Takdir adalah salah satu tuntutan wajib bagi orang Islam untuk beriman yang juga disebutkan sebagai qada dan qadar. Dalam al Quran, terdapat beberapa definisi takdir yang disebut oleh Allah SWT dalam beberapa firman-Nya. Antara makna yang disebutkan oleh Allah SWT, takdir itu adalah segala sesuatu yang terjadi di atas ketentuan Nya. Sepertimana firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah ar Ra’d ayat 8 yang bermaksud :
“Dan setiap sesuatu adalah ditetapkan di sisi Nya dengan kadar yang tertentu”
Juga dalam ayat yang lain, Allah SWT menyebutkan bahawa takdir itu adalah sesuatu yang diciptakan dengan jalan takdirnya. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah al Qamar ayat 49 yang bermaksud :
“Sesungguhnya Kami menciptakan setiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)”.
Dalam al Aqaid Islamiyah, Imam Nawawi memberikan makna kepada takdir sebagaimana yang telah disebutkan oleh Syeikh Syed Sabiq :
“Sesungguhnya segala yang maujud ini telah digariskan oleh Allah sejak zaman qidam Dia Maha Mengetahui apa sahaja yang terjadi dalam waktu-waktu yang ditentukan, sesuai dengan garis yang telah ditetapkan Nya. Terjadi sesuatu itu pasti tepat menurut sifat-sifat keadaan yang khusus seperti yang telah digariskan oleh Allah”.
Secara mudah, takdir adalah sebuah ketetapan dan peraturan azali yang dibuat oleh Allah SWT sebagai yang Maha Pencipta kita. Pada takdir itu juga mempunyai undang-undang yang umum yang terkait dengan persoalan asbab dan musabab dalam kehidupan para hamba Nya. Oleh itu, sebagai orang yang beriman, kita wajib beriman dengan takdirNya yang sudah ditentukan atas kehendak yang Maha Berkuasa.
Mengajak diri untuk berdamai dengan takdir bukanlah bermakna kita perlu berputus asa dan lari daripada berusaha. Bahkan sikap berputus asa dan malas berusaha adalah suatu sikap yang ditentang dan dilarang oleh agama. Dalam sebuah hadith sahih riwayat Imam Bukhari, daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW menyebut dalam doanya yang bermaksud :
“Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada Mu dari kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada Mu dari rasa penakut dan kikir, dan aku berlindung kepada Mu dari bebanan hutang dan penindasan”.
Berdamai dengan takdir membawa maksud kita reda dengan setiap yang berlaku, akur di atas setiap yang terjadi di samping kita terus bersangka baik dengan Allah SWT. Setiap manusia pasti ada perkara yang dicita-citakannya. Baik dalam soal jodoh, rezeki atau lain-lainnya. Meskipun begitu, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik bagi diri kita sendiri. Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman dalam surah al Baqarah ayat 216 yang bermaksud :
“…boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu ; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”.
Demikian lah bagaimana Allah telah menentukan sesuatu takdir di atas pengetahuan Nya yang Maha Hebat. Bagi kita yang berakal waras, kekecewaan dalam hidup kerana gagal mencapai apa yang kita citakan selama ini adalah sesuatu yang sakit untuk diubati, pahit untuk ditelan dan sukar untuk dilupakan. Namun percayalah, hidup diatas realiti lebih bermakna daripada alam fantasi. Berdiri di alam realiti lebih bermaruah dan punyai harga diri berbanding terus menerus memilih untuk meratapi, bersedih dan pilu.
Sebagai manusia yang serba lemah dan berada dalam serba kekurangan, untuk menelan sesuatu takdir yang tidak seperti apa yang kita harapkan memanglah sesuatu yang sulit. Bagaikan menyucuk ke dada dan seolah hilang separuh nyawa. Tetapi untuk namanya kelangsungan hidup, realitinya harus kita bangkit dan meneruskan perjalanan walaupun dengan keadaan merangkak, hidup mesti diteruskan. Pengalaman dan kenangan silam akan terus menghantui kita sekiranya kita tidak memilih untuk berdamai dengan takdir.
Justeru, bersangka baiklah kepada Allah, Tuhan yang Maha Kuasa. Dialah tempat untuk kita merintih dan memohon. Dia juga lah tempat sebaik-baik kita bersandar. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Jabir, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Ketahuilah bahawa seseorang dari kamu tidak akan menemui maut melainkan dia telah bersangka baik kepada Allah”.
Hidup ini adalah tentang soal pilihan. Banyak kelebihan andai kita memilih untuk berdamai. Lupakan yang suram. Pilih lah untuk menjadi manusia yang bermaruah. Bangkit pada hari ini untuk melakarkan masa depan. Percayalah, Allah sebaik-baik perancang hidup ini. Semoga Allah memimpin hidup kita menuju jalan redaNya.
Disediakan oleh: Faidhi Azis