Pernahkah kalian perasan, seorang wanita itu jika dia menghiasi dirinya dengan ilmu, maka dia akan menjadi semakin cantik. Wanita yang meneladani akhlak islamiah dan matang dalam membuat sesuatu tindakan, dia akan menjadi semakin menarik. Dengan kebijaksanaannya, wanita akan menjadi semakin anggun jelita.
Andai kita perhatikan lagi, rupa paras yang cantik akan memudar jika wanita itu tidak menyelami ilmu pengetahuan dan nilai-nilai peradaban yang telah digariskan di dalam agama. Islam sangat menuntut umatnya untuk tekun menuntut ilmu, terutamanya para wanita. Hal ini demikian kerana, pepatah arab ada menyebut:
األم مدرسة إذا أعدد َتها
يَأعددَتَ ْشعباًَ ط ب األعراق ِّ
Ibu adalah sebuah madrasah. Jika kamu menyiapkannya,
Bermakna kamu menyiapkan sebuah generasi yang baik budi pekertinya.
Wanita yang solehah akan menghiasi dirinya dengan ilmu yang bermanfaat. Mereka sedar, satu hari nanti, semua wanita akan menjadi ibu. Oleh itu, adalah sangat penting untuk wanita menggunakan ilmu-ilmunya demi mendidik anak tercinta. Anak-anak itu nanti kelak akan membesar menjadi figura untuk generasi masa depan. Oleh sebab itulah, Islam sangat menekankan kita untuk sama-sama menuntut ilmu terutamanya ilmu akhlak dan adab.
Para wanita muslimah hari ini perlu mengkaji sejarah. Bagaimana kuasa didikan seorang ibu, dapat melahirkan seorang anak yang dapat menakluki kota konstantipel pada usia yang sangat muda. Kita perlu mendalami lagi, apakah kaedah yang telah diajarkan oleh ibu kepada Sultan Muhammad Al Fateh sehingga berjaya menjentik semangat pejuang ke dalam jiwa anak jantannya. Sehingga Sultan Muhammad Al Fateh berjaya menjadi figura yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW,
Rasulullah SAW pernah bersabda: “Konstantinopel akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (HR Imam Ahmad)
Bagaimana ibu Sultan Muhammad Al Fateh berjaya mendidik anaknya sehingga menjadi sebaik-baik raja yang berjaya melatih tenteranya sehingga menjadi tentera yang terbaik? Mari kita hayati kisahnya.
Pernah diceritakan bahawa, sejak Sultan Muhammad lahir ke dunia, ibunya akan membawanya ke tebing yang menghadap ke arah Kota Konstantinopel. Setiap hari, ibunya akan menggendong anaknya ke tempat itu dengan berkata,
“Wahai anakku, di sana terdapat kota Konstantinopel. Dan Rasulullah SAW bersabda: Konstantinopel itu akan ditawan oleh tentera Islam. Raja yang akan membukanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera. Ketahuilah anakku, engkaulah orangnya”
Walaupun ketika itu Sultan Muhammad belum lagi mengerti apa-apa, ibunya tetap istiqamah menanam semangat ke dalam sanubari anaknya. Sehinggalah Sultan Muhammad sudah pandai berjalan sendiri, usaha meniupkan ruh dan semangat pejuang tidak pernah berhenti.
Seperti itulah yang dilakukan setiap hari sehingga Sultan Muhammad sudah pandai memasang impian menakluki Kota Konstantinopel dengan tangannya sendiri.
Dengan izin Allah, pada 1453 Masihi, Kota Konstantinopel berjaya ditakluki oleh sebaik-baik tentera, yang diketuai oleh sebaik-baik raja iaitu Sultan Muhammad Al Fateh yang berumur 21 tahun pada waktu itu.
Pepatah arab pernah menyebut,
العلم في الصغر كالنقش علي الحجر
Belajar di waktu kecil bagai mengukir di atas batu.
Inilah kaedah yang telah digunakan oleh ibunda Sultan Muhammad Al Fateh dalam mendidik anaknya. Oleh sebab itulah, madrasah yang terbaik adalah para ibu sendiri. Kita tidak boleh mengabaikan hubungan ibu dan anak ketika mereka masih kecil. Jiwa anak kecil sangat suci menyebabkan apa yang kita terapkan di dalam sanubari mereka, melekat dengan kuatnya ke dalam jiwa.
Disediakan oleh: Karang Fulanah