Buya Hamka pernah berkata:
“Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat.”
Bagaimana sudut pandang kita berkenaan cinta? Adakah definisi cinta itu sudah diracuni oleh budaya barat? Apabila ada adegan bercinta sahaja mesti berpelukan , bercumbuan ataupun pelbagai perkara yang menuju kepada maksiat. Adakah itu maksud cinta?
Sebagai muslim, al Quran dan as-Sunnah adalah tempat rujukan kita dalam kehidupan seharian. Begitu juga cinta, terdapat beberapa hadis dan kisah yang menyentuh perihal cinta itu sendiri.
- Islam sebenarnya adalah agama cinta.
Cinta dan Islam itu tidak akan berpisah. Kerana agama Islam itu adalah agama cinta dan damai.
Dari Abu Hurairah ra. berkata: Rasulullah saw. bersabda:
“Demi Dzat yang jiwaku ada di dalam genggaman-Nya, kalian tidak dapat masuk surga hingga kalian beriman, dan kalian belum disebut beriman hingga kalian saling mencintai. Maukah aku tunjukkan kepada kalian tentang sesuatu yang jika kalian lakukan, kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian.”[Hadis riwayat Muslim]
Dari Anas ra. dari Nabi Muhammad SAW yang bersabda:
“Tidak sempurna keimanan seorang dari kalian, hingga ia mencintai untuk saudaranya sebagaimana ia mencintai untuk dirinya sendiri”[Hadis riwayat Bukhari]
Apabila dihayati kedua-dua hadis di atas, kita akan dapati bahawa Islam sangat menekankan tentang cinta dalam diri setiap muslim. Fahami bahawa cinta itu adalah semua perkara yang membawa kepada kebaikan. Cinta itu membawa kita lebih dekat kepada Allah. Jika cinta itu membawa kita semakin jauh daripada Allah, bermakna ia bukanlah cinta yang dimaksudkan dalam agama Islam.
- Cinta itu adalah rezeki
Rezeki datang dalam pelbagai bentuk dan kaedah. Cinta itu juga boleh dikatakan salah satu bentuk rezeki yang dianugerahkan Allah kepada hamba–hambaNya.
Nabi S.A.W pernah menyebut tentang isterinya Khadijah yang ketika itu sudah pun meninggal:
“Sesungguhnya aku direzekikan cinta” [Hadis Riwayat Muslim]
Hadis ini menunjukkan bahawa cinta itu amat tinggi nilainya. Mencintai itu adalah anugerah yang besar. Fitrah manusia mencintai dan dicintai. Apabila seseorang itu tidak penah merasai cinta, maka ia akan menghadapi kesukaran untuk hidup. Oleh itu, cinta itu menguatkan bukan melemahkan.
Akhir kata, kembalikan definisi cinta itu berpandukan agama. Rujuk kembali maksud cinta yang dipegangi oleh Rasulullah kerana kita akan dapati bahawa cinta itu terlalu suci dan salah satu kunci kekuatan dalam menempuhi kehidupan. Seperti pesan Buya Hamka:
“Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sedu sedan. Tetapi cinta menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak dan duri penghidupan.”
Disediakan oleh,
Hazmi Irsyad