Bagaimana mahu memupuk si kecil mula minat membaca? Ya, memupuk minat membaca. Dalam apa-apa perkara sekalipun, dengan adanya minat, semuanya menjadi! Apatah lagi dalam memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak.

Perkara pertama untuk memupuk minat membaca dalam diri anak-anak ialah ibu bapa hendaklah turut sama-sama menyemai amalan membaca dalam diri mereka. Mana mungkin jika ibu bapa tiada langsung minat terhadap buku, majalah, artikel ataupun komik dapat memupuk minat membaca dalam diri anak-anak mereka. Pastinya tugas itu akan diserahkan kepada para pendidik dalam memupuk minat membaca dalam diri anak-anak. Antara aktiviti yang boleh dilakukan oleh ibu bapa adalah membacakan buku cerita kepada anak-anak, bermain permainan seperti Sahiba bersama anak-anak serta menyediakan sudut bacaan kecil di rumah. 

Sahiba

Kedua, ibu bapa boleh memberi anak-anak bahan bacaan untuk dikenal, disentuh dan dibaca semenjak usia mereka kecil lagi. Dengan memberi pendedahan awal, semestinya anak-anak tidak akan kekok apabila mereka lihat bahan bacaan di hadapan mereka. Kelak, anda akan melihat bahawa anak-anak anda akan berasa teruja dan seronok apabila ternampak majalah, surat khabar, komik ataupun bahan bacaan yang lain. Pasti mereka akan terus mengambil dan membaca. 

Seterusnya, yang ketiga adalah membawa anak-anak merasai sendiri pengalaman berada di perpustakaan, pesta buku atau kedai buku. Kini, perpustakaan negeri, perpustakaan desa sudah pun ditambah baik dan mempunyai pelbagai ruangan bacaan dan aktiviti yang sangat menarik! Ibu bapa boleh mengambil maklum pengumuman-pengumuman oleh perpustakaan negeri atau pihak lain tentang acara atau program yang mereka adakan terutamanya ketika musim cuti sekolah. Antara program yang selalu diadakan adalah aktiviti sains di Petrosains, pertandingan melukis dan mewarna, pertandingan bercerita, pesta buku dan banyak lagi. Jadi, rebut peluang ini yang bukan sekadar untuk meluangkan masa bersama anak-anak sewaktu cuti sekolah tapi dalam masa yang sama memberi pengalaman yang autentik untuk anak-anak dalam memupuk amalan membaca. 

Jumpa di sana!

Yang terakhir sekali adalah ibu bapa hendaklah berada bersama anak-anak, untuk memantau mereka ketika melakukan aktiviti membaca. Contohnya, apabila anak-anak sedang menyiapkan kerja sekolah dan ada beberapa perkataan yang mereka tidak faham, ajarkan kepada mereka cara untuk mencari perkataan dalam kamus. Biar mereka sendiri merasai puasnya mencari makna perkataan daripada kamus yang tebal itu. Dengan ini, mereka akan memupuk amalan dan disiplin dalam mencari ilmu serta jatuh cinta untuk terus belajar sekaligus dapat memupuk amalan membaca dalam diri anak-anak.

Natijahnya, ibu bapa merupakan madrasah pertama bagi anak-anak, bukan orang lain yang menjadi madrasah utama untuk anak-anak. Sayangi dan didik anak-anak dengan sepenuh kasih dan sayang.

Bapa borek, anak rintik; ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi – anak-anak ibarat kain putih yang suci, lahirnya ke dunia menjadi satu amanah untuk insan yang bergelar ibu dan bapa untuk mencorakkan anak-anak agar menjadi manusia yang baik dan bermanfaat dalam hidupnya. Segala perkataan, kelakuan serta tabiat yang dilakukan oleh ibu bapa, maka itulah menjadi ikutan anak-anak. Jadi, corakkan nilai murni dan amalan yang baik dalam diri anak-anak semenjak mereka kecil lagi agar perbuatan yang baik itu akan kekal selamanya serta membawa manfaat untuk diri mereka serta orang lain kelak.

Penulis: Jiha Jahari


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.