Sekiranya sebelum ini kita pernah membaca buku travelog, percayalah buku Travelog Inderasakti ini sememangnya lain dari yang lain. Ianya bukanlah sekadar travelog yang menamakan tempat-tempat menarik, memberikan tips-tips perjalanan, menceritakan tempat-tempat makan yang sedap, tetapi ianya sebuah travelog pengembaraan bersejarah untuk mengenal jati diri kita, asal-usul rumpun bangsa melayu. Fokus utama buku ini: sejarah kerajaan Johor-Riau. Permulaan buku ini sahaja dimulakan dengan penceritaan sejarah dan asal-usul Pulau Penyengat. Kenapa nama lain Pulau Penyengat ialah Pulau Mas Kahwin? Bagaimana asalnya boleh wujud bangsa Bugis di bahagian selatan Johor?
Dan penulis berjaya menyampaikan pengkisahan sejarah ini dalam keadaan santai, malah mudah difahami. Suatu kisah sejarah yang amat menarik dan terkesan di hati saya. Berapa kali saya terluah sendiri di mulut “Oh begitu kisahnya”, “Oh begitu rupanya”. Dan apabila saya ceritakan semula kisah-kisah ini kepada anak-anak, ternyata mereka turut kagum mendengarnya.
Tidak perlu kita tekankan untuk mengingati tarikh dan nama sultan. (Percayalah, mengingati nama-nama sultan melayu zaman dahulu kala adalah suatu yang agak sukar juga untuk saya memandangkan kebanyakkan nama sultan dahulu kala gemar mengulang nama-nama yang sama, cuma ditukarkan kepada I,II,III dan seterusnya). Yang penting, kisah dan ceritanya. Boleh jadi inilah titik tolak untuk anak-anak muda mula mengenali dan mencintai sejarah.
Sepanjang pembacaan buku ini juga, saya dapati penulis sememangnya amat mencintai dan mengenali sejarah kerajaan Johor-Riau ini. Pengetahuan penulis yang mendalam menunjukkan beliau sudah pun menganalisa dan mendalami sejarah Johor-Riau sebelum memulakan perjalanan ini. Setiap langkah dan setiap pemandangan yang penulis jumpa sepanjang perjalanan ini dapat dikaitkan dengan sejarah asal-usul kerajaan Johor. Saya terkagum, sukar nak menjumpai anak muda yang amat analitis dan kritis dalam membicarakan perihal sejarah. Semangat ini yang harus kita pupuk dalam setiap anak muda negara kita, supaya bila mereka kenal sejarah, maka mereka akan lebih mencintai negara kita.
Buku ini tidaklah hanya terbatas menceritakan tentang asal-usul Pulau Penyengat dan Kerajaan Johor-Riau semata-mata. Ternyata penulis turut mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang dan perihal yang lain. Saya amat teruja apabila membaca fakta mengenai pengharaman arak di Amerika Syarikat suatu ketika dahulu. Selama 13 tahun Amerika Syarikat sendiri pernah mengharamkam sebarang aktiviti berkaitan arak (membuat, menjual dan memesan).
Malah penulis turut memberikan fakta-fakta sejarah berkaitan Johor, Melaka, Selangor dan Singapura. Cukup sesuai untuk golongan seperti saya – yang kurang pengetahuannya tentang sejarah dan kalau ada pengetahuannya pun, sudah lupa, akibat dimamah usia! Inilah akibatnya bila semasa bersekolah dahulu belajar sejarah demi menghadap kertas peperiksaan semata-mata. Usai sesi persekolah, sejarah terus dilupakan. Tambahan pula bila menyambung pengajian ke peringkat universiti, subjek sejarah terus hilang dari kamus kehidupan seorang pelajar.
Membaca kisah sejarah dan asal-usul kerajaan Johor-Riau ini turut membuatkan saya lebih menghargai dan menyanjungi tokoh pejuang bangsa. Melalui buku ini, penulis banyak menceritakan perjuangan Raja Haji Fi Sabilillah dalam mempertahankan kedaulatan Riau. Sebelum terlupa, saya nyatakan di sini keunikan pemerintahan Johor pada zaman itu.
