Mindfulness adalah satu keadaan apabila kita melakukan sesuatu pekerjaan dalam keadaan yang sedar secara penuh atau memberikan tumpuan yang lebih terhadapnya dengan tanpa sebarang gangguan. Apabila kita berada dalam keadaan sedar secara penuh, kita dapat mengatur dan mengawal pemikiran, tingkah laku dan respon kita dengan lebih baik. Tetapi sekiranya tidak, kita akan mengalami kesukaran untuk mengawal tiga perkara yang disebutkan tadi dan akhirnya kita akan membiarkan keinginan (nafsu) mengawal diri kita.
Merujuk American Psychological Association (APA), mereka yang melakukan kerja dengan keadaan sedar secara penuh atau dipanggil sebagai mindfulness, dapat membantu mengurangkan tekanan, menguatkan ingatan, membantu menajamkan fikiran dan tumpuan, mengurangkan kecelaruan emosi, mengurangkan keresahan (anxiety) dan membantu menambah baik personaliti.
Di dalam konteks Islam pula, mindfulness diistilahkan sebagai مراقبة (muraqabah) dan perkataan asalnya ialah رقب (raqab) iaitu bermaksud mengawasi, memelihara dan meneliti.
Seperti yang kita tahu juga, Allah mempunyai nama Ar-Raqib yang bermaksud:
“Tuhan yang sentiasa mengawasi, melihat, memerhati dan meneliti ke semuanya.”
Jikalau dalam istilah spiritualnya, muraqabah adalah sifat seseorang yang merasa dirinya sentiasa dilihat dan diawasi oleh Allah SWT. Oleh disebabkan itu, seseorang itu akan menjadi lebih berhati-hati dan lebih peka dengan cara dia bertindak, berfikir, bercakap dan memberi respon terhadap sesuatu perkara.
Kerana apa? Kerana Allah telah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 235:
وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللّهَ يَعْلَمُ مَا فِي أَنفُسِكُمْ فَاحْذَرُوهُ
“Ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati kamu, maka takutlah kepada-Nya.”
Muraqabah juga disama ertikan dengan al-ihsan iaitu suatu keadaan apabila kita sedang beribadah kepada-Nya, seolah-olah kita melihat Allah di hadapan kita walaupun sebenarnya kita tidak mampu untuk melihat Allah, tetapi kita tahu dan sedar bahawa Dia sedang melihat kita. Melalui sifat muraqabah dan al-ihsan ini, kita mampu untuk menjadi seorang Muslim yang bertindak dalam keadaan sedar secara penuh (mindfulness).
Sebagai tambahan,
Ibn Qayyim al-Jauzi pernah menyebut di dalam penulisannya tentang muraqabah iaitu keadaan seseorang yang peka, tahu dan sedar terhadap nama-nama Allah seperti:
Ar-Raqib (Yang Maha Melihat,Memelihara), Al-Hafiz (Yang Maha Menjaga), Al-‘Alim (Yang Maha Mengetahui), As-Sami’ (Yang Maha Mendengar) dan Al-Basir (Yang Maha Melihat)
Beliau juga mengatakan, jika seseorang itu mampu untuk berada di dalam keadaan seperti di atas, maka dia telah pun memiliki sebuah hati yang baik dan bersih (al-qalb al-salim).
Dan kata Syeikh Abdul Qadir Jailani, muraqabah dapat dilihat daripada empat perkara iaitu:
1. Kesedaran kepada Allah itu Maha Berkuasa
2. Kesedaran yang musuh Allah itu Iblis
3. Kesedaran yang jiwa kita mudah terganggu dengan bisikan jahat
4. Kesedaran untuk melakukan kebaikan hanya kerana Allah swt
Melalui empat perkara ini juga kita dapat menjadikan ia sebagai panduan untuk menjadi seorang muslim yang hidup dan bertindak dalam keadaan sedar secara penuh. Akhirnya kita akan mendapati bahawa hasil dan kemanisan bagi muraqabah ialah sakinah iaitu ketenangan dan kedamaian kepada jiwa kerana akrabnya hubungan hati kita dengan Sang Pencipta dan disebabkan kita berada dalam keadaan yang sedar bahawa kita sentiasa diperhatikan oleh Allah serta akan dipertanggungjawabkan oleh setiap apa yang kita lakukan. Wallahua’lam.
Disediakan oleh,
Faha Anuar
Pelajar Psikologi UMS.
Sumber rujukan:
1. Wehr, Hans, dan J M. Cowan. A Dictionary of Modern Written Arabic: (Arabic-English). (Ithaca, N.Y: Spoken Language Services, 1994), 408.
2. Al-Tuwayjiri, Muhammad Ibn Ibrahim. Mawsu’at Fiqh Al-Qulub. (‘Amman: Bayt al-Afkar al-Dawliyah, 2006). 2:1997.
3. Ibn Qayyim al-Jauzi, Madarij Al-Salikin, 2:66
4. Al-Jailani, ‘Abdul Qadir. Al-Ghaniyah Li-Talibi Tariq Al-Haqq. (Bayrut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, 1997), 2:309-310.