Pada cuti raya tahun 2019, saya berpeluang menghabiskan buku Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi, hasil daripada nukilan pencinta buku Iman Danial Hakim. Buku terbitan Jejak Tarbiah ini dibeli ketika PBAKL 2019. Alang-alang sudah membaca biar sampai ke halaman terakhir.
Buku ini mengisahkan pengalaman, pandangan, resensi dan perjalanan peribadi penulis yang sedang asyik dengan dunia pembacaan dan pembukuannya sendiri.
Seperti saya yang juga merupakan pembaca dan pembeli buku begitu jugalah dengan penulis tersebut. Cuma saya tidak sekuat penulis untuk mendedikasikan diri dengan memperuntukan komitmen yang tinggi untuk membaca atas pelbagai komitmen dan kekangan. Walau bagaimanapun, saya tetap berusaha mencari masa untuk membaca disebalik kesibukan bekerja pada siang harinya dan kesibukan kerja di rumah.
Buku Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi antara buku genre kegemaran saya kerana buku ini memotivasikan diri saya untuk membaca. Saya tertarik dan kagum dengan kemampuan penulis yang menjuarai Cabaran Membaca 32 buah buku anjuran Buku Jalanan Titi pada tahun 2017. Saya tergamam apabila penulis berjaya menghabiskan 92 naskah buku iaitu hampir 3 kali ganda dari jumlah minima dalam pertandingan tersebut.
Pengalaman peribadi penulis yang bergelumang dalam dunia ketersendirian dan keterasingan. Kecanduan yang dibentuk daripada pembacaan menyebabkan pembaca ketawa, menangis, bahagia bahkan membentuk keyakinan kepada pembaca.
Buku ini umpama sebuah kehidupan. Jika kita hanya membaca separuh, kita hanya dapat separuh daripada kehidupan. Jika kita berjaya menamatkannya, maka lengkaplah satu kehidupan kita.
Selain itu, penulis juga tidak lokek berkongsi pengalaman dalam sesi bedah buku. Bedah buku bukan sekadar merumuskan isi kandungan dan butiran fizikal buku itu sendiri tetapi juga menceritakan latar belakang penulisnya, sebab musabab buku ini ditulis dan juga gagasan atau pemikiran yang terkandung didalamnya.
Genre puisi dan kesusteraan adalah minat utama penulis. Lantaran minat yang mendalam terhadap puisi membawanya ke Indonesia khasnya ke Banda Aceh untuk memburu buku-buku terbaik.
Saya akui, industri pembukuan tetangga kita tidak pernah mengecewakan. Saya gemar mencari genre terjemahan dari bahasa asing ke bahasa Indonesia. Sepanjang lima kali kunjungan saya ke Indonesia, toko buku adalah antara tempat yang harus saya kunjungi dan pastinya penuh satu bagasi dengan buku-buku yang diborong. Saya percaya inilah yang dialami oleh penulis walaupun tidak segila saya dalam membelinya.
Dalam bab Indonesia Membaca, penulis menyertakan artikel berkenaan Chairil Anwar, Tere Leye dan Hamka. Ia mewakili period yang berbeza namun memberikan impak dan sumbangan yang bermakna dalam perkembangan persuratan Indonesia itu sendiri. Bab terakhir merupakan rumusan atau bedah buku dari pertandingan Cabaran Membaca 32 Buku yang disertai penulis. Terdapat 10 buah buku yang berbeza kandungannya seperti kesusteraan, travelog, falsafah keagamaan, memoir dan patriotisme yang telah memberi impak signifikan pada waktunya yang dirumuskan penulis.
Kesimpulannya, membaca adalah satu proses yang tiada penghujung. Ia membentuk satu mandala atau lingkaran bermanfaat terhadap pembaca atau orang disekelilingnya. Satu perjalanan yang menerobos gagasan agung dan juga menerawang sempadan-sempadan pemikiran yang tidak dapat diperolehi menerusi kuliah atau diskusi. Manisnya akan lebih terasa jika kita memahami dan menyampaikannya semula menerusi nukilan penulisan agar dapat dimanfaatkan oleh orang lain.
“Wujudkah manusia yang mahu membaca 1000 tahun lagi? Barangkali manusia itu ialah kita selepas membaca naskhah penuh inspirasi ini. Mustahil? Membaca ialah keabadian.”
Disediakan oleh,
Kamarul Faizal