Demikianlah nasihat seorang ayah kepada anak-anak perempuannya. Nasihat ini telah diturunkan dari satu generasi kepada generasi yang lain. Namun maksud tersirat di sebalik untaian kata ini masih menjadi persoalan sehingga hari ini.
Apakah sebenarnya yang mahu disampaikan oleh si ayah? Mengapakah beliau berkata sedemikian? Apakah kisah disebaliknya?
Demikianlah beberapa soalan yang berlegar dalam kotak fikiran tatkala memikirkan kemungkinan yang ada dalam menafsirkan kata-kata tersebut.
“Bila kamu mahu berkahwin?”
“Tiada orang nak ke?”
“Umur dah menghampiri 30-an, masih tiada lelaki datang meminang?”
“Tidak elok orang perempuan kahwin lewat, nanti susah.”
Begitulah contoh dialog yang menghantui fikiran sebahagian anak-anak gadis pada hari ini. Soalan demi soalan digasak secara bertubi-tubi sehingga menyebabkan sang gadis berasa lemas. Hatinya gundah gulana memikirkan masa depan hidupnya. Lantaran tidak tahan diasak dengan soalan bertubi-tubi, maka ramai nekad untuk berkahwin segera tanpa berfikir panjang dengan harapan orang tutup mulut!
Soalannya, adakah berbaloi dengan mengorbankan hidup hanya kerana mahu menutup mulut orang sedangkan hidup sendiri sengsara?
Ketahuilah bahawa perkahwinan bukan hanya untuk sehari dua, tetapi untuk selamanya. Barangkali si ayah menyebut demikian kerana risau memikirkan perasaan anak-anak perempuan yang seakan mudah terperangkap dalam jerat perasaan sendiri. Demikianlah fitrah sebahagian besar perempuan yang mudah terpesona dengan lelaki yang melayani dengan baik, sering mengungkapkan ayat-ayat manis, mahupun diumpan dengan pemberian hadiah yang mahal-mahal.
Bertitik tolak daripada pengamatan sang ayah terhadap sikap anak-anak perempuan. Maka sang ayah menasihati anak-anak perempuannya agar lebih berhati-hati dalam mencurahkan perasaan hati kepada sebarang lelaki. Sang ayah mengetahui bahawa lelaki yang baik itu bukan lelaki yang hanya tahu mengumpan hati dan perasaan perempuan melalui kata-kata manis, tetapi lelaki yang baik adalah lelaki yang berusaha menjaga batas pergaulan dan menerima isterinya seadanya dan menunaikan hak-hak isteri sewajarnya dengan semampunya kelak.
Moga Allah memberi jodoh yang baik untuk kita.
Nukilan,
Fathi Anwar