Apakah hukum meletakkan kenderaan bukan pada tempat yang sepatutnya? Atau meletakkan kenderaan terkeluar dari ruang sendiri?

Apakah hukuman yang dikenakan jika kita telah mengakibatkan kematian seseorang tanpa sengaja dalam kemalangan jalan raya?

Apakah tanggungjawab pemilik lembu jika lembu di bawah jagaannya telah menjadi punca berlakunya kemalangan?

Berdosakah jika kita melanggar lampu merah ketika tiada kenderaan lain di jalan raya?

Pernahkah kita terfikir akan persoalan-persoalan di atas? Atau, adakah mungkin kita tidak pernah melihat wujudnya aspek dosa dan pahala di luar horizon ibadah yang kita biasa maklum?

Seminar Feqah Jalan Raya telah diadakan di Kangar baru-baru ini dan menampilkan Prof. Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah (Profesor Pengangkutan, Universiti Sains Malaysia), Dr. Ahmad Sufian Che Abdullah (Pensyarah Kanan, Universiti Malaya), dan Prof. Dr. Basri Ibrahim (Profesor Syariah, Universiti Sultan Zainal Abidin) selaku para pembentang. Ucapan pengukuhan disampaikan oleh Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) iaitu Dato’ Dr. Khairil Anwar Abu Kassim, manakala ucapan perasmian pula disempurnakan oleh Mufti Perlis iaitu Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Seminar ini merupakan salah satu antara siri seminar feqah yang telah dirancang untuk dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Perkara pertama yang harus dipegang dan difahami dengan betul adalah keluasan agama Islam itu sendiri. Islam memberi panduan kepada manusia untuk menjalani kehidupan mengikut kehendak syarak, baik dari aspek hubungan manusia dengan Allah, hubungan sesama manusia, atau hubungan manusia dengan alam. Perbincangan soal feqah tidak wajar sekadar tertumpu pada hukum-hakam dalam ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat, dan haji sahaja. Segenap aspek kehidupan kita punya feqah yang tersendiri, dan ini termasuklah ketika kita mengendalikan kenderaan dan menggunakan jalan raya. Feqah jalan raya boleh difahami sebagai kefahaman terperinci berkenaan tatatertib dan tatasusila di jalan raya menurut kaca mata Islam. 

Maqasid syariah, atau tujuan satu-satu syariat diturunkan, adalah untuk menjamin kemaslahatan. Maslahah boleh difahami sebagai mendatangkan manfaat dan menghalang kemudaratan. Maqasid syariah boleh dibahagikan kepada daruriyat (perkara asas yang jika tiadanya menyebabkan kesukaran di dunia dan akhirat iaitu penjagaan agama, nyawa, keturunan, akal, dan harta), hajiyat (perkara yang melapangkan kehidupan manusia, melengkapkan perkara asas), dan tahsiniyat (perkara yang memberi kebaikan yang lebih lagi).

Dari aspek daruriyat, aspek keselamatan jalan raya melibatkan aspek penjagaan nyawa dan harta. Dari aspek hajiyat pula, contoh yang sesuai dengan keadaan semasa ialah musafir ketika Ramadan. Individu yang bermusafir ketika bulan Ramadan diberi rukhsah, atau kelonggaran, kepadanya untuk berbuka puasa jika dengan berbuka puasa itu membantu dirinya mengendalikan kenderaan dengan lebih selamat kerana tidak letih atau lapar. Dari aspek tahsiniyat pula, pelbagai adab yang mencantikkan amalan manusia boleh diamalkan. Contohnya, kita mengangkat tangan kepada pemandu lain sebagai tanda terima kasih kerana diberi laluan atau jika kita tidak sengaja melakukan kesilapan.

Tahap Kesedaran Pemandu Mengenai Laluan Kecemasan Lebuh Raya Masih Rendah -  LLM - Semasa | mStar

Jalan itu punya haknya yang tersendiri. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Awasilah kamu daripada duduk di persimpangan jalan. Lantas mereka berkata: Ya Rasulullah, kami sudah biasa yang menjadi majlis kami. Kami berbicara padanya. Lantas sabda Nabi SAW: Kalau kamu enggan kecuali dalam majlis tersebut, maka berilah hak jalan. Sahabat bertanya, apa itu hak jalan hai Rasulullah. Jawab Baginda: Tundukkan pandangan, menahan daripada yang menyakitkan, menjawab salam, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dari konteks penggunaan jalan raya, menundukkan pandangan yang disebut dalam hadis tersebut boleh difahami dengan maksud tidak melihat perkara yang tidak perlu dan hanya fokus pada perkara yang membantu kita mengendalikan kenderaan dengan lebih baik. Menahan daripada yang menyakitkan pula adalah tidak melakukan apa-apa perkara yang memberi risiko keselamatan kepada diri dan pengguna yang lain.

Mungkin ada juga yang bertanya,“Peraturan jalan raya tidak ada dalam Al-Quran pun, kenapa wajib ikut?”

Di sinilah pemerintah memainkan peranan menjalankan tadbir urus bagi memastikan kemaslahatan rakyat terjamin, atau disebut sebagai siasah syariah. Pemerintah boleh mengharamkan perkara yang diharuskan oleh syarak dan pemerintah juga boleh mewajibkan pada perkara yang tiada dalil akan kewajibannya. Peraturan-peraturan jalan raya termasuklah dalam perkara yang mana pemerintah punya hak untuk menguatkuasakannya ke atas setiap rakyat.

Dalam Surah An-Nisa’, ayat 59, Allah telah berfirman dengan maksud, “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul, serta (taatlah kepada) ulim amri (para pemimpin) dari kalangan kamu.” Dalam erti kata lain, ketaatan kepada pemerintah turut memberi kesan masuk atau tidak kita ke dalam syurga.

Intipati ayat yang ke-63 daripada Surah Al-Furqan boleh dijadikan panduan umum tentang sikap yang dituntut ketika menggunakan jalan raya.

Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.

Contohnya, jika ada yang melakukan provokasi ke atas kita seperti membunyikan hon dan memotong kenderaan kita dengan cara bahaya, janganlah pula kita membalasnya dengan cara yang sama atau lebih teruk daripada itu kerana ia boleh membawa kepada pergaduhan yang lebih besar.

TEKNIK MEMOTONG DENGAN SELAMAT DAN PANTAS. JANGAN PANDU MELULU

Jika kita memotong giliran atau meletakkan kenderaan sehingga memasuki ruang untuk kenderaan lain, ia bermaksud kita sudah mengambil hak pengguna yang lain. Begitu juga melanggar lampu merah ketika tiada kenderaan lain, ia mungkin hanya dosa kecil yang boleh dihapuskan dengan beristighfar. Apa yang cuba dicapai di sini adalah agar kita datangkan rasa bersalah dan lebih sedar yang tingkah laku tersebut adalah tetap satu kesalahan walaupun tidak mendatangkan akibat buruk ketika itu. Kita harus sentiasa ingat yang malang tidak pernah berbau.

Mana-mana tempat atau keadaan yang berisiko tinggi menuntut kita untuk memakai pakaian atau apa-apa yang diperlukan bersesuaian dengan keadaan tersebut. Pengendalian kenderaan ketika menggunakan jalan raya adalah salah satu keadaan yang mempunyai risiko yang tinggi. Maka, penggunaan topi keledar ketika membawa motosikal untuk melindungi kepala boleh dianggap sunah kerana itulah yang bertepatan dengan keadaan tersebut, bukannya pemakaian serban atau kopiah.

Mungkin ada yang berkata, “Allah sudah takdirkan dia mati dalam kemalangan itu, apa boleh buat.” Ya, mana-mana kemalangan terjadi kerana Allah telah mengizinkannya terjadi. Itu aspek akidah yang mana kita percaya Allah merupakan Pemilik dan Penguasa ke atas segala yang ada di dunia ini. Namun, kita bercakap soal sebab dan musabab (cause and effect) yang mana Allah pertanggungjawabkan ke atas kita. Allah kurniakan akal kepada manusia agar dapat mengkaji sebab dan musabab sesuatu kejadian. Ilmu berkenaan pengendalian kenderaan dan penggunaan jalan raya sudah banyak diketahui, tinggal sahaja kita sebagai pengguna untuk mengamalkannya.

Hasil daripada seminar tersebut, lima resolusi telah dibentangkan.

  1. Pengguna jalan raya wajib mematuhi segala peraturan di jalan raya bagi mengelakkan kemalangan.
  2. Segala bentuk penggunaan jalan raya yang membawa kepada kemudaratan adalah diharamkan.
  3. Sekiranya berlaku sesuatu kemalangan  di jalan raya, maka ia tertakluk kepada beberapa keadaan seperti berikut:
    • Jika kemalangan itu tidak disebabkan oleh kecuaian pemandu, maka pemandu itu tidak bersalah dan tidak dikenakan apa-apa hukuman. Ini seperti:
      • Kemalangan yang berpunca daripada faktor luar kawalan yang di luar campur tangan manusia.
      • Faktor utama kemalangan disebabkan oleh mangsa. (Contoh: orang yang keluar melintas jalan secara tiba-tiba, sedang pemandu mengikut peraturan).
      • Jika kemalangan itu disebabkan oleh kesalahan orang lain atau kesalahan pihak ketiga, maka pihak ketiga tersebut hendaklah memikul tanggungjawab.
    • Jika kemalangan itu disebabkan oleh kecuaian pemandu, maka pemandu bertanggungjawab ke atas segala kemudaratan yang berlaku sama ada kehilangan nyawa atau harta benda. Jika membabitkan kehilangan nyawa, pemandu boleh dikenakan hukuman berikut:
      • Diyat iaitu denda sebagai gantian terhadap nyawa yang diserahkan kepada waris si mati (mangsa kemalangan) kecuali jika waris mangsa memberi kemaafan.
      • Kafarah iaitu memerdekakan seorang hamba beriman. Jika tiada, hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut.
    • Jika sesuatu kemalangan yang membabitkan dua pihak atau lebih dan kesemua mereka menjadi faktor penyebab terjadinya kemalangan secara bersama, maka pihak yang terlibat bertanggungjawab ke atas kerosakan yang berlaku.
    • Jika kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh binatang peliharaan, pemiliknya menanggung segala kerugian akibat kecuaian mengawalnya.
  4. Ibu bapa bertanggungjawab terhadap anak-anaknya yang dibiarkan melanggar peraturan dan tidak bertanggungjawab di jalan raya sehingga membahayakan atau mendatangkan kemudaratan kepada diri dan harta pengguna jalan raya.

Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab semua. Masing-masing memainkan peranan yang berbeza demi memastikan keselamatan setiap pengguna. Agak sukar bagi sesuatu tindakan ke arah perubahan mengambil tempat jika ia datang dari bentuk arahan oleh pihak atasan. Tindakan lebih mudah berlaku jika ia datang dari kehendak diri. Maka, penting bagi setiap individu untuk mengupayakan diri masing-masing agar menjadi pengguna yang berilmu, kompeten, dan mengamalkan tabiat pemanduan yang selamat. Ini termasuklah dengan menilai faktor risiko diri sendiri sebelum mengendalikan kenderaan dan menggunakan jalan raya.

Moga bermanfaat catatan ini buat diri yang menulis dan kalian yang membaca.

Disediakan oleh,

Syamim Binti Hashim

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.