Sebagaimana sedia maklum, sebelum ini saudari Nurul Amal Fatinah telah menulis coretan yang bertajuk “Hayati yang sebenarnya lebih berjiwa besar daripada Zainuddin”. Kupasannya begitu menarik dan mendalam hingga siapa membacanya ibarat mampu menyelami hati seorang wanita bernama Hayati. Namun itu adalah sisi pandang seorang wanita kepada wanita bernama Hayati.
Tidak perlu disangkal lagi bagaimana puitisnya gaya bahasa Buya Hamka di dalam novel ini, bagaimana beliau menitipkan kisah cinta, kesetiaan, kekeluargaan dan bagaimana beliau menerapkan kritikan sosial berkenaan darjat, keturunan dan harta yang begitu menarik dan memberi kesan. Dengan gaya bahasa yang begitu indah, watak dan suasana dirasakan seolah-olah wujud dan boleh dirasai.
Jika sebelum ini kita disajikan dengan penulisan untuk menghayati watak Hayati sebagai seorang insan yang berjiwa besar, rela mengorbankan cinta demi keluarga yang mana pada ketika itu kedudukan, keturunan, dan kekayaan menjadi ukuran. Namun di sudut lainnya, Hayati masih meletakkan Zainuddin sebagai insan yang beliau cintai.
“…di dalam jiwa ku ada satu kekayaan besar yang sangat engkau perlu kepadanya, dan kekayaan itu belum pernah ku berikan kepada orang lain, walaupun kepada Aziz, ialah kekayaan cinta..”
“…Zainuddin! Mengapa engkau tak suka memaafkan kesalahanku? Demi Allah! Sudah insaf saya, bahwa tidak ada satu orang pun yang pernah saya cintai di dalam alam ini, melainkan engkau seorang. Tidak pernah beroleh tenteram diriku setelah aku coba hidup dengan orang lain. Orang yang telah mengecewakan dirimu itu yang sekarang telah insaf dan telah menghukum dirinya sendiri, meskipun dia sanggup memperoleh tubuhku, dia selamanya belum sanggup memperoleh hatiku. Kerana hatiku telah untuk mu sejak saya kenal akan dikau..”
Namun demikian, perkahwinan Hayati dengan Aziz merupakan pilihan ninik mamaknya iaitu keputusan Dt Garang dengan muafakat, berdasarkan adat, keturunan dan pangkat.
“Ruas telah bertemu dengan buku, bagai janggut pulang ke dagu, lama berbangsa keduanya, satu bulan satu matahari.”
Ketika Mak Limah mengkhabarkan bahawasanya hayati masih mencintai Zainuddin, Dt Garang membalas;
“Lebih baik dia mati, senang kita; daripada dia memberi malu ninik mamak, merusak adat dan lembaga, mengubah cupak nan usali. Apa guna dia hidup kalau akan mencorengkan arang di kening dan menggoreskan malu di muka kita?”
Hayati dipanggil untuk dikhabarkan muafakat keputusan, penerimaan Aziz sebagai calon menantu, Dt Garang menanyakan persetujuan Hayati berkenaan hal tersebut,
“Hayati,… inilah, yang duduk ini mamak dan ninikmu, lindungan persukuanmu, yang mengebat erat memancung putus. Memperkatakan baik dan buruk, hina dan mulia dari pagi, telah berkering tempat duduk, telah berhabis pinang sirih, mencari yang elok…”
Ternyata Hayati diam membisu tanpa satu keputusan. Ini kerana beliau masih mengharap pada cinta Zainuddin, bukan kepada Aziz. Namun untuk menjaga hubungan keluarga, beliau akhirnya bersetuju.
“Bagaimana… yang akan baik kata ninik mamak raja… saya menurut!”
Jika dilihat pengorbanan Hayati kepada keturunannya sangat besar, beliau melepaskan kebahagian hidupnya, jasadnya diberikan kepada Aziz namun hatinya milik Zainuddin. Ternyata keputusan itu melanggar janji kepada Zainuddin.
“…sekali seorang anak perempuan yang jujur memberi bujukan kepada seorang laki-laki yang menghamparkan sayap pengharapan, maka selama hidupnya, kematianlah yang akan menceraikan perjanjian itu.”
