Alang-alang sedang belajar subjek Sejarah dua malam yang lalu, saya mengambil kesempatan untuk menulis ulasan berkenaan novel Putera Gunung Tahan ini.
Novel Putera Gunung Tahan yang ditulis oleh Ishak Haji Muhammad atau dikenali juga sebagai Pak Sako mengetengahkan nilai nasionalisme yang tertanam dalam diri seorang anak watan. Apa itu nasionalisme? Nasionalisme ialah perasaan cinta akan bangsa dan negara yang membawa kepada gerakan membebaskan tanah air. Pak Sako sendiri menyatakan tujuan beliau menukil kisah Putera Gunung Tahan adalah untuk mengkhususkan novel ini sebagai alat perjuangan menuntut kemerdekaan, keadilan dan menghalau penjajah.
Novel ini mengisahkan tentang dua orang lelaki berbangsa Inggeris yang pergi ke Gunung Tahan, Pahang dengan muslihat meraih keuntungan peribadi. Balasan lumayan akan diberikan oleh bos mereka seandainya puncak Gunung Tahan berjaya ditawan untuk pembangunan sebuah tempat peranginan bagi kaum kulit putih bersenang-lenang di negara ini.
Namun, bukan mudah kedua-dua pengembara Inggeris ini mahu merealisasikan hasrat mereka kerana para penduduk tempatan di kaki Gunung Tahan itu sudah terlebih dahulu mengetahui perancangan jahat mereka.
Saya sangat suka uslub yang diterapkan Pak Sako dalam novel Putera Gunung Tahan ini – sebaik sahaja tamat membacanya, saya sedar bahawa Pak Sako mahu menyeru kita semua selaku generasi yang bakal menyambung perjuangan dalam memartabatkan kedaulatan tanah air ini untuk berfikir secara rasional dan bijak dalam menimbang tara kata-kata orang lain sebelum memuktamadkan sesuatu keputusan. Malahan, sewajarnya kita berwaspada dalam apa jua tindakan yang kita ingin laksanakan lebih-lebih lagi tindakan yang punya hubung kait dengan pembangunan negara agar tidak wujud campur tangan dari kuasa-kuasa asing.
Akhirulkalam, sungguh tidak rugi saya saya singgah ke reruai Jejak Tarbiah buat kali kedua bersama sejumlah wang yang dipinjam daripada guru saya semata-mata mahu mendapatkan senaskhah siri Sastera Klasik Pak Sako ini. Pengisian pada setiap helaiannya padat dengan iktibar dan mesej yang amat berharga buat diri sebagai pendukung kemakmuran negara kelak. Bukan itu sahaja, kini saya lebih memahami dengan lebih mendalam subtopik berkaitan Gerakan Nasionalisme dalam subjek Sejarah Tingkatan 5 setelah menamatkan pembacaan karya Pak Sako ini.
Oleh: Nurul Nabila