Sultan Johor adalah yang berkuasa di Johor – menakluki jajahan Johor, Pahang dan Riau. Manakala diwujudkan jawatan Yamtuan Muda Riau, yang hanya akan disandang oleh orang Bugis. Sekiranya kita nak umpamakan seperti keadaan sekarang, samalah seperti Yang Dipertuan Agong dan Perdana Menteri. (Bagaimana boleh wujudnya jawatan ini, kenalah baca buku travelog ini ye?). Raja Haji ialah Yamtuan Muda Riau yang ke-4, yang berjaya mengusir Belanda dari Riau. Gelaran fisabillilah adalah kerana sepanjang hayatnya, Raja Haji adalah seorang yang bertaqwa dan sentiasa memburu fisabillilah. Cita-cita beliau dikabulkan Tuhan apabila akhirnya gugur syahid di Teluk Mas, Melaka dalam usaha menghalau Belanda keluar dari Melaka.
Penulis turut menceritakan tentang perkembangan penulisan dan sastera melayu yang telah bermula lama dahulu, sedari zaman sebelum era penjajahan. Bermulanya dari penulisan kitab Sulalatus Salatin yang ditulis oleh Bendahara Tun Sri Lanang, era penulisan disambung pula olek Raja Ali Haji dalam penulisan bukunya, Tuhfat Al-Nafis (Raja Ali Haji ialah cucuanda kepada Raja Haji). Raja Ali Haji banyak menghasilkan kitab-kitab sejarah dan sastera Melayu yang menjadi rujukan dari dulu hingga sekarang.
Yang paling penting – mengapa Pulau Penyengat turut dinamakan sebagai Pulau Mas Kahwin?
Di sinilah penulis turut menceritakan bagaimana sebuah perkahwinan yang asalnya berasaskan penyatuan bangsa, namun turut didasari dengan rasa cinta dan kasih sayang. Perkahwinan sultan yang berdaulat dengan seorang puteri berbangsa Bugis diharapnya dapat mengukuhkan lagi hubungan persahabatan di antara Melayu-Bugis. Melalui perkahwinan inilah, Pulau Penyengat dihadiahkan kepada isteri tercinta sebagai mas kahwin.
Memiliki sebuah pulau persendirian mungkin juga idaman dan impian kepada sesiapa pun. Tetapi si puteri turut menjadikan pulau ini sebagai pusat pentadbiran Riau lalu dibangunkan menjadi sebuah kota yang lengkap dengan pejabat pentadbiran, benteng pertahanan, masjid dan didirikan rumah-rumah kediaman.
Di akhir penulisan buku ini, akhirnya terjawab pertanyaan saya dari awal – bagaimana sebuah pulau yang asalnya berdaulat dan dimiliki oleh seseorang, akhirnya hilang daulatnya, hilang penguasaan pemerintah asalnya, dek permainan dan tipu daya penjajah barat. Di sinilah bahagian yang paling menarik (dan sedih juga), klimaks penceritaan sejarah Johor-Riau. Daulat yang sekian lama dipertahankan, akhirnya tumbang di tangan penjajah Belanda. Kerabat Yamtuan Muda Riau dari keturunan Bugis akhirnya ditamatkan. Maka berakhirlah Kesultanan Riau-Lingga secara rasmi pada tahun 1913. Yang tinggal hari ini di Pulau Penyengat hanyalah sisa-sisa sejarah untuk diterokai dan diambil iktibar oleh bangsa seterusnya.
Buku ini amat menarik bagi saya. Bacalah kalau anda seorang yang buta sejarah. Isi kandungannya tidak menekankan fakta dan data sejarah semata-mata. Lebih kepada pengkisahan dan penceritaan. Cuma sekiranya buku ini dapat diterbitkan semula oleh pihak Jejak Tarbiah, suka kalau dapat lihat peta dan gambar-gambar dalam keadaan yang berwarna (walaupun saya sedar, kos percetakkan pasti akan meningkat, sekaligus akan turut meningkatkan harga jual buku ini). Harga buku ini bagi saya amat berbaloi dan mampu milik. Tidak perlu dalam bentuk hardcover pun, dah mampu membawa pemikiran pembacanya menerawang dan meneroka keindahan sejarah Johor-Riau walaupun hanya dalam pemikiran sahaja. Duduk diam di mana-mana, bacalah, dan anda akan dibawa mengembara ke masa silam. Semoga lebih banyak buku seperti ini dapat dihasilkan. Tahniah buat penulis dan penerbit!
Penulis,
Norhasiah Mohd Akhir