Laman sosial dibanjiri berbagai-bagai manusia dan gaya penyampaian yang berbeza. Latar belakang dan pendidikan juga berlainan. Namun di media sosial kita semua merupakan penulis yang sama.
Mungkin ada dalam kalangan senarai rakan kita gemar menulis mengikut gaya masing-masing seperti menulis dalam bentuk singkatan ataupun panjang. Barangkali ada yang menganggap bahawa menulis di laman sosial sebenarnya tidaklah sama seperti menulis dalam bentuk Microsoft Word kerana menulis di laman sosial ini lebih bebas dan tidak terikat.
Jika dikaji dari sudut psikologi, menulis menggunakan ejaan penuh dan teratur termasuk dari segi format penulisan yang betul menunjukkan bahawa seseorang itu amat mementingkan kualiti disiplin dan kelihatan lebih profesional.
Dalam satu judul buku Seni Bercakap-cakap dan Berbual-bual, karangan Abdullah Hassan dan Puan Ainon Mohd menyenaraikan tip bagaimana hendak menulis di laman sosial dengan betul berikut ialah,
1. Gunakan ejaan Lengkap.
2. Gunakan tatabahasa yang betul.
3. Gunakan tanda bacaan yang betul.
4. Gunakan format komunikasi yang betul.”
Menulis dengan menggunakan ejaan penuh bukan memakai bahasa wechat adalah penting di zaman era globalisasi ini. Hal ini bertujuan untuk memudahkan pembaca membaca mesej yang cuba di ketengahkan kepada khalayak ramai dengan jelas.
Jika sekadar perbualan atau cakap-cakap kosong sahaja sudah tentu ia tidaklah menjadi kesalahan dan memberi impak yang besar kerana laman sosial adalah hak pengguna yang tidak mampu dihalangi oleh sesiapa. Walaupun begitu, sekiranya individu tersebut merupakan penulis buku yang cukup mendapat perhatian, menjadi satu kemestian untuk dirinya berlatih menggunakan bahasa yang jelas bagi memastikan karyanya di masa akan datang menjadi pilihan dan buruan.
Antara faktor-faktor lain yang turut ditekankan dalam buku ini ialah,
- Ejaan lengkap lebih mudah dibaca dan difahami oleh pembaca. Pembaca dapat membaca lebih pantas kerana tidak perlu meneka-neka perkataan yang dieja itu.
- Konten media sosial yang ditulis menggunakan bahasa yang betul menjadikan komunikasi itu lebih efektif dan tujuan komunikasi itu dapat dicapai.
- Teks yang menggunakan ejaan lengkap dan tatabahasa dapat diterjemahkan oleh pelbagai program terjemahan automatik yang disediakan oleh platform media sosial.
Kepandaian seseorang bukan sahaja diukur dari segi bicara dan lenggok aksara, tetapi mengambil kira dari segi menjaga komunikasi sihat melalui konten-konten yang hendak dihasilkan.
Di samping itu, ia dapat membantu penulis menyunting karya sendiri sekiranya terdapat kesilapan yang disedari sepanjang menulis baik di laman sosial mahupun di mana jua.
Laman Facebook, Twitter, Instagram kita akan lebih kelihatan kemas dan bernilai jika kita menulis perkara-perkara yang berfaedah dan menulis hal-hal yang boleh memberikan pulangan pahala.
Malahan, kita juga dapat membina kepercayaan dan pengikut juga semakin bertambah. Ini adalah satu bonus yang melimpah dan bukan paksaan.
Bermula pada hari ini, berlatihlah menulis menggunakan ejaan penuh. Tunjukkan bahawa anda merupakan seorang penulis yang cukup matang dan mampu mencipta personaliti yang diminati ramai. Buku ini adalah panduan buat anda!
Disudahi dengan petikan yang tertera dalam halaman 355-356,
“Dari sudut peraturan tatasopan dalam budaya tinggi, menulis dengan menggunakan ejaan, tatabahasa, tanda bacaan dan format yang betul mencipta kesan bahawa si penulis adalah seorang menghormati orang yang membaca tulisannya.”
Rujukan:
- Seni Bercakap dan berbual-bual, bab 55: Menulis dalam Media Sosial. Penerbit: PTS Publishing House. Cetakan Kedua 2019. Penulis: Abdullah Hassan & Ainon Mohd.
Disediakan oleh: Syuhara Suriati