Saya selalu percaya, apabila kita mahu mengkaji atau mengambil pengajaran atau ibrah daripada seorang tokoh, antara yang terpenting adalah melihat bagaimana pembacaan telah membentuk tokoh-tokoh itu.  Seseorang tokoh tidak lahir dan terus menjadi orang hebat yang disebut-sebut dan diingati oleh segenap orang. Mereka melalui ‘proses’ dan pembinaan pengalaman yang mungkin sama, mungkin juga berbeza daripada kebanyakan orang.

Kata Oscar Wilde, bahan bacaan anda akan menentukan siapa diri anda, meskipun anda mungkin tidak berharap menjadi seperti itu.

Bahan bacaan yang kita baca akan membentuk siapa kita. 

Antara buku-buku tentang Kartini

Semasa lawatan Jejak Hamka ke Padang Sumatera Barat pada tahun 2015 bersama Jejak Tarbiah, persoalan yang paling besar bermain di kepala saya ialah bahan bacaan apa yang telah membentuk seorang HAMKA itu. Saya ingin melihat sendiri jika masih ada bahan-bahan itu, selain apa yang kita boleh jumpa dan baca dalam karya-karya HAMKA itu sendiri.

Begitu juga dengan seorang tokoh perempuan yang dilahirkan di Jepara, Jawa Tengah ini pada tahun 1879 yang lalu. Hari ini adalah tanggal hari lahirnya, 21 April. Hari yang diisytiharkan sebagai HARI KARTINI oleh Presiden Soekarno sejak tahun 1964.

Raden Adjeng Kartini ini wanita jawa yang luar biasa. Saya ketepikan dahulu seribu satu kontroversi dan spekulasi yang sentiasa ada berlegar tentang tokoh ini. Kita boleh memandang daripada pelbagai sisi.

Bersama anakanda Farahi di Museum R.A Kartini, Jepara

Sisi yang saya ingin lihat hari ini ialah bagaimana bahan bacaan yang telah dibaca membentuk seorang Kartini, wanita yang terpasung dengan adat tetapi minda dan karyanya terus bebas menakluk kita hinggalah ke hari ini.

Pada tahun 2018, sekali lagi saya berkesempatan untuk mengikuti rombongan Jejak Tarbiah tetapi kali ini berfokus kepada “Jejak Kartini”. Selama 4 hari tiga malam kami menelusuri satu persatu tempat-tempat bersejarah yang ada kaitan dengan Kartini. Dari tempat beliau lahir dan ari-arinya di tanam, hinggalah ke makam tempat beliau bersemadi.

Wanita yang lahir tahun 1879 ini sudah fasih berbahasa Belanda sejak beliau kecil. Minat membaca beliau membolehkan beliau terus meneroka dunia walau diri terpenjara di Jepara. Beliau terpaksa mengikuti adat ‘pingitan’ ketika itu walaupun jiwa beliau memberontak. Tetapi masa pingitan itu jugalah telah ditukar menjadi masa yang sangat banyak dan berharga untuk beliau terus membaca.

Menikmati cerita Kartini di Pantai Bandengan, Jepara

Beliau boleh bercakap dan menulis dalam Bahasa Belanda dengan sangat baik. Malah beliau pernah menghantar karyanya untuk dimuatkan dalam majalah wanita Belanda “De Hollandshe Lelie” yang dilanggan dan menjadi bacaan wajib beliau. Beliau juga sering membaca akhbar Belanda “De Locomotief” dan melanggan buku-buku dari toko-toko buku terbaik di Jepara.

Usia muda beliau dihabiskan dengan membaca karya-karya besar dari Belanda seperti Max Havelaar, Surat-surat Cinta karya Multatuli dan De Stille Kraacht (Kekuatan Gaib) karya Louis Coperus, Van Eeden, Augusta de Witt, karya feminis wanita Belanda Goekoop de-Jong Van Beek dan novel anti perang karangan Berta Von Suttner, Die Waffen Nieder (Letakkan Senjata).

