Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau nama masyhurnya Hamka merupakan seorang figura ulama’ berasal dari rantau Nusantara yang terkenal lantaran penulisan karya-karyanya yang tidak hanya membincangkan perkara-perkara berkaitan agama Islam sahaja, bahkan beliau telah menjadikan penulisan sastera sebagai suatu medium bagi kritikan sosial terhadap situasi masyarakat yang hidup sezaman dengannya.
Hal ini boleh dapati sekiranya kita membaca beberapa karya sastera Hamka, seperti novel Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, dan Di Bawah Lindungan Ka’abah. Suatu perkara yang menarik untuk diamati iaitu terdapat suatu persamaan antara kisah-kisah tersebut dimana ianya berkisarkan kisah gadis yang terpaksa menerima pinangan lelaki sekalipun ianya bertentangan dengan pilihan hatinya sendiri.
Misalnya watak Hayati di dalam novel Tenggelamnya Kapal Van der Wijck yang terpaksa menerima pinangan Aziz lantaran keputusan muafakat keluarga yang beralasankan adat suku Minangkabau juga biarpun Aziz itu terkenal dengan sikap womanizer dalam kehidupan masyarakat kota besar.
Maka ditolaknya permintaan Zainuddin untuk melamar Hayati lantaran Zainuddin merupakan seorang anak dagang yakni anak campuran antara suku Minang dari jalur keturunan ayahnya manakala ibunya merupakan asal usul dari Mengkasar, lagi miskin pula biarpun hakikatnya cinta yang berputik di hati Hayati hanya buat Zainuddin seorang!
Seterusnya, dalam novel Di Bawah Lindungan Kaabah kita melihat bagaimana Mak Asiah yang berkeras mahu mengahwinkan anak tunggalnya, Zainab dengan seorang saudara dari almarhum suaminya Engku Jaafar. Alasan ibunya, Mak Asiah biar harta kekayaan Haji Engku Jaafar itu diuruskan oleh kaum kerabat terdekat memandangkan warisnya hanya Zainab seorang. Cintanya pada Hamid ditolak mentah-mentah oleh ibunya lantaran berpegang teguhnya orang tuanya terhadap adat masyarakat Minang di Padang!
Biarpun adat Minangkabau itu dikenali sebagai sebuah adat yang menjunjung sistem kekerabatan matrilineal iaitu menitikberatkan keturunan sebelah ibu, namun dalam hal penerimaan pinangan anak perempuan oleh seorang lelaki hanyalah diputuskan berdasarkan hasil muafakat kaum kerabat tanpa dirunding terlebih dahulu apakah penerimaan si gadis terhadap lelaki yang datang meminang itu.
Justeru, Hamka selaku seorang alim dalam agama telah mengambil inisiatif untuk menegur masyarakat di zamannya dengan penulisan novel sastera yang antara lain mengkritik sikap autokratik masyarakat yang berpegang teguh dengan adat itu sekalipun pemakaian adat itu bertentangan dengan norma kehidupan masyarakat beragama.
Dalam Islam, walaupun orang tua si gadis diberikan hak untuk memaksa anak gadisnya untuk dinikahi oleh seorang lelaki yang diakui baik peribadi dan agamanya, namun Islam sama sekali tidak meminggirkan malah meraikan perasaan dan hati seorang gadis yang dalam pemilihan calon bakal pasangan hidup mereka. Sabda Nabi Muhammad Sollahualai Wasalam dalam sebuah hadith:
لَا تُنْكَحُ الأَيِّمُ حَتَّى تُسْتَأْمَرَ وَلاَ تُنْكَحُ الْبِكْرُ حَتَّى تُسْتَأْذَنَ ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ ” وَكَيْفَ إِذْنُهَا؟ ”
قَالَ ” أَنْ تَسْكُتَ ”.
“Tidak dinikahi seorang perempuan yang sudah berkahwin (janda atau balu) itu melainkan setelah diperolehi izinnya, dan tidaklah seorang anak dara melainkan diperolehi izinya”. Lalu mereka bertanya: Bagaimana (caranya untuk mengetahui) izinnya?”. Lalu Baginda menjawab: “Dia diam (tatkala ditanya)” (HR Bukhari)
Manakala dalam riwayat yang lain, Rasulullah Sollahualai Wasalam bersabda:
الثَّيِّبُ أَحَقُّ بِنَفْسِهَا مِنْ وَلِيِّهَا وَالْبِكْرُ يَسْتَأْذِنُهَا أَبُوهَا فِي نَفْسِهَا وَإِذْنُهَا صُمَاتُهَا ” “
“Seorang wanita yang sudah berkahwin (janda atau balu) itu lebih berhak terhadap dirinya berbanding walinya, adapun seorang anak dara, maka seorang ayah hendaklah mendapatkan izin anaknya terlebih dahulu, dan keizinannya diketahui melalui sikapnya yang berdiam diri” (HR Muslim)
Oleh yang sedemikian, seorang ibu mahupun ayah hendaklah berbincang dan mendapatkan pandangan anak gadisnya, adakah hatinya tenteram atau suka terhadap lelaki yang datang meminang dirinya? Kerana kelak si anak juga yang akan menanggung tuah nasib berdamping dengan lelaki tersebut dalam sebuah pelayaran bahtera rumah tangga.
Adapun buat anak gadis, usah terburu-buru dalam membuat keputusan tatkala datangnya seorang lelaki yang datang meminang dirimu. Pintalah nasihat dan pandangan orang tuamu kerana bukankah mereka berdua yang selama ini bersusah payah dan berkorban apa yang terdaya demi anak sang permata hati dan bukankah Tuhan reda akan hamba-Nya sekiranya orang tuanya redha pada dirinya.
Disediakan oleh,
Fathi Anwar,
Setapak, Kuala Lumpur