Semua orang menginginkan kebahagiaan serta ketenangan dalam hidupnya. Ada orang berpandangan kalau banyak harta atau hidup serba mewah, barulah dia rasa yang dia sudah mengecapi kebahagiaan itu. Tetapi apabila dia sudah berharta tetap juga hatinya tidak tenang dan masih merasakan ada kekosongan dalam hatinya.
Ada juga yang berpendapat kalau punya pasangan hidup mesti kehidupannya akan bahagia kerana sudah ada pendamping yang bersumpah sehidup semati tetapi tetap juga tidak merasa tenang bahkan timbul pula keluh kesah dan syak wasangka jika pasangan itu melakukan perkara yang kita yang buruk di belakang kita dan sebagainya.
Jadi persoalannya, bagaimana kita nak capai rasa tenang dan bahagia itu? Dan apa makna bahagia yang sebenarnya?
Maka jawapan untuk persoalan ini adalah kebahagiaan dan ketenangan akan hadir apabila kita bertakwa kepada Allah S.W.T dengan menuruti segala perintahNya dan meyakini jalan serta rencana Allah S.W.T buat kita kerana Dialah sebaik- baik perancang.
Tetapi begitulah, kita sebagai manusia yang serba lemah ini kadang- kala tidak faham mengapa Allah S.W.T menguji kita itu dan ini. Kerana akal kita terlalu terhad untuk menterjemahkan hikmah yang kita peroleh daripada ujian yang kita lalui. Sehingga menyebabkan hati kita tidak merasa ketenangan dalam kehidupan. Kita harus percaya dan meyakini bahawa Allah mempunyai rencana yang terbaik buat kita sebagai hamba-Nya.
Maka, ubat kepada segala keluh kesah ini adalah dengan mensyukuri segala nikmat yang telah Allah S.W.T kurniakan kepada kita. Jika berharta lebih janganlah pula menjadi seorang yang tamak mahukan lebih lagi kekayaan kerana itulah punca tiada ketenangan di hati. Jika risau pasangan melakukan perkara- perkara yang buruk, maka terlebih dahulu kita sendiri yang menjauhkan diri daripada melakukan perkara maksiat yang menjadi punca kepercayaan kepada pasangan semakin terhakis sekali gus meruntuhkan rumah tangga yang telah terbina..
Kebahagiaan dalam hidup itu haruslah dengan takwa kepada Allah kerana itulah kunci utama menuju kebahagiaan. Bersyukurlah walaupun sekecil-kecil nikmat kerana inilah jalan orang yang bahagia. Dan bersabarlah apabila ditimpa ujian musibah kerana itulah fitrah manusia selagi berada di dunia ini. Maka lihat dan ambillah iktibar kehidupan masyarakat sekeliling, walaupun harta mereka melimpah ruah, dikenali satu dunia pun tetap juga mereka berasa kosong kerana tiadanya cahaya iman dalam hati mereka!
Sebagai akhir kata dalam coretan ini, saya memetik kata-kata buya Hamka dalam bukunya yang berjudul Tasawuf Moden iaitu, “ Seorang mukmin tidak akan kecewa kerana permintaannya belum terkabul. Kerana dia tahu bahawa dirinya itu di bawah perintah dan aturan Tuhan semesta. Yang Maha Tahu dalam menentukan sesuatu, yang tidak mahu menganiaya hambaNya”.
Moga kita semua dapat mencapai kebahagiaan yang hakiki iaitu memasuki syurga Allah S.W.T dan semoga selalu di bawah jagaanNya.
Disediakan oleh: Muhammad Syafiq