Telefon masih lagi di tangan, badan masih dalam rebahan, jiwa bermalas-malasan, Al Quran ditenung lama tanpa ada tindakan. Hingga akhirnya, diri sendiri terus-menerus menjadi kaum rebahan sehingga tidak ada satu pun ayat hafalan yang dimulakan.
Begitulah setiap hari jika diri sudah sebati dengan sifat yang suka bertangguh. Bagaimana mimpi mahu terwujud jika kita masih tenggelam dalam sifat-sifat menghambat impian? Kita tidak akan dapat mencapai impian kita jika masih berada di titik yang sama. Jika kita mahukan perubahan, maka perubahan perlulah segera dilakukan. Lakukan, bukan sekadar mahukan. Semua orang boleh mengungkapkan perkataan ‘mahu’. Namun, yang membezakan kita dengan yang lain adalah apabila diri sendiri gagahkan jua untuk bertindak.
Islam sendiri tidak suka umatnya larut dalam sikap suka bertangguh. Sikap mazmumah ini sebenarnya boleh mendatangkan pelbagai kesan yang buruk terhadap perilaku diri sendiri, yang mana berpotensi untuk menjadi tabiat yang buruk. Jika sudah menjadi tabiat, maka sikap itu akan menjadi susah untuk dibuang daripada jati diri kita sendiri.
“Maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebaikan.”(Al Baqarah:148)
Islam menuntut umatnya agar bersegera melakukan kebaikan. Apa sahaja perkara-perkara kebaikan yang perlu dilakukan, maka, haruslah kita menyegerakannya sepantas mungkin. Jika kita mula berlambat-lambat dan bermalas-malasan, maka, ditakuti syaitan dahulu yang akan mengambil peluang untuk berbisik-bisik supaya kita terus-menerus membuang masa.
“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (zmiskinå). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (HR al-Hakim dan al-Baihaqi)
Kita tidak tahu bila masanya kita akan jatuh sakit, bila masanya Allah SWT menyempitkan rezeki, dan kita juga tidak tahu bila kematian datang menyapa. Oleh itu, gunakanlah masa dan peluang yang ada dengan sebaik-baiknya.
Allah SWT sangat suka jika hambaNya melakukan sesuatu dengan sebaik-baiknya. Apabila kita bersungguh melakukan sesuatu, maka syaitan tidak akan ada peluang untuk mempengaruhi kita untuk mengerjakan perkara yang Allah SWT tidak reda.
Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyukai seseorang jika apabila kamu melakukan sesuatu tugasan, maka kamu akan melakukannya dengan itqan.” (HR at-Tabrani)
Bukankah apabila tiba masanya untuk menjawab peperiksaan akhir tahun di sekolah, kita semua akan buat dengan bersungguh-sungguh di dalam dewan peperiksaan? Kita akan diam dan tunduk dengan khusyuknya memandang perkataan-perkataan yang ada di atas lembaran kertas itu. Kerana apa? Kerana di dalam dewan peperiksaan, kita sedang diawasi oleh guru dan ustaz untuk tidak meniru dan berbincang-bincang.
Sama jugalah situasinya ketika kita berada di dunia. Di dunia ini kita sedang diuji untuk mengetahui siapakah yang paling baik amalannya. Sebagaimana yang telah direkod di dalam al Quran:
Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa, Maha Pengampun. (Al Mulk:2)
Tuntasnya, bagaimana kita mahu mewujudkan sikap menghargai masa dan melawan sikap suka bertangguh? Caranya adalah merasakan bahawa diri kita sedang diawasi. Siapakah yang mengawasi kita itu? Sudah tentulah Tuhan kita, Allah Azzawajalla yang maha teliti dalam mengawasi para hamba-Nya.
“Kemudian dia bertanya lagi: ‘Maka sekarang khabarkanlah kepadaku tentang ihsan. Rasulullah SAW menjawab: ‘Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau.” (HR Muslim).
Disediakan oleh: Karang Fulanah