Buku Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi karya Iman Danial Hakim membawa tema bibliofil; iaitu minat dan kecintaan yang mendalam terhadap buku. Saya tertarik dengan tajuk buku ini. Bagi saya ini bukan angan-angan biasa tetapi sebuah impian untuk mengabdikan diri menyelami ilmu pengetahuan melalui bacaan. 

Secara ringkas, buku ini terbahagi kepada beberapa bahagian. Antaranya pengalaman penulis dalam dunia buku dan sastera, travelog, resensi buku-buku terbaik karya terbitan di Malaysia dan Indonesia serta cadangan buku-buku yang perlu dibaca. Walaupun buku ini mempunyai pelbagai cara penyampaian, namun semuanya telah disusun dengan baik.

Sebelum ini saya mengalami cabaran untuk menghabiskan bacaan buku. Cepat bosan, tiada semangat dan keinginan untuk menggali isi dalam sesebuah buku. Tetapi selepas membaca beberapa helaian buku ini, secara automatik saya berazam untuk menghabiskan setiap buku yang saya baca. Sehingga terpaksa menahan diri daripada membaca buku bagi menyelesaikan tugasan yang lain terlebih dahulu. Apa yang menarik sehingga saya berazam sebegitu?

Melalui buku ini, saya diperkenalkan dengan istilah tsundoku dengan lebih mendalam. Tsundoku ialah perbuatan mengumpul buku tetapi tidak membacanya. Lebih ringkas, “beli tapi tak baca”.  Sejujurnya kerap terjadi pada diri saya. Selepas membaca buku ini, saya menjadi lebih jelas keperluan membaca dalam kehidupan dan ingin memanfaatkan masa dengan membaca buku. 

Selain itu, membaca buku ini menyalakan semangat iqra’ dalam diri pembaca. Kata penulis, “semangat iqra’ ialah semangat yang mendorong kita sentiasa ghairah mencari ilmu pengetahuan demi pengabdian kepada Allah taala”. Penulis mencoretkan bahawa ilmu itu ibarat kota yang kukuh. Ia melindungi dan menyelamatkan kita daripada bala. Bala yang dimaksudkan ialah kejahilan. 

Melalui ilmu, kejahilan dapat dikikiskan bagi melahirkan generasi umat Islam yang lebih unggul dan gemilang. Seruan membaca bukan sekadar seruan.  Tetapi satu laungan yang menunjukkan kepentingan buat seluruh manusia. Jika dahulu, tamadun Islam pernah menjadi tumpuan dunia kerana maju dalam pelbagai aspek. Adakah kita mahu membiarkan generasi sekarang terus terkebelakang tanpa ilmu di dada? Budaya membaca seharusnya disuburkan lagi di Malaysia.

Antara perkara yang membuatkan saya kagum dengan penulis buku ini ialah ketika beliau berjaya memenangi Cabaran 32 Buku anjuran Buku Jalanan Titi pada tahun 2017. Cabaran ini meletakkan sasaran 32 buah buku tetapi beliau berjaya membaca 105 buah buku. Hebat bukan? Penulis ada kongsikan kata-kata daripada penggerak utama Buku Jalanan Titi,

“Buku ini umpama kehidupan, jika kita baca separuh kita hanya dapat separuh kehidupan. Jika kita berjaya tamatkan, maka lengkaplah suatu kehidupan kita rasa.” 

Di samping itu, penulis juga berkongsi penggunaan aplikasi Goodreads iaitu aplikasi yang digunakan untuk mengemaskini pencapaian buku yang dibaca dalam tempoh setahun. Selain itu, Goodreads menyediakan ruang untuk pembaca mengulas buku, memberi rating, memberi komen dan melihat senarai bacaan orang lain juga. Goodreads diibaratkan seperti buku Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) di sekolah. Melalui program NILAM, pelajar membaca, merekod dan membuat rumusan berkenaan buku yang telah dibaca. Buku NILAM sama sahaja seperti aplikasi Goodreads cuma yang membezakannya ialah aplikasi tersebut menggunakan teknologi terkini.

Kaedah untuk membedah buku yang lengkap daripada langkah pertama sehingga akhir turut dikongsi oleh penulis. Bagi saya, bahagian ini menarik kerana memberi kaedah yang terbaik untuk menghasil output selepas kita membaca iaitu proses input. Saya kongsikan contoh cara untuk membedah buku. Langkah pertama ialah mengenal pasti buku apa yang ingin dibincangkan. Tentukan judul dan genre buku tersebut. Kemudian, ulas sinopsis buku, tentang penulis, sebab-sebab buku itu ditulis, pemikiran atau gagasan yang terdapat dalam buku tersebut. 

Teknik bedah buku ini boleh diaplikasi dalam bentuk resensi buku juga. Penulis ada memuatkan beberapa resensi karya-karya Malaysia dan Indonesia. Antaranya Cinta Fansuri, karya A. Samad Said, Ibu Melayu Mengelilingi Dunia karya Tan Sri Aishah Ghazali dan lain-lain. Apabila saya membaca buku ini, seolah-olah membaca 10 lagi buku kerana penulis memuatkan resensi buku-buku terbaik yang pernah beliau baca. 

Saya kagum dengan penulis buku ini. Walaupun beliau masih muda; berusia 20-an tetapi semangat kecintaannya terhadap buku sangat tinggi. Buku ini ialah bacaan yang sangat ringkas dan saya sarankan buku ini dibaca oleh sesiapa sahaja. Sangat sesuai kepada orang yang ingin tahu kepentingan membaca, yang menghadapi masalah tsundoku atau yang mempunyai impian membaca 1000 tahun lagi. Membaca itu jambatan ilmu. Membaca itu penyuluh kehidupan. Jika kita tidak mulakan budaya membaca, pasti generasi ulul albab akan ditelan zaman. Ayuh sama-sama kita gerakkan budaya membaca!

Disediakan oleh,

Nur Salsyahirah Rosli


Hantar karya anda di emel [email protected].

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.