Tidak dapat disangkal lagi, media sosial menjadi platform utama kebanyakan kita untuk mendapatkan berita dan informasi terkini. Namun, penggunaan media sosial meletakkan diri kita pada posisi yang mudah terdedah dengan berita palsu. Manakan tidak, setiap daripada kita berpotensi menjadi pemberita tidak bertauliah yang turut menyebarkan segala macam perkara di laman media sosial masing-masing. Hal ini menjadi-jadi akibat daripada ketiadaan atau kurangnya peranan gatekeeper untuk menapis apa yang tersebar di dunia maya. Tetapi itu bukanlah satu alasan untuk kita kekal menjadi mangsa keadaan dan menerima apa-apa sahaja hantaran yang dibuat sebagai satu kebenaran. Kita juga boleh bertindak proaktif untuk menjadi gatekeeper kepada diri kita sendiri.

Jadilah manusia yang skeptikal

Tidak kira dunia maya atau dunia fizikal, sentiasalah beringat bahawa apa-apa perkara yang kita terima belum tentu seratus peratus benar. Pengetahuan yang ada di dalam dunia ini sifatnya sementara (provisional), bermaksud apa yang diketahui sebagai benar pada hari ini mungkin sahaja boleh disangkal kebenarannya pada esok hari dek perkembangan ilmu melalui kajian dan penemuan baharu.

Keraguan dan kesangsian pada apa-apa perkara yang kita terima bukanlah bererti kita bersikap sinis. Ia ialah satu langkah berjaga-jaga, dan pada masa yang sama melatih kita untuk berfikir secara kritis. Pendekatan sebegini diperlukan apabila kita menerima apa-apa sahaja yang dibuat sebagai hantaran, sekali pun daripada sumber berita paling sahih yang dipercayai. Hal ini kerana, tiada manusia yang sempurna dan tidak melakukan kesilapan, hanya sanya ada manusia yang akan mengakui kesilapan dan bertanggungjawab ke atasnya. Selebihnya ialah manusia yang berniat jahat dan mengharapkan kita untuk tidak berfikir panjang agar mereka dapat mengambil kesempatan dengan berita palsu yang disebarkan.

Pertimbangkan sumbernya

Walaupun kita disarankan untuk tidak meletakkan seratus peratus kepercayaan pada mana-mana sumber berita, ini tidak bererti kita tidak mengambil maklum akan reputasi sumber tersebut. Reputasi sesuatu sumber itu penting. Siapakah di sebalik sumber berita itu? Siapakah yang menulisnya? Siapakah yang menyebarkannya? Siapakah yang mengambil gambar tersebut? Siapakah yang mendapat keuntungan di sebalik berita tersebut?

Ini ialah antara persoalan yang penting untuk diketahui jawapannya bagi mengenalpasti agenda di sebalik berita yang mana ia boleh menjejaskan keabsahan dan kebolehpercayaannya. Jika berlaku kesilapan daripada sumber yang boleh dipercayai, sekurang-kurangnya kita boleh menjangkakan akan diberikan makluman berkenaan ralat yang berlaku. Hal yang serupa tidak mungkin akan berlaku jika berita itu datang daripada sumber yang diragui.

Google bukanlah segala-galanya

Google hanyalah salah satu daripada enjin pencarian yang wujud dalam dunia Internet. Apa yang dipaparkan di Google adalah berdasarkan kata kunci yang kita letakkan dan sedikit sebanyak juga dipengaruhi oleh algoritma yang bekerja di sebalik tabir membentuk identiti dalam talian kita. Google hanyalah bertindak sekadar pembuka jalan untuk kita membuat carian. Ia bukanlah penentu jawapan muktamad bagi apa-apa persoalan yang kita ada. Maka, tidak memadailah untuk meletakkan kebergantungan kita semata-mata pada apa-apa yang dipaparkan di Google tanpa membuat analisis tambahan. 

