian hari, ruh doa semakin hilang, mod auto-pilot menuntut diaktifkan tanpa sedar, maka terhasillah permintaan kosong yang berlegar tanpa tujuan. Ketegangan yang muncul disana seolah-olah menyedarkan kita bahawa doa yang dititipkan itu tawar tanpa perisa.
Berlakunya pertembungan di akhir Ramadan ini menghidupkan harapan dan permintaan yang biasanya kering terasa kembali basah, kembali meminta sungguh-sungguh agar kesusahan mereka diangkat. Tragedi ini menyedarkan sisi manusiawi kita yang sering terlupa dan leka, ibarat pahat dengan penukul- sekali mereka dipukul atau ditembak, barulah kita sang pahat berbondong kembali peduli. Sungguh, ini adalah teguran untuk kita agar sentiasa meletakkan hati dalam memanjat doa- bukan hanya tutur bisu tanpa erti, dalam isu apapun.
Teringat kata-kata seorang pensyarah sewaktu kelas masih bersemuka dahulu,
“Adakah kalian sedar dengan apa yang sedang berlaku kepada saudara kalian berbangsa Uyghur?”
Hati menjawab rendah, “Kami tahu, Dr.”
Kemudian beliau menambah lagi:
“Siapa yang tidak mengambil tahu urusan saudaranya, maka dia bukanlah sebahagian dari mereka.”
Tertampar dengan kata-kata itu. Urusan mereka walau di mana pun lokasi mereka, bukanlah isu bermusim. Bukan apabila mereka telah diganyang lumat disiat-disiat barulah kita perlu bangkit menyatakan solidariti. Ujian mereka adalah ujian kita, ujian kepedulian, ujian kedermawanan, ujian sejauh mana kita merasa kebersamaan.
Pada detik ini, jujur tidak saya ketahui cara terbaik untuk membantu mereka selain doa dan derma. Kita bukan bangsa yang tak peduli, kita umat yang Nabi Muhammad SAW. Cubit peha kiri, peha kanan terasa.
Masa hanya berbaki beberapa jam lagi sebelum Ramadan pergi, ayuh kita lontarkan doa sepenuh hati untuk saudara-saudara kita di mana pun mereka berada, yang di tanah air mahupun yang di Palestin sana. Ayuh kita sahut seruan mereka dengan doa dan semangat, kita sumbang semampunya sebagai saham pembebasan.
Semoga amalan kita semua Allah SWT terima. Moga batu-batu yang mereka lontarkan menjadi saksi di akhirat kelak, bahawa ada golongan yang teguh mempertahankan di lapangan dan ada juga golongan lain yang menyumbang upaya dari kejauhan.
Nukilan,
A. Abdul Ghapar
Rujukan dan sumber:
Telegram Nadir al-Nuri, https://t.me/nadiralnuri