Kita sudah sinonim dengan peribahasa, “bapa borek , anak rintik”. Peribahasa ini bermaksud anak menurut baka, kelakuan dan lain – lainnya daripada bapanya. Itulah gambaran persamaan antara Buya Hamka dengan bapanya, Haji Rasul. Bahkan ada yang menyatakan bahawa Haji Rasul lebih hebat daripada Hamka. Haji Rasul adalah nama lain bagi panggilan ayah Hamka untuk menggantikan namanya yang agak panjang untuk disebut iaitu Haji Abdul Karim Amrullah (HAKA).
Jika kita berbicara soal Haji Rasul, kita tidak akan lari daripada berbicara soal revolusi pemikiran Islam di Minangkabau. Haji Rasul diberi gelaran sebagai pelopor kepada gerakan pemikiran “kaum muda” ataupun orang Minangkabau menyebutnya sebagai “kaum mudo”.
Kaum muda ini merupakan gerakan anak muda yang ingin kembalikan masyarakat kepada ajaran Islam yang sebenar. Ajaran Islam yang berpandukan nas dan dalil, bukan semata – mata kepada taqlid buta dan pergantungan dengan adat yang sangat dipegang oleh “kaum tua / tuo”.
Walaupun masyarakat Minangkabau sewaktu itu beragama Islam, tetapi bagi mereka adat itu mempunyai darjat tertentu sehingga ada di kalangan mereka mengatakan, “syarak yang lazim, adat yang qowiy”.
Hal ini menyaksikan satu pertembungan yang dianggap sebagai perang paderi jilid kedua. Jika perang paderi jilid pertama adalah peperangan antara golongan agama dengan menggunakan senjata, jilid kedua pula menggunakan senjata juga; tetapi menggunakan hujah, pena dan idea.
Salah satu sifat Haji Rasul yang paling menonjol adalah sifat keberaniannya. Sifat ini juga ada bersama Hamka, tetapi Haji Rasul lebih terserlah keberaniannya. Sewaktu Haji Rasul masih muda, beliau telah pun bertembung dengan dua kuasa dunia yang dianggap besar sewaktu itu iaitu Belanda dan Jepun.
Semasa penjajahan Belanda, masyarakat di Indonesia khususnya di Minangkabau hidup dalam keadaan tertindas. Berlaku beberapa siri peperangan kecil di antara masyarakat tempatan dengan Belanda. Natijahnya, ramai daripada mereka terutamanya orang Minangkabau yang mati akibat beberapa siri penentangan tersebut.
Walaupun itu dianggap mulia, tetapi Haji Rasul berasa amat sedih dan dukacita. Walaupun ramai daripada kalangan mereka yang melaungkan “Allahu Akbar”, tetapi pada masa yang sama mereka memakai tangkal dan azimat yang menandakan mereka juga percaya “sesuatu” selain daripada Allah.
Hal ini menyebabkan Haji Rasul nekad untuk membawa masyarakat kepada agama Islam yang sebenar. Islam yang selaras dengan amalan dan perbuatan yang berpandukan Al Quran dan As Sunnah. Hasilnya, Haji Rasul mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat Minangkabau. Banyak perkara – perkara khurafat telah dihapuskan hasil dakwah Haji Rasul.
Walaupun begitu, penjajah Belanda sentiasa memerhatikan tingkah laku Haji Rasul. Sehinggakan mereka menghantar perisik mereka untuk berada dalam ceramah ataupun kelas agama yang disampaikan oleh beliau. Oleh kerana tidak mampu untuk berhujah dengan Haji Rasul, maka pihak Belanda menghantar dan memulaukan Haji Rasul dari tempat asalnya.
Pada zaman jajahan Jepun juga begitu, Haji Rasul tidak pernah takut untuk berdiri di atas kebenaran walaupun nyawanya mungkin di dalam bahaya. Hal yang penting baginya adalah kalimah tauhid itu perlu disebarkan dan berada di atas segala urusan di dunia ini.
Saya sendiri berani untuk mengatakan bahawa, jika kita benar – benar menghayati kedua – dua kisah Haji Rasul dan Hamka; Haji Rasul itu lebih hebat dari Hamka. Kerana cubaan, tribulasi dan mehnah Haji Rasul itu lebih hebat dan dahsyat daripada apa yang dialami oleh Hamka. Tidak heranlah mengapa Hamka itu merupakan tokoh yang hebat, kerana kebanyakan ciri – ciri diri Hamka diambil dari ayahnya sendiri. Selaras dengan peribahasa, “bapa borek, anak rintik.”
Disediakan oleh,
Hazmi Irsyad
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, bukan kenyataan rasmi Jejak Tarbiah