Perlahankan rentak

Apabila kita membaca apa-apa hantaran, janganlah terlalu cepat menerima ia sebagai kebenaran atau membuat kesimpulan. Semak dahulu daripada beberapa sumber yang berlainan. Sifat media sosial yang pantas itu ialah satu kekuatan dan pada masa yang sama juga ialah kelemahannya. Sesuatu perkara yang berlaku itu pantas menjadi satu hantaran di media sosial kerana kita seolah-olah tiada kewajiban untuk membuat pemeriksaan fakta yang sudah tentu akan mengambil lebih masa. Mulalah melihat berita atau apa-apa hantaran sebagai hanya satu keberangkalian tentang realiti; ia hanyalah salah satu petunjuk arah dalam perjalanan kita menuju kebenaran, dan ia bukanlah kebenaran itu sendiri.

Persoalkan jika tiada pihak lain turut melaporkannya

Jika kita terjumpa satu berita tentang kejadian yang besar dan sensasi, dan hanya laman sesawang atau akaun media sosial itulah satu-satunya yang melaporkan berita tersebut, tanya pada diri sendiri, “Kenapa platform lain tidak melaporkannya juga?” Akal yang waras sudah pasti dapat mengesan kejanggalan situasi ini. Jika bukan dengan niat jahat untuk menyebarkan berita palsu, barangkali ia merupakan klip umpan (clickbait) untuk meraih tontonan.

Jika benar terdapat satu virus misteri yang menyebabkan manusia di dunia bertukar menjadi zombi, tidakkah pelik jika ia hanya dilaporkan dalam satu laman sesawang?

Fahami perbezaan antara pendapat dan berita

Berita seharusnya berkisar soal fakta tentang kejadian dan petikan langsung daripada temu ramah yang berkaitan dengan kejadian yang mahu dilaporkan. Pendapat pula bersifat lebih terbuka yang mana individu yang memberikan pendapat bebas menyatakan pandangan masing-masing yang sudah tentu tertakluk kepada kepincangan maklumat dan kedangkalan pengalaman oleh diri sendiri. Tidak salah membaca pendapat daripada individu lain kerana ia juga boleh dijadikan input yang berguna. Silapnya jika kita salah meletakkan pendapat untuk sama-sama berada pada posisi fakta berita dan menganggap kedua-dua itu sama sahaja.

Semak URL 

Terdapat laman sesawang dan profil halaman media sosial yang palsu dan sengaja meletakkan URL atau nama yang hampir serupa dengan laman sesawang dan profil halaman yang tulen. Perbezaannya boleh jadi hanya sekadar satu huruf atau tiadanya verified badge. Sekali pandang seperti tiada perbezaan, tetapi di situlah celah yang sesuai bagi manusia yang berniat untuk menyebarkan berita palsu mengambil kesempatan.

Jangan sebarkan “sampah”

Tanya sama diri, adakah kita sangat suka menekan butang Share atau Forward tanpa terlebih dahulu mendapatkan kesahihan tentang apa yang kita mahu kongsi? Dalam banyak situasi, perkongsian sesuatu hantaran akan dilihat sebagai sokongan terhadap isi kandungan hantaran tersebut. Jika kita sendiri tidak mahu suapan berita kita dipenuhi “sampah”, usahlah kita turut menyebarkan “sampah”.

Video juga boleh menipu

Perkembangan teknologi sesungguhnya telah memudahkan banyak perkara yang sebelum ini kelihatan mustahil. Hari ini, dengan sokongan aplikasi di telefon pintar masing-masing, perkara yang tidak wujud juga boleh diwujudkan. Video dan audio mudah-mudah sahaja dimanipulasi oleh sesiapa yang mempunyai agenda tertentu. Kata-kata yang direka boleh sahaja diletakkan di mulut sesiapa yang dikehendaki. Sedangkan kita sendiri boleh tersilap dalam menafsir apa yang berlaku di hadapan mata, apatah lagi untuk menilai sesuatu yang dilihat melalui skrin.

Kita hidup pada zaman pelbagai fitnah berlaku di sekeliling kita. Bukan mudah mengemudi kehidupan yang saban waktu menyuap kita dengan seribu satu input untuk kita nilai benar atau tidak dan berguna atau tidak kepada kita. Tanpa panduan, tidak mustahil kita akan terjelepok akibat keletihan menampung segala yang sampai kepada kita.

Rujukan:

Harrison, G.P. (2017). Think before you like: Social media’s effect on the brain and the tools you need to navigate your newsfeed. Prometheus Books.

Disediakan oleh,

Syamim Binti Hashim


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.