Saya sendiri tidak menyangka bahawa sepanjang pandemik ini saya mulai giat membaca buku elektronik. Walhal, saya bukanlah pembaca yang minat terhadap karya berbentuk e-buku. Namun, asbab Covid-19 yang tercetus saya mula berlatih membaca melalui bahan e-buku disebabkan kos hendak mengeluarkan wang untuk membeli buku fizikal terpaksa dihadkan buat sementara waktu.

Situasi pandemik mengakibatkan ramai dalam kalangan bibliofil berkira-kira hendak membeli sebuah buku kerana kita semua terkesan akan ekonomi yang menjejaskan pendapatan masing-masing. Sebelum negara diisytiharkan jatuh lebih teruk, kita diperingatkan agar sentiasa berjimat cermat dan melaburkan wang untuk hal-hal yang lebih penting sahaja.

Orang kata, “Sediakan payung sebelum hujan.”

Bagi pencinta buku, membeli buku sudah menjadi keperluan pada setiap bulan. Ada yang tidak mampu akhirnya meneruskan pembacaan e-buku yang lebih menjimatkan.

Pada pendapat kecil saya, 6 sebab mengapa e-buku termasuklah dalam pilihan platform bacaan mutakhir ini,

1. Boleh didapati secara talian.

E-buku boleh didapati secara talian ataupun online. Ia mudah diperolehi asalkan ada alat yang menggerakkan proses pembeliannya secara pantas. Ia bukan penghalang besar bagi meneruskan bacaan kerana saat ini masyarakat dibanjiri oleh kelahiran aplikasi yang menawarkan bahan bacaan e-buku yang berlambak. Misalnya, seperti e-Sentral dan Google Play Books. Anda hanya perlu muat turun ke dalam peranti.

2. Kos yang murah atau pun percuma.


Kos untuk mengeluarkan wang kemungkinan sifar ataupun anda terpaksa melaburkan wang yang sedikit berbanding buku fizikal yang berkali ganda harganya. Sebahagian e-buku juga boleh didapati tanpa dibayar contohnya, seperti penerbit Rumah Fiqih Indonesia mereka menawarkan ratusan e-buku percuma dan boleh disebarkan secara halal tanpa was-was.

3. Tidak semua e-buku terbit dalam bentukbuku fizikal.

Berdasarkan pemerhatian saya, tidak semua e-buku diterbitkan dalam bentuk buku fizikal. Ini menyebabkan pembaca yang meminati karya-karya tertentu memilih untuk mendapatkan e-buku berbanding buku fizikal. Tambahan lagi, karya e-buku menyajikan pelbagai tema dan genre merentasi seluruh negara. Oleh sebab itu, saya kira ini adalah kelebihan bagi penulis e-buku kerana karyanya telah dikenali di serata dunia atas bantuan e-buku yang dihasilkan secara maya.

4. Mod membaca yang pelbagai.


Penting bagi setiap pengguna telefon pintar memantau cahaya yang ditetapkan ketika sedang membaca e-buku. Saya sendiri boleh diserang migrain dan silau apabila cahaya tidak diselaraskan dengan betul. Namun, akhir-akhir ini saya berjaya mengatasi masalah yang dihadapi dengan menggunakan mode reading terhadap cahaya gelap ataupun apa saja warna yang bersesuaian bagi memastikan ia tidak menyakitkan mata. Carilah aplikasi pembaca yang menawarkan mod bacaan pelbagai seperti Xodo.

5. Sesuai bagi penulis buku yang perlukan rujukan.


Bagi penulis buku seperti saya, terkadang ada sedikit kekangan untuk mendapatkan bahan rujukan ketika menulis. Jika dalam bentuk fizikal sudah tentu harganya mahal kerana buku rujukan juga agak tebal. Oleh itu, saya memutuskan untuk mendapatkan sebahagian bahan rujukan tertentu yang ada terdapat dalam bentuk e-buku. Bagaimana dengan anda?

6. Segera dibaca.

Buku fizikal sampai ke dalam pelukan kita selepas menunggu berhari-hari dan berminggu-minggu. Boleh jadi sehingga berbulan-bulan. Kadang-kadang sangkut di pejabat Pos dengan begitu lama sekiranya barang tersebut tidak dituntut. Berbanding dengan e-buku yang boleh didapati dengan segera dan dibaca pula secara langsung. Ia amatlah mudah dan sesuai bagi penggemar buku yang tidak sabar membaca.

Pembaca boleh menilai kebaikan e-buku pembaca menerusi enam sebab berikut. Pun begitu, e-buku juga mempunyai enam keburukan tersendiri antaranya,

  1. Tidak semua e-buku menunjukkan tahun cetakan buku dikeluarkan.
  2. Berlakunya jualan e-buku secara cetak rompak tanpa keizinan penerbit dan penulis buku.
  3. Risiko kehilangan e-buku apabila telefon pintar tiba-tiba rosak atau tidak berfungsi.
  4. Boleh menjejaskan kesihatan terutama mata akibat cahaya skrin tidak ditetapkan mengikut mod yang betul.
  5. Memakan data yang banyak ataupun line yang mesti kuat bagi melancarkan proses muat turun fail e-buku.
  6. Memakan ruang storan peranti yang banyak kerana saiz e-buku yang juga agak besar.

Secara kesimpulan, e-buku menawarkan kebaikan dan keburukan. Walau bagaimana pun, pada pendapat saya membaca melalui bahan digital ketika pandemik merupakan suatu norma baharu dalam kalangan pembaca. Lagi-lagi pergerakan kita kini terbatas dan menyedihkan pula apabila terdapat beberapa kedai buku telah ditutup premisnya.

Buat pembaca e-buku mahupun sebaliknya, membacalah walau di mana anda berada, walau apa saja medium yang anda gunakan. Kerana membaca bukan sekadar hobi ataupun minat tetapi membaca ialah gaya hidup yang dituntut oleh agama.

Selamat membaca!

Disediakan oleh,

Cik Puan Syuhara Suriati

Penggemar buku elektronik.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.