Ada sebuah kisah biasa yang sering saya dengar dari kecil. Terlalu sering sehingga saya bosan dan tidak mahu mendengarnya lagi. Ayah sering bercerita kepada kami setiap kali berjalan ke mana-mana didalam kereta. Kisah tawakalnya Nabi Yunus A.S.
Masa berlalu, saya membesar dan sehinggalah suatu hari, saya merasakan dunia seakan menghimpit saya dari segenap sudut. Kerja kursus yang tidak pernah selesai, risau tentang masa depan yang tak dapat dibayang, keadaan keluarga yang dilanda badai dan sebagainya. Saya jadi runsing yang teramat.
Sehinggalah saya terdengar sebuah pengajian di kampus tentang sebuah kisah biasa yang (astaghfirullahalazim) saya pernah muak untuk mendengarnya. Benar, kisah tentang tawakalnya Nabi Yunus A.S.
Ada sesuatu yang boleh kita pelajari dari sirah Nabi Allah, Yunus. Tentang bagaimana beliau belajar untuk meletakkan pengharapan hanya kepada Allah, bukan manusia.
Diceritakan dalam kitab al-Lumaat, karangan Imam Badiuzzaman Said an-Nursi, bahawa setelah lebih 30 tahun berdakwah, Nabi Allah Yunus berasa sangat kecewa dan hampir putus asa pada kaumnya kerana yang beriman cuma dua manusia. Lalu Allah perintahkan agar Nabi Yunus berdakwah lagi selama 40 hari. Hasilnya tetap sama. Nabi Yunus betul-betul kecewa.
Dia lalu keluar menuju kepada kaumnya dan memberi ancaman, “jika kalian tidak beriman kepada Allah, maka pasti akan turunnya bala.” Lalu beliau meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah dengan menyangka bahawa telah selesai tugasnya. Walhal Allah berkehendak sebaliknya.
Beliau pergi dan menumpang sebuah kapal pelayaran. Ombak bergelora hebat memukul kapal mereka yang terlebih muatan. Barang-barang dibuang sehingga yang tinggal Cuma orang. Kapten memerintahkan agar undian dilakukan. Bukan sekali, bukan dua kali, tetapi setiap kali undian, hanya nama Yunus yang terpilih untuk dibuang dari kapal.
Yunus akhirnya redha. Dialah yang harus terjun ke lautan dalam. Ditemani gelap malam, beliau terjun dan disambar ikan nun. Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran,
فَالْتَقَمَهُ الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ (142)
Maka beliau ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela.
(Surah as-Soffat: 142)
Nabi Yunus dalam kesempitan. Disangkanya telah dijemput ajal, tetapi rupanya masih hidup dalam perut ikan nun. Sakitnya badan Nabi Allah Yunus. Duduk dalam keadaan sempit dan panasnya perut ikan. Dan Allah takdirkan ikan besar itu terdampar dan tertidur di dasar lautan.
Maha suci Allah yang mengilhamkan kepada Nabi Yunus agar berzikir sebagai kekuatan. Di malam hari, di siang hari, beliau bersahur dan berbuka dengan sepenuh keyakinan melafazkan zikir pada Tuhan. Lafaz “لا إله إلا أنت سبحانك إني كنت من الظالمين” di ulang ulang.
Tauhidnya, tasbihnya dan taubatnya tulus dari hati sehingga terdengar oleh semua makhluk di lautan. Semuanya berkumpul mengelilingi ikan besar itu dan berzikir bersama-sama dengan Yunus. Bergema seluruh lautan hingga menyedarkan sang ikan.
Allah Maha Kuasa, dilapangkan perut ikan untuk kekasihnya Yunus. Dijadikan perut ikan itu lutsinar sehingga beliau nampak indahnya dasar lautan. Sehingga dikatakan para ulama’, sekiranya Nabi Muhammad itu di mi’rajkan ke Sidratul Muntaha, maka Nabi Yunus pula di mi’rajkan di dasar lautan.
Sehinggalah sampai masa yang ditentukan, lalu ikan besar itu memuntahkan Nabi Yunus ke daratan. Allah tumbuhkan labu sebagai ubat kepada kulitnya yang luka akibat kepanasan. Firman Allah di dalam al-Quran:
فَنَبَذْنَٰهُ بِٱلْعَرَآءِ وَهُوَ سَقِيمٌ (145) وَأَنۢبَتْنَا عَلَيْهِ شَجَرَةً مِّن يَقْطِينٍ (146)
Kemudian Kami lemparkan dia ke daerah yang tandus, sedang ia dalam keadaan sakit. Dan Kami tumbuhkan untuk dia sebatang pohon dari jenis labu.
(Surah as-Saffat: 145-146)
Nabi Yunus A.S kemudiannya kembali menyeru kaumnya kepada Tuhan. Begitulah hebatnya tarbiah Tuhan. Diajar agar diletakkan segala pengharapan hanya kepada Nya.
Cerita biasa yang pernah saya bosan ini juga mengajarkan agar kita tidak terlalu runsing dengan kelamnya masa depan, mahupun suramnya zaman silam kita. Allah berikan kita kekuatan yang cukup untuk beribadah dan bekerja setiap harinya kerana Tuhan.
Jangan bazirkan kekuatan tersebut dengan memirkan perkara yang bukan sekarang. Serahkan sahaja kepada Tuhan yang Maha mengatur segala kehidupan. Carilah kekuatan dengan bacaan zikir Yunus yang diulang-ulang.
Berusahalah dan ingatlah Tuhan. Zikirlah seperti mana hebatnya keimanan Nabi Yunus saat tiada jalan. Moga Allah bukakan jalan buat kita yang ikhlas memohon pada Dia.
Disediakan oleh,
Imani