Sebenarnya, Hayati memilih Aziz memang kerana mengikuti desakan ninik mamaknya, bahkan lebih dari itu keputusan itu merupakan keputusan yang telah difikirkan terbaik buat dirinya dan untuk semuanya. Hayati seolah-olah tidak yakin kebahagian memihak kepadanya jika memilih Zainuddin, dan beliau menyandarkan keputusan itu merupakan takdir yang telah ditentukan, dan Hayati memilih untuk tetap meneruskan jalan hidupnya sendiri walaupun terpaksa menanggung derita dan keyakinannya selepas derita akan hadir bahagia.
“Tak dapat saya sembunyikan kepada tuan, malah saya akui terus terang bahwasanya seketika membaca surat-surat tuan itu, saya menagis tersedu-sedu, kerana tidak tahan hati saya. Tetapi setelah reda gelora dan ombak hati yang dibangkitkan oleh surat tuan itu,timbullah kembali keinsafan saya, bahawa tangis itu hanyalah tangis orang-orang yang putus asa, tangis orang yang maksudnya terhalang dan kehendaknya tidak tercapai. Tangis dan kesedihan itu selamanya mesti reda juga, ibarat hujan; selebat-lebat hujan, akhirnya akan teduh jua.
Kita akan sama-sama menagis buat sementara waktu, laksana tangis anak-anak baru keluar dari perut ibunya. Nanti bilamana dia telah sampai ke dunia, dia akan insaf bahwa dia pindah dari alam yang sempit kedalam alam yang lebih lebai; kelak tuan akan merasai sendiri bahwa hidup yang begini telah dipilihkan Allah buat kebahagian tuan. Allah telah sediakan hidup yang lebih beruntung dan lebih murni untuk kemaslahatan tuan dibelakang hari.”
Bahkan, perkahwinan dengan Zainuddin adalah sesuatu yang mustahil untuk terjadi. Disini merujuk kepada akan berlaku tentangan hebat dari ninik mamaknya dan dalam masa yang sama kemiskinan akan merobek kebahagian mereka sekiranya berkahwin.
“Tuan kan tahu saya seorang gadis yang miskin dan tuan pun hidup dalam melarat pula, tak mempunyai persediaan yang cukup untuk menegakkan rumah tangga. Maka lebih baik kita singkirkan perasaan kita, kembali kepada pertimbangan. Lebih baik kita berpisah, dan kita turutkan perjalanan hidup masing-masing menurut pertimbangan kita, mana yang lebih bermanfaat buat di hari nanti. Saya pun merasai sebagai tuan rasakan, yaitu kesedihan menerima ponis itu. Tetapi tuan harus insaf, sudah terlalu lama kita mengangan-angan barang yang mustahil, baik saya atau pun tuan.”
Hayati menekankan sekali lagi bahawa beliau telah memilih Aziz atas pertimbangan yang murni walaupun pada awalnya perasaannya berbelah bahagi, dan sebaliknya beliau boleh sahaja menolak pinangan Aziz dan Zainuddin dan menderita sebagaimana dirasai Zainuddin.
“Tuan pilih sajalah seorang isteri yang lebih cantik dan lebih kaya dari saya, dan marilah kita tinggal bersahabat buat selamanya. Kepada Aziz tak usah tuan kecil hati, dia tak salah dalam perkara ini. Tetapi sayalah yang telah mengambil keputusan yang tetap buat bersuanu dia; lawan saya musyawarat iailah hati saya sendiri, sehingga saya terima tawaran ninik mamak saya.”
Dan akhirnya Hayati memuktamadkan keputusannya dan memutuskan janji setianya yang telah diikrarkan kepada Zainuddin sebelum ini.
“Dan saya harap tuan lupakanlah segala hal yang telah berlalu, maafkan segala kesalahan dan keteledoran saya, sama kita pandang hal yang dahulu seakan-akan tidak ada saja.”
Oleh itu dapat dilihat sebab keputusan Hayati merupakan pilihan yang dirasakan sewajarnya, dan Zainuddin pula telah sedaya upaya mempertahan cintanya dengan harapan dan ratapan baik kepada ninik mamak Hayati dan Hayati itu sendiri. Hayati selepas daripada itu tetap merasai kebahagian berpasangan walaupun tidak sedikit atau sebanyaknya, dan Zainuddin derita sehingga sakit hampir menemui ajalnya.
