Dasawarsa ini, kita sering menerima khabar yang meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap penjuru dunia berkenaan dengan isu ‘agamawan segera’. Banyak isu yang hangat diperkatakan sama ada di corong-corong radio, di kaca televisyen dan di laman sosial.
Kemunculan agamawan-agamawan segera ini telah membuatkan ramai dalam kalangan orang awam keliru terhadap fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan oleh pakar-pakar agama di dalam dan luar negara. Mana tidaknya, pelbagai isu yang berat hendak diperbahaskan oleh mereka dengan semberono, mulai isu semasa yang melibatkan hukum hakam agama hingga melarat kepada isu akidah yang menjadi teras utama di dalam agama ini.
Sejarah kemunculan agamawan-agamawan segera ini, telah bermula dari zaman selepas kewafatan Rasulullah SAW dahulu. Siapa yang tidak kenal, lelaki yang bernama Musailamah al-Kazzab! Seorang pendusta yang menggelarkan dirinya seorang Nabi. Manusia-manusia yang dikenalpasti sebagai ‘agamawan segera’ ini lah yang banyak memutarbelitkan fakta di dalam agama ini. Bukan itu sahaja, segala huru hara, perpecahan, kekeliruan semuanya berpunca daripada mereka ini!
Misalnya terdapat sebahagian umat Islam yang kononnya berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah yang tular di media sosial, mereka mempersoalkan sampai bila kerajaan sanggup menanggung dosa kerana tidak membenarkan umat Islam di Malaysia solat fardu Jumaat dan mereka mengeluarkan hukum haram terhadap pemerintah yang menutup masjid dan surau yang menghalang orang sihat menunaikan solat berjemaah dan solat Jumaat. Kemudian, mereka mengeluarkan hadith sahih yang diriwayatkan oleh Tariq bin Syihab, bahawa Rasulullah SAW bersabda :
“Solat Jumaat merupakan hak wajib bagi setiap Muslim di dalam jamaah kecuali empat: hamba sahaya, perempuan, anak-anak atau orang yang sakit” [HR Abu Dawud, No.1067]
Tidakkah mereka mengetahui bahawa agama Islam ini mempunyai para fuqaha yang setiap ilmu yang terdapat di dalam perbahasan fiqah dan usulnya telah menjadi darah daging mereka? Tidakkah mereka mengetahui setiap fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh ulama-ulama Islam sedunia merupakan suatu fatwa yang sudah dinilai dari segenap sudut? Tidakkah mereka mengetahui bahawa ahli-ahli yang turut serta di dalam Majlis Fatwa merupakan pakar-pakar bidang, dan ada yang bergelar Maulana, Syeikh, Dr (Ph.D) dan Professor di dalam bidang agama!
Ini lah balanya, apabila muncul seseorang yang secara tidak rasmi menjadi ‘agamawan segera’ yang kita tidak tahu latar belakang pengajiannya, tiba-tiba sahaja membuat suatu kesimpulan berkenaan dengan sesuatu hukum bagaikan dirinya adalah seorang Mujtahid atau Mufti lantikan diri sendiri secara segera juga!
Penulis tidak lupa akan kekacuan yang dilakukan oleh mereka yang digelar ‘agamawan segera’ ini, sewaktu negara sedang dilanda dengan wabak covid-19 yang sedang mengganas pada ketika itu. Timbul spekulasi-spekulasi murahan daripada golongan yang ‘agamawan segera’ ini! Mereka membawakan isu segera kononnya :
- Kaedah untuk menghentikan pandemik covid-19 ini adalah dengan menukarkan panggilannya kepada ‘Qif-19’, yang kononnya membawa erti ‘berhentilah atau stop!’
- Ada juga yang menjadikan angka 3,333 (yang sebenarnya angka mangsa covid-19 pada waktu itu) sebagai nombor untuk melihat, apakah yang ingin disampaikan oleh Allah SWT kepada umat manusia berkenaan dengan pandemik covid-19. Bagaimana mungkin nujum yang diharamkan oleh Allah ini, dibolehkan pula untuk hal-hal yang merepek seperti ini?
- Terdapat dakwaan bahawa seorang wanita telah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW kemudian Rasulullah SAW memberitahu bahawa penawar bagi covid-19 adalah Sumac (sejenis herba yang mirip dengan Za’faran).
- Kata mereka, ‘Jangan takut virus Corona, takut Allah sahaja!’.
