Catat Momen Kembara Anda Dengan Panduan Menulis Travelog Ini!

Top-10-Best-Exotic-Places-To-Travel-To-Before-You-Die

Travelog adalah cerita kembara. Biasanya ditulis atau disampaikan dalam bentuk naratif atau lapuran bertulis. Ianya berkaitan dengan pandangan dan pengalaman peribadi pengembara. Imej biasanya disertakan untuk membawa pembaca atau pendengar ke tempat atau situasi dalam cerita.


Langkah-Langkah Menulis Travelog

  1. Tentukan tujuan menulis.
    Gaya penulisan berbeza untuk majalah, untuk kawan atau untuk diri sendiri. Untuk terbitan umum, penggunaan bahasa pasar dikurangkan dan ejaan mesti ditulis penuh.
  2. Ambil nota.
    Bawa buku nota ke mana sahaja anda pergi. Catat apa yang anda lihat, tempat yang anda pergi dan orang yang anda jumpa. Catatkan juga perasaan dan pandangan anda tentang tempat, orang dan situasi yang anda temui. Boleh juga guna perakam suara (recorder). Kumpulkan brosur, peta, panduan, tiket masuk dan sebagainya untuk panduan menulis kemudian.
  3. Ambil gambar sebanyak mungkin. Tidak semestinya hanya ambil gambar tempat bersejarah atau tempat popular. Papan tanda, jalan yang sibuk dan apa yang penduduk tempatan buat mampu sampaikan mesej dan cerita yang kuat.
    Bagus jika anda mampu ambil gambar monumen dengan baik. Jika tidak, untuk tujuan penulisan, ambil sahaja imej dari Google. Ada yang percuma seperti di freeimages.com. Jika mampu bayar, boleh dapatkan imej yang lebih baik seperti di shutterstock.com.
    Bila sampai di rumah, peruntukkan masa untuk review rakaman dan catatan. Asingkan ikut tarikh, kepentingan atau kriteria lain. Pilih gambar yang paling sesuai gambarkan saat indah kembara anda.
  4. Gariskan atau rumuskan (outline) kembara anda. Ini masih belum laporan lengkap tapi penting untuk susun pemikiran dan idea. Anda dapat juga lihat sama ada aliran cerita mengalir secara logik dan mudah difahami.
  5. Selepas siap rumusan, bersedia untuk tulis travelog penuh. Cuba tulis sebaik mungkin. Tambah deskripsi, sejarah, maklumat secara tepat dan jelas, Beri ilmu kepada pembaca tentang budaya dan tradisi tempat yang anda lawati.

Topik Fokus

  1. Budaya dan tradisi penduduk tempatan
    Menarik jika anda buat sedikit kajian tentang perbezaan budaya dan tradisi masyarakat tempatan dan kemudian dapat tengok sendiri perbezaan ini bila sampai di bandar yang anda lawati. Perbezaan ini mampu menarik minat pembaca dan jadikan penulisan anda berbeza dengan penulisan orang lain.
    Ketika di Istanbul baru-baru ini, saya cuba beri tempat duduk dalam trem kepada seorang lelaki tua yang berdiri. Saya beri isyarat agar dia duduk di kerusi yang telah dikosongkan. Dia berkata sesuatu. Terangkat kening bila dia berkata. Saya tidak faham. Saya beri isyarat lagi supaya dia duduk. Saya dengar dan nampak dia berdecit. Saya geram. Rupanya itu budaya penduduk tempatan yang beri mesej mereka tak mahu.
  2. Makanan
    Fokus kepada perbezaan makanan mengikut kaum penduduk tempatan atau daerah.
    Sebagai contoh, ketika berada di Shanghai baru-baru ini, saya lebih banyak makan mi tarik yang dipopularkan oleh orang Islam Hui dari wilayah Ningxia. Masyarakat Islam Uyghur dari Xinjiang pula popularkan makanan seperti naan, pilaf pengaruh dari Asia Tengah, Timur Tengah dan disesuaikan dengan selera tempatan.
  3. Cabaran dan halangan kembara
    Antara pengalaman kembara yang saya tidak boleh lupa ialah ketika berada di Stansted Airport, United Kingdom. Tidak semena-mena penggera keselamatan berbunyi ketika beg saya melalui mesin pengimbas. 4 orang pegawai keselamatan dan seekor anjing pengesan mengelilingi saya. Saya dibawa ke bilik siasatan, disoal dan hanya dilepaskan 20 minit kemudian.
  4. Harga dan pengangkutan
    Maklumat tentang harga dan pengangkutan boleh beri panduan dan pilihan bila sediakan peruntukan ground arrangement, masa dan tenaga yang boleh dijimatkan. Ketika saya pergi ke Kashmir dari Delhi pada tahun 2011, saya boleh pilih untuk naik keretapi (12 jam) atau saya boleh pilih untuk naik kapal terbang (2 jam). Saya pilih naik kapal terbang untuk jimatkan masa dan tenaga. Mungkin ada yang suka naik keretapi kerana dapat lihat pemandangan sepanjang perjalanan.

Poin Penting Untuk Panduan

  1. Jangan hanya senaraikan tempat yang anda lawat dan makanan yang anda nikmati. Perlu ada idea utama yang menarik. Idea ini yang akan jadi tulang belakang karya anda. Contoh: ibrah dari kejadian dan refleksi beza tempat anda tinggal dan tempat anda melawat. Tema sejarah juga boleh jadi intipati karya anda.
  2. Cuba pergi tempat lain dari yang biasa pelancong lain pergi. Dengan cara ini boleh tambah banyak cerita menarik dan akhirnya tambah nilai kepada pembaca.
  3. Di bahagian pengenalan, boleh beri latar belakang, keadaan politik dan ekonomi tempat yang anda lawati. Di bahagian tengah, perkenalkan maklumat anda ingin beritahu kepada pembaca berdasarkan rakaman dan nota yang anda buat sepanjang kembara. Di akhir bahagian, ringkaskan pengalaman anda, Kongsi pendapat, pandangan dan tindakan anda seterusnya.
  4. Tidak semestinya hanya bercerita perkara yang baik-baik sahaja tentang sesuatu tempat. Ceritakan juga pengalaman perit, kesusahan, masalah di imigresen, tahap kebersihan dan scam.
  5. Jangan hanya bercerita tentang pengalaman peribadi. Beri maklumat penting kepada mereka yang ingin melawat. Beri gambaran tentang kos pengangkutan awam, hotel, bayaran masuk tempat menarik dan hiburan tempat yang dilawati.
  6. Masukkan suasana tempat dan perbualan dengan penduduk tempatan dan pelancong yang anda temui. Tanya tentang kehidupan mereka – masalah dan kebaikan tinggal di situ.
  7. Masukkan sejarah dan budaya tempat tersebut.
  8. Masukkan unsur humor dalam tulisan atau masalah yang anda hadapi dan berjaya atasi.
  9. Semak dan sunting karya anda.
  10. Jangan masukkan gambar anda di monumen bersejarah. Gambar anda di tempat tersebut hanya untuk simpanan peribadi, dikongsi bersama rakan dan keluarga.
  11. Jangan hanya ulang dan ceritakan semula maklumat yang boleh didapati dalam buku panduan pelancong seperti Lonely Planet.
  12. Jangan guna sebarangan gambar yang boleh dijumpai di internet. Jika boleh guna gambar yang anda ambil.
  13. Jangan berlebih-lebihan menghakim budaya dan tradisi orang lain.
  14. Jangan tunggu masa lama untuk mula menulis. Terus tulis lepas balik dari kembara sementara fakta masih segar dalam ingatan.
    Masalah Biasa Bila Menulis Travelog
  15. Fokus hanya kepada fakta. Kurang emosi dan tulisan menjadikan karya anda membosankan.
  16. Terlalu bersemangat meluahkan perasaan dan fikiran.
  17. Hanya bergantung kepada memori bila tulis travelog. Sama ada rujuk semula kepada nota atau cari maklumat tambahan.
  18. Terlalu banyak mengkritik. Cuba seimbangkan tulis perkara negatif dan positif dalam kembara. Ini menjadikan travelog anda lebih berwarna warni.

  19. “Travelling – it leaves you speechless, then turns you into a storyteller.” Ibn Battuta

Emylia Mohd Nor

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *