Bhutan merupakan negara tanpa pantai di Himalaya dan terletak di antara Negara India dan China. Di bendera negara Bhutan, terpampang gambar seekor naga. Dalam kalangan masyarakat tempatan, Bhutan dikenali sebagai Druk Yul iaitu tanah naga halilintar .
Negara ini asalnya dikenali dengan pelbagai nama seperti Lho Jong (Lembah Selatan), Lho Mon Kha Shi (Negara Mongolia Selatan dari Empat Penjuru), Lho Jong Men Jong (Lembah Selatan Pengubatan Herba) and Lho Mon Tsenden Jong (Lembah Mongolia Selatan Tempat Tumbuh Sandlewood) .
Setelah itu, Bhutan dikenali sebagai Druk Yul dalam sekitar abad ke 17. Nama tersebut merujuk kepada aliran agama Buddha Drukpa yang telah menjadi agama dominan di kawasan tersebut. “Bhutan” mungkin diambil dari perkataan Sanskrit Bhu-Utthan iaitu tanah tinggi. Dalam teori Sanskritisation, Bhots-ant bererti “Hujung Tibet”, kerana Bhutan bersebelahan selatan Tibet.
Bhutan mepunyai penduduk sekitar 800,000 dan berkeluasan 38,394 kilometer persegi. Thimphu merupakan ibu negara dan bandar terbesar di Bhutan. Majoriti penduduk adalah beragama Buddha Vajrayana. Mereka mengamalkan konsep keterbukaan dalam beragama, justeru penduduk dan pelancong bebas mengamalkan agama lain seperti Kristian, Hindu dan Islam.
Kini, Bhutan ditadbir oleh Jigme Khesar Namgyel Wangchuck yang dilahirkan 21 Februari 1980. Baginda merupakan Raja Naga ke-5 Bhutan selepas Jigme Singye Wangchuck, Raja Naga ke-4 mengumumkan hajat untuk turun takhta bagi memberi laluan kepada anakandanya. Beliau juga merupakan Ketua Wangsa Wangchuck. Baginda naik takhta pada 14 Disember 2006, dan ditabalkan secara rasmi pada 6 November 2008. Baginda kini merupakan ketua negara yang paling muda di dunia. Baginda merupakan pemimpin yang memastikan negara Bhutan sentiasa melindungi dan menjaga alam sekitar walaupun berada di arus kemodenan.
Pakaian tradisional mereka adalah pakaian seharian mereka ke tempat-tempat awam dan majlis-majlis rasmi. Pakaian nasional Bhutan untuk kaum lelaki adalah Gho dan Kira untuk kaum perempuan. Kerajaan Bhutan telah membataskan budaya dan masyarakat dari pengaruh luar.
Dorongan ini untuk memastikan perlindungan ajaran kuno. Kini, ajaran ini diwariskan melalui festival dan acara lain yang menceritakan kisah leluhur mereka. Pakaian Bhutan dalam kostum meriah, beberapa dengan topeng dan menciptakan rekreasi dan tarian Rinci yang menghibur dan menceritakan kepada orang lain tentang kisah kehidupan spiritual Bhutan.
Jongkha atau Dzongkha (Jong-kă) merupakan bahasa kebangsaan negara Bhutan. Perkataan “Jongkha” atau “dzongkha” bermaksud yang bahasa tersebut (kha, jong) disebut dengan dzong (jong), dzong wujud seperti kubu-kubu untuk sami-sami yang ada diseluruh Bhutan diwujudkan oleh Shabdrung Ngawang Namgyel dalam kurun ke-17. Selain itu, mereka turut menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi.
Untuk pengetahuan semua, Bhutan merupakan salah satu negara yang paling terasing dan kurang pembangunan di dunia. Mereka unik kerana melawan arus kemodenan masa kini . Keaslian alam dan budaya masih terpelihara atas usaha pemimpin di negara itu, dengan melaksanakan Dasar Berkepentingan Tinggi, Berpengaruh Rendah. Pengaruh asing dan pelancong dikawal ketat oleh kerajaan bagi mengekalkan kebudayaan tradisi dan jati diri negara. Hal ini kerana, mereka mengamalkan konsep mengehadkan pelancongan bagi menjaga keaslian sumber semula jadi Bhutan untuk tatapan generasi akan datang.
Tahukah anda, Bhutan antara negara yang dikategorikan sebagai percutian termahal? Selain visa dan penginapan yang mahal, cukai yang tinggi akan dikenakan kepada semua pelancong yang memasuki negara ini. Jadi, tidak hairanlah caj-caj yang dikenakan bagi melindungi dan menjaga alam semula jadi di negara tersebut kerana mereka mengutamakan impak sosial berbanding ekonomi.
Walaupun begitu, masih ada pelawat yang ingin datang ke Bhutan. Data yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Kebangsaan Bhutan menunjukkan peningkatan kemasukan pelancong sebanyak 19,393 daripada 254,704 pada tahun 2017 meningkat kepada 274,097 pelancong pada 2018 .
Antara langkah yang diambil selain mengawal kehadiran pelancong, mereka mengharamkan menggunaan beg plastik sekitar tahun 1999. Perkara ini dilakukan sebagai alternatif untuk mengelakkan pencemaran alam. Lima tahun selepas itu, penjualan dan penggunaan tembakau diharamkan sehingga ke hari ini dan menjadikan Bhutan satu-satunya negara di dunia yang mengharamkan tembakau. Selain itu, kita boleh didakwa atau dipenjara seumur hidup andai membunuh haiwan terancam atau membunuh haiwan bukan milik anda seperti lembu!
Ini menunjukkan negara Bhutan amat menjaga hal-hal alam sekitar di negaranya kerana menyedari arus kemodenan juga memberikan kesan yang buruk di samping kebaikan. Negara Malaysia boleh mengambil dan mengaplikasikan inisiatif yang dilakukan oleh Bhutan dalam aspek pelancongan kerana ini akan memewahkan lagi industri pelancongan. Bhutan telah menunjukkan bahawa dengan menggunakan dan memperkayakan alam sekitar, penjanaan keuntungan berlipat kali ganda dapat diperolehi berbanding memajukan negara dengan hutan batu.
Disediakan oleh,
Norhanan Binti Abdul Latip
Seri Kembangan, Selangor.
Hantar karya anda di emel [email protected].
Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!