- Kita letak gambar wali di rumah, virus Corona tidak akan dapat menjangkiti ahli rumah tersebut.
- Solat berjemaah secara rapat-rapat dapat menyembuhkan pesakit covid-19 yang positif, kononnya pesakit covid-19 yang positif akan diberi bantuan imunisasi oleh orang yang sihat (cover) dan banyak lagi dakwaan-dakwaan yang mengarut.
Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz, banyak membantah dakwaan-dakwaan karut golongan ini di dalam buku beliau yang bertajuk ‘Kisah Malaysia Berkurung’ yang telah diterbitkan oleh Jejak Tarbiah pada tahun lepas.
Antara kenyataan-kenyataan yang bernas dinyatakan oleh ustaz Abdullah Bukhari di dalam buku tersebut adalah :
“Lain sekali takut orang alim dengan takut orang awam. Orang alim takutnya benar dan asli kerana mereka menilai dari banyak sudut pandang seperti mata burung, manakala sudut pandang orang awam pula sempit sepert bawah tempurung. Orang awam cuma nampak saf masjid kosong lalu mereka risaukan murka Allah dek kekosongan itu. Orang alim pula meihat impak penyakit yang mungkin menular tanpa kawalan lalu meragut nyawa ramai orang. Kehilangan nyawa (yang sebenarnya mampu dihalang) akan menimbulkan lebih banyak murka Allah. Benar! Nampak ketara beza antara mata burung dengan mata katak di bawah tempurung.”
Kata pula ustaz Abdullah Bukhari di dalam muka surat 66,
“Kadangkala kedegilan orang jahil berlagak alim perlu dikawal dengan tegas sebelum mereka melakukan kerosakan yang lebih besar”
Saya sangat bersetuju dengan kenyataan ustaz Abdullah Bukhari ini. Perkara atau isu mengarut yang sengaja ditimbulkan oleh golongan ‘agamawan segera’ ini perlu disekat dengan segera juga, sebelum mereka ini berjaya mempengaruhi pemikiran orang awam yang lain. Dikhuatiri apabila hasutan ini berjaya diserap masuk ke dalam pemikiran orang awam, maka akan berlaku suatu pemberontakan secara besar-besaran terhadap kerajaan dan institusi agama dibawah kerajaan.
Sungguh Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, tidaklah Allah SWT membiarkan golongan ‘agamawan segera’ ini menang dengan mudah begitu sahaja, seterusnya membawa kerosakan dan malapetaka yang besar kepada umat manusia. Allah SWT masih menghadirkan golongan agamawan yang tulen, tidak berfatwa ikut hawa nasfu, namun berfatwa mengikut ilmu. Allah SWT telah memberi kebijaksanaan kepada golongan agamawan tulen ini untuk menghadapi golongan agamawan segera ini.
Antara tokoh agamawan yang banyak berjasa memberi penjelasan berkenaan dengan isu-isu yang sengaja ditimbulkan oleh ‘agamawan-agamawan segera’ ini adalah YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Agama) yang telah mengadakan suatu Forum Perdana Hal Ehwal Islam khas berkenaan dengan vaksin.
Forum ini bertujuan untuk memberi penjelasan kepada masyarakat awam tentang vaksin disamping membantah dakwaan-dakwaan karut golongan yang cuba menakut-nakutkan orang awam tentang vaksin. Hampir kesemua dakwaan-dakwaan karut yang disenaraikan di atas sebentar tadi telah dijawab dengan kemas oleh panel-panel yang hadir di dalam forum tersebut.
Akhir kata, kita hendaklah berhati-hati di dalam mendapatkan maklumat lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan hal ehwal agama Islam dan bersangkutan dengan hukum hakam agama Islam. Penulis juga selaku pelajar jurusan bidang agama, menasihati para penuntut ilmu agama dan para pembaca agar berhati-hati apabila berbicara berkenaan dengan hukum ‘halal atau haram’ kepada masyarakat.
Mengatakan sesuatu perkara itu halal atau haram tidak ah semudah menyebutnya. Sebaiknya kita sebagai penuntut ilmu agama berdiam diri sebentar, sehingga keluar suatu fatwa daripada badan-badan yang berautoriti. Sebarkanlah maklumat yang kita perolehi daripada badan-badan yang berautoriti tersebut kepada masyarakat. Jangan terlalu ghairah untuk menjadi alim dalam kadar yang segera!
Disediakan oleh,
Muhammad Hamzani al-Kanowiti
Lulusan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS).