Bukan Menjadi Titik Perbandingan

Setiap orang mempunyai jalan cerita tersendiri untuk mengenal Allah SWT. Tidak dapat dinafikan ada sebahagian orang perlu menempuhi kesukaran dalam menyempurnakan kisah cinta mereka terhadapNya. Terkadang ujian yang hadir membuatkan semuanya seperti mustahil untuk direalisasikan. 

“Ala solat je pun. Bukan susah pun..”

“Wei tutup aurat ni wajib tau. Kau tak takut dosa ke?”

“Kenapa mutabaah amal kamu bahagian solat jemaah masih kosong?”

Mungkin kita tidak pernah berhadapan dengan situasi  terpaksa membatalkan hasrat untuk solat berjemaah hanya kerana tiada ahli keluarga yang menunaikan solat.

Atau situasi terpaksa solat di bilik stor yang sempit disebabkan kita satu-satunya Muslim yang solat di tempat kerja.

Ataupun tersepit apabila perlu membuat keputusan antara menerima tawaran kerja dengan syarat perlu membuka tudung atau memilih pekerjaan yang lain.

“What may be easy for one person can be something difficult for another.”

Kita sebenarnya beruntung apabila dilahirkan di dalam keluarga yang baik-baik dan mendapat pendidikan agama sejak kecil. Itu merupakan satu nikmat. Akan tetapi bagaimana pula dengan mereka yang lahir daripada keluarga yang bermasalah atau langsung tidak mengamalkan cara hidup sebagai seorang Muslim?

Begitulah yang perlu difahami bahawa perbezaan kisah tidak sepatutnya menjadi titik perbandingan. Sebaliknya, biarlah ia menjadi pendorong untuk kita bersama menyokong antara satu sama lain untuk tetap di jalanNya.

Kerana jauh di sudut hati, tiada siapa yang ingin terkecuali daripada menjadi penghuni syurga. 

Begitu juga kita.

Menjadi Mukmin itu adalah Pilihan

“Kalau Allah SWT takdirkan aku untuk solat, confirm aku dah solat sekarang.” 

Kedengaran seperti agak janggal apabila seseorang itu sanggup meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada Tuhan yang menurunkan perintah tersebut. Sedangkan tahukah kita bahawa dialog seakan-akan ini telah lama direkodkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

سَيَقُولُ ٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْ لَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ مَآ أَشۡرَكۡنَا وَلَآ ءَابَآؤُنَا وَلَا حَرَّمۡنَا مِن شَيۡءٍۚ

Maksudnya: Orang-orang musyrik akan mengatakan: “Kalau Allah menghendaki tentulah kami dan datuk nenek kami tidak mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain), dan tidak pula kami haramkan sesuatu apa pun”.(Surah al-An’aam: 148)

Persoalannya, adakah dengan meletakkan kesalahan terhadap Tuhan akan membenarkan kita untuk selama-lamanya berada di jalan yang salah?

Adakah selamanya kita mahu digelar orang yang sombong dengan mengendahkan perintahNya?

Jika kita mampu meletakkan sepenuh keberanian untuk menyalahkan Allah SWT, mengapa tidak kita memilih untuk meniti jalan-jalan kebajikan. Bukankah itu lebih menguntungkan?

Lupakah kita bahawa menjadi seorang mukmin tidak pernah terhad kepada sesiapa pun dan Allah SWT juga sentiasa memberi harapan buat mereka yang memilih untuk menjadi orang yang beriman.

Apabila kita meneliti perkataan mukmin (مؤمن) yang bermaksud orang yang beriman, kita akan mendapati ia merupakan isim fa’il yang berasal daripada kata dasar (آمن). Tidak ketinggalan, perkataan iman (إيمان) juga diambil daripada kata dasar yang sama dan ini bukanlah sebuah kebetulan.

Bersangkutan itu, iman tidak seharusnya dipisahkan jika ingin memilih menjadi seorang mukmin. Apa yang sepatutnya dimplementasi ialah kefahaman terhadap maksud sebenar iman itu sendiri. 

Dengan membenarkan dan menyakini di sudut hati, ikrar dengan lisan, serta mengamalkan dengan anggota.

Menurut Abu Urwah di dalam bukunya Risalah Usrah, sebuah masyarakat Islam ialah sebuah masyarakat di mana cara-cara dan amalan-amalan hidup mereka mencerminkan serta mempamerkan pemahaman mereka selari dengan pengertian risalah kalimah syahadah. Kalimah ini juga merupakan asas bagi suatu cara hidup yang lengkap, syumul (menyeluruh) lagi terperinci untuk masyarakat Islamiah itu. 

Sayugia diingatkan, cara hidup sedemikian rupa tidak mungkin wujud tanpa terlebih dahulu memperkukuhkan asas ini. Jika sistem hidup itu ditegakkan di atas dasar-dasar yang selain dari dasar ini ataupun ianya ditegakkan bertempelan dengan kaedah-kaedah lain, maka masyarakat itu tidak dapat dikira sebagai sebuah masyarakat yang Islamiah.

Oleh sebab itu, iman bukanlah semata-mata penyataan seseorang dengan lisan sahaja bahawa dia seorang mukmin malah ia perlu diterjemahkan melalui perbuatan. Ini dapat dilihat di dalam ayat 1 hingga ayat 9 Surah al-Mukminun yang mana Allah SWT menjelaskan sifat-sifat orang mukmin yang berjaya. 

Antaranya ialah, khusyuk di dalam solat, meninggalkan perkara lagha atau sia-sia, dan memelihara kemaluan daripada perbuatan haram seperti zina.

