Kenangan Panik Menyambut Sebuah Kelahiran

“Rasanya sudah tiba masanya untuk kelahiran…” adu isteriku yang sarat mengandung pada jam 3 pagi, 19 Februari 2010. Ditambah pula dengan air ketuban yang kian mengalir. Menjadi petanda bahawa waktu kelahiran semakin hampir buat puteri sulungku.

Masih dalam fasa terkejut daripada tidur, aku bingkas membawa isteriku menaiki kereta. Kereta dipandu laju di awal pagi. Biarpun sudah berulang kali memandu ke hospital, aku tiba-tiba menjadi buntu. Hampir-hampir sahaja aku tersesat. Mujur isteriku masih mampu menunjukkan jalan biarpun dalam keadaan menahan kesakitan. Mungkin inilah bahana sebuah kepanikan. Terlupa jalan. Segala yang biasa dilakukan semuanya seakan asing.  Isteri dihantar memasuki dewan bedah. Hati masih belum mencapai ketenangan. Tidak putus berdoa dan memohon doa sahabat yang soleh. Itulah kenangan hampir 7 tahun lepas, sewaktu kelahiran puteri sulungku Aisyah Humaira’. 

 

Kelahiran Rusydi Hamka di sebuah Institusi Pendidikan

Aku cuba memahami perasaan Hamka sewaktu menyambut kelahiran Rusydi Hamka. Rusydi dilahirkan oleh Siti Raham di sebuah sudut asrama, tanpa kemudahan peralatan perubatan. Ditambah lagi tanpa seliaan oleh bidan yang terlatih. Asrama Kuliyyatul Muballighien, sebuah institusi pendidikan yang dipimpin oleh Buya Hamka sendiri menjadi saksi akan kesabaran seorang ibu dalam melahirkan seorang anak. 

Foto: Madrasah Aliyah Kuliyyatul Muballighien, Padang Panjang

 

Timbul beberapa persoalan dalam fikiranku, apabila dikisahkan cerita ini kepadaku oleh Pak Surya Bunawan, salah seorang pimpinan Kuliyyatul Muballighien. Kenapa sebuah kelahiran boleh berlaku di sebuah institusi pendidikan? Ini bukan kelahiran pertama Siti Raham tetapi sudah yang ketiga. Pada kebiasaannya, tanda-tanda awal kelahiran boleh disedari oleh si ibu. Kenapa kelahiran tidak berlaku di rumah Buya Hamka sendiri, andai benarlah Hamka tidak sempat menghantarnya ke hospital yang berhampiran?

Sebab yang sebenar mungkin hanya diketahui oleh mereka ketika zaman itu. Allah lebih Mengetahui. Tetapi demi mengambil ibrah, aku membuat hipotesis bahawa peristiwa ini sebagai bukti pengorbanan Hamka dan keluarganya kepada perjuangan sebuah pendidikan. Mendirikan sebuah institusi pendidikan bukanlah tugas yang mudah. Begitu banyak kerahan keringat, masa dan minda diperlukan demi kelangsungan sebuah idealisme pendidikan.

Apatah lagi Kuliyyatul Muballighien seharusnya menjadi solusi kepada siri protes dan kritikan Hamka terhadap kaedah pendidikan islam yang pernah beliau lalui ketika zaman mudanya yang dikatakan jumud dan terlalu memfokuskan kepada hafalan tanpa membina pemikiran yang kritis. Mungkin kerana tuntutan inilah yang menyebabkan Hamka menjadikan Kuliyyatul Muballighien sebagai “rumahnya”. Sehingga berlakulah peristiwa segenting kelahiran Rusydi boleh berlaku di sekolahnya sendiri. 

Itulah Hamka dan keluarganya. Cinta mereka terhadap pendidikan telah terbukti. Sebuah cinta yang berdasarkan keyakinan, bahawa islah jangka panjang hanya akan tercapai melalui pendidikan. Dan selepas puluhan tahun, Kuliyyatul Muballighien Muhammadiyah Padang Panjang terus mengorak langkah membina generasi baru yang membawa mesej islah. 

Di manakah cinta kita kepada pendidikan? Hanya dengan rasa cinta, pengorbanan demi sebuah pendidikan akan dirasai kemanisannya.  

Inspirasi dari syarahan Bapak Surya Bunawan,  pimpinan Kuliyyatul Muballighien Padang Panjang  tentang Cinta dan Air mata Hamka. 

 

Artikel ini merupakan petikan daripada sebahagian kandungan dalam buku ‘Pesan Hamka kepada Pendidik’ tulisan Muhammad Shah Ahmad Nor.

Klik gambar untuk beli buku ini!

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.