“Macam mana kalau kawan kita ada PTSD dan apa jenis bantuan atau sokongan yang kita boleh bagi dekat dia?”

Saya terima banyak soalan seperti ini dan saya tersenyum sebab ramai orang yang sudah mula prihatin dan cakna dengan isu kesihatan mental. Apatah lagi yang bertanya ini pula untuk lebih memahami keadaan kawannya sendiri.

Saya pun cuba ingat semula apa yang saya perlukan ketika saya menghidap penyakit ini dan apa yang saya buat ketika saya menjadi penjaga atau peneman kepada pesakit.

Sebelum itu, apa sebenarnya PTSD?

PTSD (Post-traumatic Stress Disorder) adalah salah satu penyakit anxiety. Seseorang yang menghidapi PTSD akan selalu terikat dengan masa lalu yang traumatik sehingga berlakunya simptom seperti kerap mengalami flashback, mula mengelak daripada apa-apa yang mengingatkannya kepada peristiwa tersbut, sentiasa berjaga-jaga dan memiliki perubahan negatif dalam kepercayaan dan perasaan.

Saya rasa cukup untuk menjelaskan secara ringkas tentang penyakit ini. Jadi, apa perkara yang boleh kita buat untuk mereka yang menghidap penyakit PTSD ini?

Jangan memaksa dia untuk bercerita.

Tak mudah bagi seseorang yang mengalami perkara tragis untuk mula bercerita, jadi buatlah dia rasa selesa dahulu dengan kita. Bina hubungan yang baik dan banyakkan mendengar. Jika dia sudah selesa, cuba tanya dengan baik dan cuba kenal pasti apa yang membuatkan dia menjadi trigger (pencetus). Contoh, mungkin dia tidak suka orang menghempas pintu dengan kuat atau dia tidak suka orang bercerita semula tentang kejadian yang sudah berlaku itu.

Beri peluang kepada mereka aturkan apa yang mereka mahu.

Biarkan mereka membuat keputusan atau pilihan yang mereka sendiri rasa tenang dan selamat. Ini sangat penting. Contoh, kita mengajak dia untuk mandi laut tetapi dia berasa takut kerana traumanya dan dia rasa lebih selamat jika mandi di kolam renang sahaja.

Bina kepercayaan dan rasa selamat.

Beritahu kepada mereka yang kita bersedia untuk beri komitmen dari segi mendengar dan jika mampu, cuba tenangkan dia dalam keadaan yang dia selesa atau yang dia mahukan.

Jika berlaku perkara yang sedang trigger dirinya, apa yang dia mahu kita lakukan? Adakah dengan berikan pelukan? Menggenggam tangannya? atau cukup sekadar ada bersamanya? Lakukan perkara yang boleh beri mereka rasa selamat dan tenang.

Mengajak mereka buat perkara yang mereka suka atau biasa buat.

Boleh cuba mengajak dia untuk beriadah bersama dan kalau mampu cuba bawa dia berjalan ke tempat yang sudah lama teringin nak pergi.

Belajar teknik grounding.

Apabila dia sedang mengalami flashback, kebiasaannya dia berada dalam keadaan yang tidak sedar. Ketika itu, dia rasa seperti sedang hidup dalam peristiwa trauma. Jadi apa yang kita boleh buat adalah dengan mengatakan kepada dia yang “awak selamat sekarang ni”, “jangan risau, benda tu tak berlaku sekarang ni” dan cuba buat teknik grounding 54321.

Pastikan keselamatan diri dahulu.

Kadang-kadang apabila berlakunya krisis, sesetengah pesakit akan ada risiko untuk menyerang kita atau menyakiti kita. Jadi, sebelum menyelamatkan dia, kita perlu selamatkan diri kita dahulu.

Jika keadaan dia semakin teruk, boleh minta bantuan pihak berkuasa untuk datang bantu. Kalau ada kelebihan dari segi kekuatan dan kecekapan, kita mungkin boleh cuba hadapinya. Tapi apa-apa pun, utamakan keselamatn diri dahulu.

Buat penjagaan diri (self care).

Dalam kita membantu dia, jangan sampai terlupa untuk berikan masa buat diri sendiri. Kita manusia biasa, terbatas untuk sentiasa ada dan apatah lagi untuk sentiasa menguatkan orang lain. Jangan sampai diri kita mula burn out disebabkan sibuk ambil berat terhadap orang lain tetapi terlupa ambil berat terhadap diri sendiri. Oleh itu, perlu tahu bila kita perlu bertindak dan bila kita perlu bertenang. Jika diri sendiri rasa letih, bagaimana kita nak bantu orang lain, kan?

Banyakkan bersabar dan memaafkan.

Kita perlu sentiasa bersabar dan memaafkan dalam menyantuni mereka kerana kadang kala emosi mereka berada dalam keadaan tidak menentu, perkataan mereka melukakan jiwa dan mungkin akan diberikan silent treatment yang begitu lama.

Jika perkara ini berlaku, jangan menyalahkan diri sendiri apabila merasa gagal untuk membantu atau memahami dia. Percayalah, awak sudah buat yang terbaik untuk mereka. Berikan masa dan ruang seketika buat diri kita dan dia.

Banyakkan belajar tentang PTSD.

Akhir sekali, kita juga boleh berusaha untuk belajar tentang penyakit yang dia sedang hadapi. Semakin banyak pengetahuan tentang penyakit ini, semakin mudah untuk kita memahami keadaannya.

Jika ada masa lapang dan berkemampuan, boleh sertai program-program yang kursus bantuan psikologi kecemasan atau dikenali sebagai Psychological First Aid (PFA).

Disediakan oleh:

Farha Anuar


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.