Ada sebahagian orang sememangnya tidak pernah menyia-nyiakan masa yang ada, kudrat dan usaha mereka dihabiskan dengan memberi manfaat kepada orang-orang yang memerlukan bantuan. Jarak, penat lelah bukan penghalang bagi mereka yang gemar melakukan kebaikan.
Di mana ada musibah dan golongan yang memerlukan bantuan di situlah kaki mereka melangkah, meringankan beban mangsa yang terlibat. Sebagai umat Islam yang dididik oleh Allah SWT melalui al-Quran dan Rasul utusan-Nya seharusnya mempunyai empati yang tinggi dan hati yang ikhlas serta gemar berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.
Betapa murni niat dan tekad golongan ini, mereka juga adalah orang-orang yang menyembunyikan amalan agar dapat menjaga hati dari penyakit riak disebabkan pujian manusia. Kerana itu janganlah kita mahu ketinggalan meraih amal pahala yang akan menjadi bekal di akhirat kelak.
Sekiranya kita tidak mampu turun padang berganding bahu bersama mereka maka ringan-ringankanlah tangan menyumbang dana sesuai kemampuan kita, sedikit atau banyak yang kita hulurkan bukanlah yang menjadi perhitungan sebaliknya keikhlasan hati kerana Allah SWT memberi nilai tinggi kepada niat yang ikhlas dan tidak melihat pada jumlah yang banyak.
Hadis yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam r.a, Nabi SAW bersabda:”Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah”. [Riwayat al-Bukhari: 1427]
Jadikan Ramadan kali ini mengajar kita untuk saling memberi, berkongsi dalam apapun bentuk sesuai kemampuan kita, usaha semaksimal mungkin bagi meraih pahala yang berlipat ganda di bulan mulia ini, peluang ini tidak seharusnya kita sia-siakan begitu sahaja. Mulakan dalam lingkungan kita yakni orang-orang di sekeliling ataupun orang-orang terdekat walaupun sekadar memberi juadah berbuka. Dalam sebuah hadis ada disebutkan.
“Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.” [HR. Tirmidzi]
Sebagai umat Islam kita seharusnya lebih kedepan dalam mengerjakan amal kebaikan. Ini kerana Allah SWT telah memberi khabar gembira buat mereka yang gemar berbuat baik.
“Dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu niscaya kamu akan memperoleh (balasan)nya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya. dan mohonlah ampunan kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [Surah Al-Muzammil: 20]
“Dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang berbuat baik.” [Al-Baqarah: 195]
Berlumba-lumbalah dalam melakukan amal kebaikan dan jangan berlengah, gunakan kesempatan yang ada sebagai satu peluang keemasan yang mungkin tidak kita dapatkan di lain hari. Dengan demikian kita akan belajar bersegera dalam melakukan apapun bentuk kebajikan.
Disediakan oleh : Aishah Nerina
Sandakan, Sabah.