كَمَا رَبَّيَانِيْ صَغِيْرًا

“Seperti mana mereka mendidikku…,”

 

رَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ

“Tuhan sekalian alam,”

 

Terletak di dua tempat yang jauh meletak jarak dalam dunia terjemahan. Perkataan ini juga digunakan sebagai panggilan para pendidik, murabbi. Dikembangkan penggunaannya menjadi tarbiah. Ditambah tolak wazan yang digunakan menjadi rabbani. Persoalannya, ada apa dengan Rabba?

 

Terjemahan semata tidak cukup untuk membicarakan soal Rabba. 

 

(ربّى)  (يربّى) adalah perkataan Arab yang kompleks. Terjemahan semata tidak cukup untuk membicarakan soal Rabba, ia perlu didatangkan dengan satu penerangan yang panjang dan teliti. Melainkan seseorang itu hanya mahu membaca tanpa mengerti, mereka boleh terus melihat terjemahan tanpa mendalami.

 

Kalimah ini membawa makna mendidik, namun didikannya bukan didikan yang biasa. Rabba Yurabbi ini membawa makna mendidik dengan konsisten, selalu dan berdisiplin. Di sinilah lahirnya kalimah tarbiah, iaitu, pendidikan yang berpanjangan, melalui proses, dan memberi kesan kepada penerimanya.

 

Sepertimana layaknya ibu ayah yang mendidik sewaktu anak masih tidak mengerti apa perlunya menunaikan haji di Mekah. Mereka mengulang-ulang pengajaran yang berterusan, membina kebiasaan yang bakal memudahkan anak menyerap ilmu dengan memulakannya tanpa pengertian. Tanpa henti, setiap kali ditanya, walau soalannya adalah soalan yang sama. 

 

Benarlah perkataan Rabba digunakan dalam doa ibu bapa. Diletakkan perkataan Rabba sebagai tanda pengiktirafan anak kepada orang tuanya yang sentiasa dan selalu berbakti kepada amanah Tuhan sewaktu kecilnya. Selepas anak itu cukup dewasa untuk berbicara, diajar doa ini sebagai amanah anak untuk berkasih sayang pula terhadap mereka. Kerana tidak ada sabar yang lebih besar dari sabar mendidik budak yang tidak mengerti.

 

Perkataan ini juga membawa maksud yang mampu mencabar mental manusia. Kerana didikan Rabba Yurabbi adalah didikan yang baik, dan didikan yang buruk. Misalan ibu yang tidak memberi kebenaran kepada anak untuk bermain hujan, sedangkan hujan selalu memberikan tenang dan damai kepada alam. Kata anak, ibu sedang berkelakuan zalim, sedang ibu lebih tahu. 

 

Begitu juga ketika Allah menggunakan perkataan Rabba dalam surah pembuka Al-Quran. Didatangkan selepas perkataan (الحمد لله) (Segala puji bagi Allah). Kita diingatkan berkali-kali ketika kita diuji dengan kezaliman, kita selalu harus mengucap syukur pada Tuhan. Kerana Tuhan sedang mengajarkan kita sesuatu, dan Tuhan lebih tahu menjangkau batas mana-mana ilmu yang manusia ada.

 

Kerana itu kita memanggil Tuhan sebagai Rabbi. Tuhan yang setia mendidik, di kala senang dan susah, didikannya selalu memberi pengajaran kepada hamba-Nya. Tarbiah Tuhan tidak berhenti di mana-mana, ianya mengalir dan terus mengalir sepanjang usia. Terkadang ia datang dengan tenang dan damai membelai jiwa, di waktu lain ia datang dengan lantang dan keras, menarik putus asa kita.

 

Asasnya mudah. Berterusan. 

 

Dan bukankah itu fungsi kewujudan Tuhan mengikut munasabah akal yang terbatas? Dengan selalu mengingatkan manusia bahawa Tuhan itu terperinci dalam menjaga setiap hamba dan menilai kekuatan mereka sesuai perjalanan hidup yang Dia bentangkan? Bahawa Tuhan itu tidak akan meninggalkan ciptaanNya selagi mereka menatang nyawa di dunia?

 

(ربّى-يربّ) mengajar kita untuk lebih memberi masa kepada manusia. Ya, kita sudah nasihatkan. Ya, kita sudah terangkan. Ya, kita sudah mencuba mengenalkan mereka kepada kebaikan. Satu lagi ajaran Allah kepada sang Pencerah, teruskan. Teruskan memberi dan berbakti, walau tidak diendahkan berkali-kali. Sehingga kita benar-benar bertemu pengakhiran waktu.

Disediakan oleh,

Fatin Farhana A. Wahid

 

 


Hantar karya anda di emel [email protected].

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.