Pernahkah kamu merasa? Kamu sudah beristighfar sebanyak-banyaknya. Sudah penat menyesali perbuatan dosa yang lalu yang menggunung tinggi. Jatuh rebah berkali-kali kerana kecewa dengan diri sendiri. Dosa-dosa yang lalu seakan-akan menghantui terimbau tanpa henti. Ya. Diri sendiri yang melakukan dosa. Siapa yang menyuruh mendekati dosa? Allah SWT sudah berkali-kali memberi peringatan di dalam Al Quran dan Allah SWT tidak akan pernah menzalimi hamba-hambanya.
“Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarah. Dan jika ada kebajikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipat gandakannya dari sisi-Nya pahala yang besar,”. (Surah An-Nisa’:40)
Allah SWT sendiri yang melarang kita daripada mengikut jejak langkah syaitan. Kita sahaja yang berdegil mahukan kenikmatan yang sementara. Walhal, diri kita sudah tahu, itu adalah perbuatan dosa.
Kesedihan demi kesedihan sebenarnya merupakan tanda kasih sayang Allah SWT agar kita kembali kepada jalan-Nya. Rasa itu hadir supaya kita lebih berhati-hati ketika kaki melangkah memilih di setiap persimpangan jalan di dunia yang penuh dengan fatamorgana ini. Tanpa kita sedari, sebenarnya yang mencipta tangisan kesedihan dan juga gelak ketawa adalah Allah Azza Wa Jalla. Dia lah yang meletakkan kesedihan itu di dalam hati para hamba-Nya.
“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis.” (Surah An-Najm:43)
Kesedihan dengan setiap dosa-dosa itu bukanlah penyakit “anxiety” atau salah satu tekanan hidup. Kesedihan itu sebenarnya menjadikan kita lebih memahami dengan lebih mendalam akan tujuan hidup di dunia ini. Menjadikan kita lebih menghayati makna istighfar di kala sepi. Memaksa kita untuk lebih peka dengan jalan-jalan yang mendekati ke arah dosa yang memusnah jati diri. Di samping hati mengingati dosa-dosa yang menggunung tinggi. Air mata yang mengalir ketika hati disapa sentuhan hidayah itu merupakan salah satu nikmat yang dapat menyelamatkan kita daripada panasnya neraka Jahannam.
Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun). (Surah Al-Anfal: 33)
Yang paling bahaya dan memakan diri sendiri, kita tanpa sedar berkata “kenapa aku ditakdirkan begini? Dunia ini sungguh tidak adil!”. Kita tidak sedar bahawa ayat tersebut seolah-olah menyalahi takdir. Sedangkan setiap apa yang telah berlaku sebenarnya telah pun tertulis di dalam kitab perjalanan hidup kita. Kesedihan yang menghantui kita itu, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk meneguhkan hati untuk tidak mengulangi dosa yang sama berulang kali. Dukacita yang kita hadapi itu adalah untuk menambah kecekalan hati dalam menghadapi ujian yang sama di masa yang akan datang selama kita masih di dunia.
Allah telah berfirman, “Wahai hamba-hambaKu, setiap kalian pasti berdosa kecuali yang Aku jaga. Maka beristighfarlah kalian kepadaKu, nescaya kalian Aku ampuni. Dan barangsiapa yang meyakini bahawa Aku punya kemampuan untuk mengampuni dosa dosanya, maka Aku akan mengampuninya dan Aku tidak peduli (beberapa banyak dosanya).” (Riwayat Ibnu Majah, Tirmidzi)
Disediakan oleh: Karang Fulanah