Bahan-bahan bacaan beliau ini boleh kita temui sekiranya kita membaca buku “Habis Gelap Terbitlah Terang” terjemahan asal daripada “Door Duisternis Tot Licht ” dibukukan oleh J.H Abendanon yang mengandungi surat-surat yang ditulis oleh Kartini untuk sahabat penanya Estelle “Stella” Zeehandelaar. Dalam surat-suratnya Kartini ada mengupas dan menceritakan tentang buku-buku yang beliau baca.

Dalam buku Pramaoedya Ananta Toer, Panggil Aku Kartini Sahaja juga ada dikupas oleh Pak Pram buku-buku yang dibaca oleh Kartini secara lebih terperinci. Saya mengenali perjuangan seorang Kartini ini melalui buku Pramaoedya yang bukan sekadar menceritakan tentang riwayat hidup Kartini, tetapi juga ulasan dan kritikan daripada sasterawan besar Indoesia Pramaoedya Ananta Toer.

Berada di Makam Kartini, Rembang

Malah, sisi lain yang mungkin jarang orang sebut tentang Kartini ialah bagaimana perjalanan beliau untuk terus mengenali dan menghayati ajaran agama Islam itu sendiri saat hayatnya semakin sampai ke penghujung. Beliau pernah mengomel dan mengkritik, bagaimana banyak sekali ajaran Islam ini tidak beliau benar-benar fahami, hanya sekadar menurut mengikut adat tradisi. Malah, Al-Quran yang merupakan pegangan asas untuk umat Islam juga tidak difahami. Zaman itu, masih ada yang menganggap Al-Quran ini terlalu sakral untuk dipelajari.

Tetapi Kartini masih terus meneroka pembacaan termasuk untuk cuba memahami Al-Quran itu sendiri. Di sini ada peranan seorang ulama besar di sana ketika itu, Kyai Soleh Darat yang telah mengajar dan membantu Kartini memahami Al-Quran.

Malah, ungkapan keramat ‘Habis Gelap Terbitlah Terang’ itu sendiri ada yang menyebut bahawa ianya adalah kata-kata kesedaran Kartini sendiri selepas beliau telah memahami Surah Al-Fatihah.

“Selama ini al-Fatihah gelap bagi saya. Saya tak mengerti sedikitpun maknanya. Tetapi sejak hari ini ia menjadi terang-benderang sampai kepada makna tersiratnya, sebab Romo Kyai telah menerangkannya dalam bahasa Jawa yang saya pahami.”

Kartini
Tafsir Quran dalam bahasa jawa tulisan arab yang diahadiahkan kepada Kartini oleh Kyai Soleh Darat

Jika difikir logik, Kartini yang hanya sempat hidup hingga umur 25 tahun, umur yang cukup muda ini pastinya tidak banyak yang mampu dilakukan oleh beliau. Tetapi beliau terus ‘hidup’ dan diingati hingga kini. 

Jika difikir logik, Kartini yang hidup tahun 1980-an itu dengan segala kekangan adat menggila yang menekan perempuan, mustahil Kartini boleh terkedepan mengemukakan idea-idea yang mendepani zaman. Tetapi, lihatlah bagaimana buku-buku yang dibaca beliau telah membuka minda dan membentuk cara fikir yang betul tentang banyak perkara yang tidak mampu dicapai tanpa membaca.

Bahan bacaan telah membentuk ideologi seorang Kartini. Dan penulisan yang beliau tulis telah menyebabkan beliau terus abadi hingga kini. 

“Dan siapakah yang banyak dapat berusaha memajukan kecerdasan udi iu. Siapakah yang dapat membantu mempertinggi derajat budi manusia, ialah wanita, ibu, kerana haribaan ibu itulah manusia mendapatkan didikannya yang mula-mula sekali.”

Kartini

Disediakan oleh,

Nurul Suhadah Shuib
Aktivis buku dan pembacaan, penggerak komuniti Suri Membaca

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.