Musim melakukan kebaikan telah tiba. Kesempatan berada di bulan Syaaban yang banyak kelebihan ini seringkali dilupai oleh manusia. Sebuah renungan untuk diperhati dan dikutip pengajaran untuk kita yang berkesempatan berada pada bulan yang mulia ini. Dengan harapan penulisan ini dapat memberi manfaat.
Berpuasa pada Bulan Syaaban
Sebagaimana yang diceritakan oleh Aisyah r.a , beliau berkata :
“Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w telah menyempurnakan puasa selama sebulan penuh kecuali bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat Rasulullah telah berpuasa dalam sebulan lebih daripada puasa (sunnah) baginda pada bulan Syaaban.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]
Berkata Ibnu Hajar Rahimahullah :
“ Rasul ﷺ berpuasa pada sebahagian besar bulan Syaaban”.
Usamah Bin Zaid r.a telah bertanya kepada Baginda s.a.w tentang rahsia di sebalik puasa di bulan Syaaban , jawab Baginda ﷺ :
“Ini adalah bulan yang banyak dilalaikan orang, terletak antara Rejab dan Ramadan. ia adalah bulan diangkatnya amal kepada Tuhan semesta alam. Aku ingin, saat amalku diangkat, aku dalam keadaan berpuasa.” [Nasaie dan disahihkan oleh Al-Bani]
Sekiranya diperhatikan keadaan manusia pada hari ini, jelaslah mereka melalaikan keberadaan bulan yang mulia ini. Dilalaikan dengan percutian serta bersenang-senang. Ada yang mengambil kesempatan berpeleseran di pusat membeli belah dan lainnya.
Melalui hadis ﷺ tersebut, cukup jelas petunjuk bahawa kita perlu memerhatikan waktu yang sering disia-siakan oleh kebanyakan manusia agar dipenuhi dengan ketaatan kepada Allah ﷻ serta mengingatiNya. Hadis-hadis yang lain juga menganjurkan keutamaan beribadah di zaman fitnah dan sentiasa mengingati Allah s.w.t.
Syaaban sebagai pembuka untuk menghadapi bulan Ramadan yang barakah
Bulan Syaaban ini menjadi kesempatan kepada muslim untuk mempersiapkan diri menghadapi bulan Ramadan yang bakal menjelang. Bermula dengan membiasakan diri dengan amal kebaikan seperti berpuasa, bersedekah, membaca Al-Quran, mengingati Allah ﷻ, berbakti kepada ibu bapa ,menjaga lisan serta hati dan amal soleh yang lainnya.
Perbuatan yang membuat kita bersiaga akan membuatkan hati tenang untuk melakukan amal pada Ramadan kelak. Berbeza dengan seseorang yang tiada persiapan, kejutan amalan yang sangat banyak pada Ramadhan nanti akan membuahkan amaan yang tidak istiqamah (berterusan), bahkan boleh terjadi Ramadan terus berlalu tanpa amal sedikitpun. Justeru, ini termasuk hikmah kepada mereka yang berakal mempersiapkan diri dengan latihan amalan soleh .
Di antara rahmat Allah ﷻ untuk hambanya ialah mereka disyariat pelbagai bentuk amalan sunat sebelum (qabliyah) dan sesudah (ba’diyah) amalan wajib . Amalan sunat sebelum (qabliyah) adalah perkara yang wajib menjadi pembuka persiapan bagi melaksanakan amalan itu . Manakala perkara sunat selepas (ba’diyah) adalah menutup kekurangan dan ketidaksempurna amalan wajib tadi.
Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan :
“ puasa Syaaban itu lebih baik daripada puasa pada bulan haram, dan sebaik-baik amalan sunnah dilakukan menjelang Ramadan samaada sebelum atau sesudahnya. Maka puasa sunnah tersebut adalah seperti solat sunat rawatib (dituntut) bagi solat wajib seharian” .
Hendaklah muslim untuk membiasakan keluarga dan kaum kerabat mereka dengan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah ﷻ
Kita dianjur supaya membiasakan diri dengan berpuasa sesuai dengan kemampuan, mengatur waktu bacaan Al-Quran, melatih diri dengan menghafal zikir-zikir yang warid daripada Rasulullah ﷺ serta zikir pagi dan petang dan juga lainnya. Hal ini kerana, mereka akan sudah terbiasa dan mampu memanfaatkan Ramadan bermula awal hingga ke penghujung apabila menjelang Ramadan kelak.
Perlu diberi perhatian kepada mereka yang perlu qada puasa tahun lalu sebelum datang bulan Ramadan
Tidak wajar untuk dilewatkan qada sehingga sampai Ramadan seterusnya kecuali ada keuzuran syar’ie. Maka sempurnakan hutang puasa yang masih berbaki , khususnya kaum wanita. Sunguh, ramai yang mengambil mudah dalam hal ini sehingga ada yang meninggalkan kewajipan qada puasa bertahun-tahun.
Aisyah r.a berkata :
“Aku masih mempunyai kewajipan menggantikan puasa Ramadan, tetapi tiada kemampuan buatku untuk menggantikannya melainkan pada bulan Syaaban” .[Bukhari & Muslim]
Kepada para imam masjid, aku menasihati supaya dijaga amanah kalian sebagai imam di masjid.
Seorang imam perlu berazam, ikhlas dan semangat untuk membimbing solat tarawih kerana terdapat kebaikan yang sangat besar daripadanya. Selain itu, menjadi imam tarawih membantu mereka menjaga dan menguatkan hafalan dengan murajaah (mengulang) hafalan . Oleh itu, persiapkan diri kalian dengan bermurajaah hafalan dan perbanyakkan membaca Al-Quran dari sekarang.
Para salaf soleh dahulu selalu menyebut : “ Bulan Syaaban sebagai ‘’شهر القراء ‘’ bulan bagi pembaca Al-Quran” . Bilamana menjelang bulan Syaaban ditutup kedai mereka, seraya berkata : “ ini adalah bulan Al-Quran” , lalu terus menyibukkan diri dengan membacanya.
Akhir kata, aku memohon kepada Allah ﷻ dengan namaNya yang indah dan sifatNya yang mulia agar mengurniakan taufik kepada kita untuk melakukan perkara yang dicintai serta diredaiNya. Semoga Allah ﷻ memudahkan kita untuk melaksanakan kebaikan dan dikurnia keberkatan umur. Moga Allah menyampaikan kita pada Bulan Ramadhan dalam keadaan sihat dan diterima segala amalan yang dikerja kelak.
Semoga selawat serta salam dilimpahi kepada Nabi Muhammad ﷺ, keluarga, sahabat, dan orang-orang yang mengikuti jejak beliau hingga hari kiamat.
Ditulis oleh,
Prof Dr Husin Bin Naffa’ Al-Jabiri
Diterjemahkan oleh,
Muhammad Khairi Bin Shah Nor