Jadi, tugas kita pada saat ini bukan dimulakan dengan menunding jari mencari siapa yang bersalah. Tetapi menggerakkan langkah untuk memilih jalan yang menguntungkan kerana hakikatnya perjalanan kita bukan hanya di sini.

Tidak Akan Ada yang Sia-sia

Apa yang ditawarkan oleh Allah SWT melalui agama Islam ialah sesuatu yang lebih baik daripada seisi dunia. Kata Buya Hamka di dalam Tafsir al-Azhar;

“Agama tidak melarang sesuatu perbuatan jika perbuatan itu tidak merosak jiwa. Agama tidak menyuruh, kalau suruhan itu tidak akan membawa selamat dan bahagia jiwa.”

Begitulah hidup seorang manusia bukan untuk diperjudikan. Fitrahnya, kita semua inginkan jaminan daripada setiap apa yang dilakukan. Apatah lagi, apabila kita perlu memusatkan seluruh kepercayaan kepada sesuatu yang tidak nampak oleh mata kasar.

Sebab itu Allah SWT menggunakan huruf قد bersama dengan fi’il madhi iaitu أفلح di dalam ayat 1 Surah al-Mukminun yang membawa maksud (التأكيد) penegasan atau  (التحقيق)kepastian. Ayat ini membuatkan kita merasakan ada assurance bahawa benarlah apa yang dimaksudkan oleh Allah SWT selama ini iaitu terdapat jaminan orang yang beriman akan berjaya.

Sebab apa?

Kerana di akhirnya merekalah yang dikatakan layak untuk mewarisi pengakhiran yang paling baik dengan mewarisi Syurga Firdaus, syurga yang tertinggi.

Membaca ini membuatkan kita tenang seketika. 

Jika difikirkan, kehidupan di dunia terlalu perit untuk digambarkan inikan pula untuk diluahkan menjadi kata. Lebih-lebih lagi, apabila banyak mimpi yang tidak tercapai atau lebih teruk terpaksa dikuburkan begitu sahaja.

Namun begitu, apabila seorang mukmin meletakkan kepercayaan pada ‘hari esok’, tiada apa yang dapat memberi kebahagiaan dan ketenangan dalam soal penantian.

Kerana sesungguhnya tiada pengakhiran yang lebih baik selepas apa yang dilalui di dunia melainkan dipilih untuk menjadi penghuni syurga.

Dan harapannya moga kita semua dapat meraihnya insya-Allah.

Peluang Ini Buat Kita

Tanpa disedari ada satu hal yang sering kita terlupa.

Terlupa bahawa setiap hembusan nafas merupakan satu peluang buat kita. 

Bayangkan jika nafas sudah terhenti. Masihkah ada peluang untuk dikembalikan ke dunia sepertimana yang pernah diminta oleh golongan yang kufur?

حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَ أَحَدَهُمُ ٱلۡمَوۡتُ قَالَ رَبِّ ٱرۡجِعُونِ

Maksudnya: Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) –

(Surah al-Mukminun: 99)

Mereka meminta untuk dihidupkan kembali hanya semata-mata untuk mengerjakan amal soleh yang pernah ditinggalkan.

“Tapi, kadang-kadang saya rasa down bila usaha saya tidak setanding yang lain.”

Kita sering dijentikkan dengan rasa bahawa usaha kita tidak cukup, namun ingatlah bahawa Allah SWT tidak akan pernah menilai seperti manusia. Manusia hanya akan memberi imbalan seperti apa yang dijanjikan dan bukan atas usaha keras kita. Sebagai contoh, jika gaji kita RM1,500, ia hanya kekal statik walaupun kita kerja bersungguh-sungguh. Terkadang bonus pun hanya dapat sekali sekala sahaja.

Berbeza dengan Allah SWT.

فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرًا يَرَهُۥ 

Maksudnya: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

(Surah al-Zalzalah: 7)

Walau sekecil mana usaha kita dalam mendalami agama Islam, percayalah ia akan dihisab dan dikira. Bahkan, boleh jadi nilai pahala akan bertambah disebabkan kesabaran di sebalik ujian yang dihadapi dalam mentaati Allah SWT.

Benarlah apabila ada yang mengatakan bahawa cara pandang dalam melihat peluang itu penting supaya peluang yang hadir ini tidak dibiarkan begitu sahaja. Sebaliknya, digarap seiring dengan hirupan nafas.

Konklusi

Realitinya, perjalanan ini perit buat kita semua kerana di sinilah saksi bahawa ada pengorbanan yang perlu dilakukan sehingga menelan air mata, ada ‘hati’ yang perlu ditinggalkan dan terkadang jiwa kita yang lelah memberontak untuk kembali ke lembah kehinaan. 

Biarpun ada saat kita membilang bilakah giliran kita dek kerana terlampau lelah dengan dunia. Ingatlah, selagimana kita memilih untuk berada di jalan yang benar, percayalah semua ini tidak akan pernah sia-sia. 

Dunia ini hanyalah kolam air mata buat orang yang beriman, manakala akhirat ialah realiti yang sepatutnya diperjuangkan. Sesungguhnya, inilah jalan yang dipilih oleh Baginda SAW dan para sahabat. Buktinya, segala perit dan jerih telah dihampar di dalam sirah dan al-Quran.

Marilah, menggapai impian dan meniti jalan ini supaya kita menjadi dalam kalangan orang yang beruntung bukan sahaja di dunia malahan di akhirat.

وَٱفۡعَلُواْ ٱلۡخَيۡرَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

Maksudnya: serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

(Surah al-Hajj:77)

Disediakan oleh,

Elina Suraya

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.