Bahkan sebenarnya Hayati tidak mempercayai kebolehan Zainuddin, beliau merasakan Zainuddin hanya berangan-angan dan tidak akan berjaya dalam cita-citanya.
Ini dibuktikan melalui surat kepada sahabatnya Khadijah, surat ini diutuskan selepas beliau membaca hikayat “terusir”;
“Kalau memang ini karangannya, alangkah salahnya persangkaan kita kepada anak muda yang kita sangka kurang akal itu. Rupanya dia mempunyai pikiran tinggi, telah menjadi pengarang yang besar…”
Zainuddin merupakan watak yang hebat dan lebih berjiwa besar apabila dilihat bagaimana beliau melalui fasa derita, kejayaan dan sehingga kematian Hayati. Zainuddin selepas menerima surat keputusan dari Hayati, beliau membalas surat turut dengan perasaan reda, dan menghormati Hayati. Zainuddin merupakan watak yang menjaga kehormatan Hayati biarpun dirinya telah disakiti oleh Hayati.
“Alhamdulillah telah saya jalankan sepanjang bunyi suratmu. Telah saya lupakan segala hal yang lama-lama. Telah saya pandang semua hal itu tidak ada saja. Saya ucapkan pujian kepada sahabat, kerana sahabat telah dapat menentukan nasib buat dibelakang hari, dan saya pun akan berikhtiar pula…”
Adakah Zainuddin telah melupakan Hayati selepas beliau bangkit dari derita?
Dan setelah beliau berjaya mengejar cita-cita sehingga menjadi pengarang hikayat yang agung dan sangat mahsyur dan dimuliakan?.
Zainuddin sebenarnya masih menempatkan Hayati di dalam hatinya, bahkan tidak pernah melupakan Hayati. Ini dibuktikan dengan kisah hikayat yang ditulisnya bertajuk “terusir” berkenaan kisah cintanya sehingga hikayat ini menjentik hati Hayati kebetulan membacanya, dan menyakini kisah itu merupakan kisah cintanya dengan Zainuddin.
“Mengingat letter itu, dari mengingat isi cerita, saya teringat kembali kepado anak muda yang telah terpedaya lantaran saya, Zainuddin. Kalau bukan karangannya, kenapa hampir serupa apa yang ditulisnya dengan kejadian itu, tidak berapa bedanya.”
Gambar potret Hayati yang tertulis “permataku yang hilang” yang digantung di dalam kamar tulisnya dan kenyataan dari bang Muluk bahawa Zainuddin masih mencintai Hayati.
“…encik… sebetulnya engku Zainuddin masih tetap cinta kepada encik. Tetapi sebagai seorang budiman dia hormati encik sebagai isteri dari orang yang telah mengaku sahabatnya, meskipun orang itu pernah mengecewakan hidupnya. Bukan main terharunya hatinya ketika dia ketahui kesengsaraan encik bergaul dengan suami encik…”
Maksud tulisan di atas protret Hayati adalah merujuk kepada perkataan bang Muluk iaitu;
“Ingat, dan selamanya dia tidak akan lupa. Tetapi… Hayati yang dicintainya itu telah hilang.”
“Hayati yang dicintainya tidak ada lagi, telah mati. Semangat Zainuddin telah dibawanya bersama-sama ke kuburnya. Hayati yang menumpang di rumahnya sekarang, ialah sahabatnya, isteri pula dari sahabatnya.”
Hayati masih bertempat di dalam hati Zainuddin. Zainuddin tidak pernah melupakan Hayati, hatta meluputkan namanya . Walaupun Hayati telah menyakitinya. Zainuddin mengibaratkan Hayati sebagai kehilangan, bukan sebagai pendusta cinta mereka. Kita dapat melihat betapa ikhlasnya, murninya dan hebatnya Zainuddin memegang janjinya dan mencintai Hayati. Kekuatan yang dimiliki Zainuddin melambangkan kebesaran jiwanya.
Dibuktikan lagi bagaimana Zainuddin boleh menerima pasangan ini menetap sementara di dalam rumahnya ketika pasangan tersebut dicengkam masalah. Ini diibaratkan seolah-olah Zainuddin memberi penawar walaupun sebelum ini Hayati telah meracunnya. Zainuddin menerima pasangan ini bukan disebabkan Hayati, tetapi hanya membantu tidak lebih sebagai seorang sahabat sebagimana permintaan Hayati dahulu. Sebab itu, selepas kematian Aziz, Zainuddin bertekad hendak menghantar Hayati pulang ke kampung halaman.
