Inilah dua watak yang memainkan peranan penting sebagai seorang sahabat di dalam filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya Buya Hamka. Sudah pasti mereka yang telah membaca novel ini atau telah menonton filem adaptasinya mengenali Bang Muluk, seorang parewa atau samseng dan Khadijah, seorang bangsawan berpaksikan gaya hidup barat.
Menurut tafsiran rata-rata manusia, insan yang berlatar belakang seperti Bang Muluk ini selalunya bukan seorang sahabat yang baik kerana gelaran samseng tidak mendapat tempat yang baik di dalam masyarakat. Manakala orang seperti Khadijah, berpendidikan dan bangsawan, itu lebih baik kerana status itu sendiri cukup dipandang tinggi dalam masyarakat.
Tetapi, Buya Hamka berjaya membawa satu perspektif berbeza. Jika dilihat kedua-dua watak ini, kita dapati bahawa watak Bang Muluk ialah seorang yang menyedari gaya hidupnya salah tetapi tidak mempengaruhi kawannya untuk melakukan kesilapan yang sama. Manakala Khadijah watak seorang yang tidak menyedari gaya hidupnya salah, malah dibangga-banggakan dan berusaha mempengaruhi kawannya untuk hidup sepertinya.
Bang Muluk sangat menghormati dan menyanjungi Zainuddin walaupun gaya hidup mereka berdua berbeza, seorang hobinya berjudi, seorang lagi hobinya menuntut ilmu. Manakala Khadijah, sering mengkritik gaya hidup Hayati yang penuh sopan santun, nilai agama, pemalu dan rendah diri lalu menyuruh Hayati menukar gaya hidupnya, daripada seorang yang berbaju kurung kepada pakaian yang terdedah, daripada seorang yang berusaha memelihara cinta yang tidak bersandarkan harta kepada cinta yang materialistik.
Duhai malang sekali nasib Hayati kerana menuruti saranan sahabatnya, Khadijah. Beruntung sekali Zainuddin kerana berjaya membentengi diri daripada terpengaruh dengan gaya hidup sahabatnya tetapi Bang Muluk mempunyai semangat setiakawan yang tinggi walaupun seorang parewa! Maka, dapatlah Bang Muluk dan Zainuddin saling memberi manfaat antara satu sama lain.
Ketika Zainuddin jatuh terduduk, Bang Muluk lah yang menyambutnya, ketika beliau berada di puncak, Bang Muluk setia memberi segenap sokongan. Walaupun Bang Muluk bukanlah seorang yang alim tetapu saat Zainuddin berputus asa lantaran ditinggalkan Hayati, mesej-mesej yang disampaikan Bang Muluk telah mengajak Zainuddin mengingati Tuhan dan mensyukuri apa yang telah dikecapinya serta mengambil pelajaran daripada kisah silam.
Manakala Khadijah, tidaklah dia pernah menyebelahi Hayati ketika Hayati mempunyai hubungan dengan Zainuddin dan juga ketika Hayati meminta tolong memperbaiki rumah tangga dengan abangnya, Aziz. Malah Khadijah menyalahkan Hayati dan tetap menyebelahi Aziz. Jika diamati, Khadijah itu lebih mementingkan keluarganya daripada sahabat baiknya sendiri. Dapat mencarikan isteri buat abangnya daripada keturunan yang berada, cantik dan cukup syarat sebagai isteri, cukup memberikan kelegaan buat keluarganya.
Walaupun Bang Muluk bukanlah seorang yang mempunyai pendidikan dan kehidupan yang serba kurang, Bang Muluk kaya dengan nilai murni persahabatan. Jika dibandingkan dengan Khadijah, walaupun mempunyai pendidikan dan hidup serba mewah tetapi miskin dengan nilai-nilai murni.
Benarlah adab tidak mengenal kedudukan seseorang dalam masyarakat untuk didiami olehnya. Maka, beruntunglah mereka yang kaya dengan adab!
Penjual minyak wangi dan seorang tukang besi, dua perumpamaan sahabat yang dinukilkan dalam hadis sahih.
“Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.”
[Riwayat al-Bukhari (5534) dan Muslim (2628)]
Setelah ditelusuri novel ini, Bang Muluk diibaratkan seperti penjual minyak wangi. Manakala, Khadijah seumpama tukang besi.
Sahabat sejati itu sukar dicari, maka berusahalah sebaik-baiknya mencari sahabat seperti Bang Muluk dan berusaha menjadi sahabat sepertinya. Jadikan diri kita sekuat Zainuddin yang tidak mudah terpengaruh dengan perilaku sahabat yang tidak baik. Semoga, kita bertemu dan menjadi sahabat yang sejati!
Disediakan oleh,
Nur ‘Aina Muhammad Ismail Tadj