Sempena menghayati kemerdekaan ini, ingin saya kongsikan beberapa definisi kemerdekaan yang perlu benar-benar difahami dan dihayati seluruh umat Islam. 

Kita tersedia bebas sejak diisytiharkan kemerdekaan sejak 64 tahun yang lalu dari sudut penjajahan fizikalnya, namun secara pemikiran dan sistem, kita masih terkesan dengan sisa-sisa penjajahan.

Pada bulan Ogos yang lalu, kita turut menyambut tahun baharu Islam, iaitu peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W. dan umat Islam ke Madinah menjadi satu penghayatan utama sempena ditandai peristiwa tersebut sebagai tarikh bermulanya sistem kalendar Hijrah.

Hijrah Satu Deklarasi Kemerdekaan Jiwa

STUDI ISLAM - HAMKA | JT Books
Klik gambar untuk beli buku ini!

Menarik untuk saya kongsikan tulisan HAMKA dalam bukunya, Studi Islam berkenaan Hijrah sebagai deklarasi kemerdekaan jiwa. Di mana peristiwa Hijrah menjadi saksi bahawa para sahabat Nabi S.A.W. dan kaum Muhajirin meninggalkan segala harta, keluarga dan pangkat di Mekah dan berpindah ke Yathrib (Madinah), sebuah tempat baharu demi menyelamatkan iman dan memperkukuh pengaruh Islam di sana. 

Namun, dalam ramai-ramai yang berhijrah, terdapat beberapa orang yang mempunyai kepentingan tersendiri untuk ke sana, antaranya untuk mengahwini perempuan-perempuan di Madinah. 

Dari isu yang timbul inilah Rasulullah S.A.W. menekankan soal pentingnya niat dalam melaksanakan suatu tuntutan daripada Tuhan dengan sabdanya “Setiap amalan bergantung kepada niat…”. Sekaligus ia mendefinisikan erti kemerdekaan yang bagaimana yang sepatutnya umat Islam perlu sedari.

HAMKA berkata:

“Hijrah menjadi satu deklarasi tentang tujuan Islam yang sebenar, yakni kemerdekaan jiwa dari pengaruh sekalian benda dan material, serta meletakkan pengharapan semata-mata kepada Allah dan redhaNya.”

Begitulah erti kemerdekaan jiwa yang perlu difahami oleh orang beriman.

Kisah Syuhaib R.A.

Seterusnya, disebutkan oleh HAMKA akan kisah seorang sahabat Nabi S.A.W. bernama Syuhaib r.a. yang merupakan salah seorang kaum Muhajirin yang berhijrah.

Syuhaib asalnya merupakan seorang yang berbangsa Rom, dan bukannya penduduk asal Mekah. Namun setelah menetap lama di sana dan maju dalam perusahaannya, Syuhaib telah menjadi seorang yang kaya di Mekah.

Apabila Syuhaib memutuskan untuk berhijrah, beberapa orang Musyrikin Quraisy datang merungut kepada Syuhaib kerana dia bukanlah penduduk asal Mekah. Setelah menetap di Mekah dan menjadi seorang yang kaya. Lantas, Syuhaib mahu meninggalkan Mekah pula. Maka Syuhaib menawarkan semua harta miliknya untuk mereka supaya mereka berhenti merungut. 

Jawapan Syuhaib terhadap rungutan Musyrikin Quraisy:

“Semua harta bendaku, aku tinggalkan dan aku akan keluar dari negeri ini menuju Allah dan Rasul.”

Begitulah bebasnya jiwa seorang Mukmin daripada belenggu material. Inilah deklarasi kemerdekaan jiwa yang sebenar. 

Belenggu Materialisme Sebagai Kemelut Akhir Zaman

Realiti umat Islam zaman kini masih terjajah pemikirannya. Kita mengalami sistem hidup yang berkonsepkan materialistik dari Barat dan kesan-kesannya dapat dilihat dalam cara hidup masyarakat kini lebih-lebih lagi di media sosial.

Terdapat tiga fitnah dunia yang menjadi kemelut akhir zaman iaitu:

1. Harta

2. Wanita

3. Kekuasaan

Terlalu banyak ayat al-Quran dan hadith Nabi yang mengingatkan berkenaan ketiga-tiga fitnah ini. Selagi umat Islam masih dibelenggu dengan fitnah tersebut, kita masih belum mencapai erti kemerdekaan jiwa seorang mukmin yang sebenar.

Dunia Sebagai Hiasan yang Menguji

“Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Kahfi: 7)

Allah mengingatkan manusia tentang apa yang dikejar di dunia adalah sebagai ujian yang bersifat sementara.

“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh)” (Surah al-Takathur: 1)

Allah S.W.T juga mengingatkan bahawa manusia sememangnya akan dilalaikan dengan ujian dunia tersebut.

Jiwa yang Bebas dari Menjadi Hamba Manusia dan Hamba Dunia

Sesungguhnya, di peringkat mana pun kita, menjaga jiwa & pemikiran supaya tidak berkiblatkan dunia dan manusia menjadi satu kemestian untuk menjamin keselamatan dunia dan akhirat. Orang Mukmin yang sebenar adalah tidak tunduk kepada kepentingan-kepentingan selain Islam, bahkan merdeka jiwanya daripada dipengaruhi pemikiran yang merosakkan. Begitulah rahsia kekuatan sebenar umat Islam yang meyakini dunia hanyalah sementara, maka diambil sekadarnya serta akhirat tempat kita kembali.

Sesungguhnya, konsep akidah Islam ialah memerdekakan manusia dari kemelut tersebut, yang tak mampu disaingi oleh mana-mana ideologi ciptaan manusia.

Akhir sekali, marilah menghayati kata-kata sahabat Nabi S.A.W. iaitu Rib’i bin Amir di hadapan panglima Parsi, Rustum:

“Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dari perhambaan terhadap sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Maka Dia membangkitkan kami dengan agama-Nya untuk kami seru mereka kepadanya…”

Dengan iman, jiwa dibebaskan dari belenggu nafsu. Dengan Islam, punca kekuatan dan membentuk cara berfikir yang rasional dan berwawasan.

Disediakan oleh,

Aina Shahirah

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.