Cuma kita akan melihat bagaimana plot harapan Hayati dan kemarahan Zainuddin ketika mereka berbicara hendak menghantar Hayati pulang ke kampung. Di sini Hayati telah mengetahui kesalahan dalam keputusannya memilih Aziz, pandangan beliau terhadap Zainuddin hanya sebagai seorang insan yang bercita-cita penuh angan-angan adalah tersasar.
“Zainuddin… saya akan sudi menanggungkan segenap cobaan yang menimpa diriku itu, asalkan kau sudi memaafkan segenap kesalahanku.”
Namun, kita akan dapat melihat bagaimana dialog yang diungkapkan Zainuddin seakan-akan menghamburkan kemarahan kepada Hayati, tetapi jika ditebarkan seluasnya diantara perkataan dan perbuatannya kepada Hayati hanyalah melepaskan kekecewaan yang terbuku di hati beliau dan bukan membenci Hayati. Zainuddin juga menunaikan janjinya kepada Hayati sebagimana yang diminta oleh Hayati sebelum ini tidak lebih hanya sebagai sahabat, kita maklum akan watak Zainuddin yang sentiasa menjaga kehormatan Hayati, tidak mahu memberi aib hatta Zainuddin boleh sahaja mengahwini Hayati selepas kematian Aziz, namun Zainuddin tetap dengan janjinya. Ini melambangkan prinsip seorang manusia yang tidak berbolak-balik ketika mana hadir dihadapannya kepentingan buat dirinya. Sekiranya Zainuddin tidak berprinsip dan tidak berjiwa besar, mungkin Hayati akan diterimanya dan melupakan janjinya kerana peluang berada dihadapannya.
“Kau minta maaf Hayati? Setelah segenap daun kehidupanku kau regas, segehap pucuk pengharapanku kau patahkan, kau minta maaf?.”
“Tidak Hayati! Saya tidak kejam, saya hanya menuruti katamu. Bukankah engkau minta di dalam suratmu supaya cinta kita itu dihilangkan dan dilupakan saja, diganti dengan persahabatan yang kekal? Permintaan itulah yang saya pegang teguh sekarang. Engkau bukan kecintaanku, bukan tunangku, bukan isteriku, tetapi janda dari orang lain. Sebab itu cara sebagai seorang sahabat, bahkan secara seorang saudara, saya akan kembali teguh memegang janjiku dalam persahabatan itu, sebagaimana teguhku dahulunya memegang cintaku.”
Surat terakhir Hayati seolah-olah meletakkan kekejaman kepada Zainuddin, tetapi sebenarnya ia hanyalah nukilan Hayati kepada Zainuddin, tidak lebih hanya harapan dan penyelasan perbuatannya. Sehingga kita melihat bagaimana Zainuddin merubah keputusannya ingin memiliki Hayati kembali namun terlewat. Dan kematian Hayati merupakan sebab kepada kematian Zainuddin.
Pada akhir kalam, buya Hamka telah meletakkan satu ayat yang mengesankan jiwa raga pembaca, untuk menghargai watak Zainuddin, semangat dan perjuanganya, kekuatan dan kebesaran jiwanya.
“Demikianlah penghabisan kehidupan orang besar itu. Seorang diantara pembina yang menegakkan batu pertama dari kemulian bangsanya, yang hidup didesak dan dilamun cinta, dan sampai matinya pun dalam penuh cinta. Tetapi sungguhpun dia meninggal namun riwayat tanah air tidaklah akan dapat melupakan namanya dan tidaklah akan sanggup menghilangkan jasanya.
Kerana demikian nasib tiap-tiap orang bercita-cita tinggi, kesenangannya buat orang lain, buat dirinya sendiri tidak.
Sesudah dia menutup mata, barulah orang insaf siapa sebetulnya dia…”
TAMAT CORETAN
Disediakan oleh,
Mohd Haffiz Bin Zainal Abidin, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan (kepujian) dan bekerja sebagai Eksekutif di Yayasan Selangor.
Hantar karya anda di emel [email protected].
Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!