Segala puji bagi Allah azza wa-jalla, Rabb semesta alam. Selawat dan salam kepada Nabi akhir zaman, kepada keluarga, para sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik hingga akhir zaman.
Pelbagai cara seseorang itu akan mencurahkan usahanya untuk membuktikan rasa cinta dan rindunya kepada seseorang yang dikasihi. Berbicara soal rindu dan kasih merupakan perbicaraan yang menyiram gersang dalam jiwa dan dihati. Tetapi rindu yang datang daripada cinta yang hakiki, bukanlah datang daripada perasaan yang buta-buta dan tidak terisi. Kita harus mengetahuinya dan mengenalinya sungguh-sungguh, jika benar kata kita cinta dan kasih dengan sepenuhnya.
Begitu juga kecintaan kita kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam. Setiap orang punya berbagai cara untuk membuktikannya. Namun tidak semua cara tersebut benar, ada juga cara-cara yang keliru dan tidak tepat. Itulah yang akan diangkat dalam penulisan kali ini. Semoga Allah memudahkan dan memberikan kefahaman.
Kewajipan Mencintai Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam
Allah Ta’aala berfirman,
قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (Surah At-Taubah; 24)
Ibnu Katsir rahimahullah mengatakan, “Jika semua hal-hal tadi lebih dicintai daripada Allah dan Rasul-Nya, serta berjihad di jalan Allah, maka tunggulah musibah dan malapetaka yang akan menimpa kalian.” (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, Ibnu Katsir, 7/164, Muassasah Al Qurthubah).
Ancaman keras inilah yang menunjukkan bahawa mencintai Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam daripada makhluk lainnya adalah wajib. Bahkan tidak boleh seseorang mencintai dirinya hingga melebihi kecintaan kepada nabinya.
Semakin sempurna orang yang dicintai, maka di situlah tempat tumbuhnya kecintaan. Sedangkan Rasulullah sallallahu ’alaihi wasallam adalah manusia yang paling luar biasa dan sempurna dari segi akhlak, keperibadian, sifat dan zatnya. Di antara sifat baginda adalah begitu perhatian, lembut dan kasih kepada umatnya. Baginda memiliki sifat yang paling baik yang pernah disematkan kepada manusia, dan baginda yang telah menyampaikan risalah daripada Allah dengan sempurna dan meninggalkan sinar terang bagi umat setelahnya.
Bukti Cinta kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam
Diantara bukti cinta kita kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam adalah dengan menyebarkan sunnah (ajaran) baginda. Oleh kerana itu, konsekuensi daripada hal ini adalah dengan mematikan bidaah, kesesatan dan berbagai ajaran yang menyimpang. Kerana sesungguhnya melakukan bidaah (ajaran yang tanpa tuntunan) dalam agama bukanlah kecintaan yang sebenarnya, walaupun mereka menyebutnya sebagai cinta dan kasih. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,
مَنْ أَحْدَثَ فِى أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ
“Barangsiapa membuat suatu perkara baru dalam agama kami ini yang tidak ada asalnya, maka perkara tersebut tertolak.” (HR. Bukhari no. 20 dan Muslim no. 1718)
Kecintaan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang sebenarnya adalah dengan mengikut ajaran baginda, mengikuti sunnah yang telah digariskan, melaksanakan perintah dan menjauhi larangan serta bersemangat tidak melakukan penambahan dan pengurangan dalam ajaran Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
Mengagungkan sunnah-sunnah baginda merupakan perkara penting yang diperintahkan Allah sebagai tanda mentaati serta mencintai Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Keberkatan, keselamatan dan kebahagiaan akan dirasakan seorang mukmin ketika ia bersemangat mengamalkan sunnah-sunnah yang mulai ditinggalkan kaum muslimin di zaman ini.
Orang yang bersemangat meniru rasul-Nya dalam hal akhlak, adab, gaya hidup dan perkara-perkara yang pernah dipraktikkan Rasul semakin asing di tengah maraknya berbagai model dan gaya hidup yang jauh dari petunjuk Islam.
Meskipun demikian, kita patut bersyukur pada Allah Ta`ala di era yang mula tumbuh kesedaran daripada sebahagian kaum muslimin untuk mengamalkan sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai aplikasi ketaatan kepada perintah-Nya.
Dan kita akan kembali kepada episod dimana para sahabat dan salafus as-salih sangat giat melakukan perbuatan-perbuatan yang pernah dilakukan Rasulullah sallallaahu `alaihi wa sallam, meski mereka terkadang tidak tahu apa maksudnya. Dalam benak mereka hanyalah mengikuti jejak-jejak langkah baginda sebagai ittiba’ dengan jalannya.
Demikianlah praktik kehidupan orang-orang salih yang selalu dihiasi dengan cahaya sunnah. Hari-harinya senantiasa diisi dengan amalan yang pernah dilakukan Rasulullah sallallaahu `alaihi wa sallam. Kedekatan hati dan kekuatan imanlah yang mendorong dan memotivasinya untuk selalu melakukan amalan terbaik meski sepintas perbuatan itu seolah ringan, biasa dan semakin langka.
Apa ertinya sebuah sumur yang jernih tetapi kita hanya melihat sahaja tanpa meneguk airnya untuk menghilangkan dahaga? Tidak ada ujian dan cabaran dalam hidup ini yang tidak dapat kita teladani daripada sunnahnya. Pasti ada sesuatu sinar yang menyuluh jalan untuk keluar dari gelita. Hanya keegoan yang perlu ditundukkan untuk melihat cahaya, cahaya dari cahaya atas cahaya, perlu hati yang jernih untuk memantulkannya dengan lurus dan saksama. Kecintaan kepada Rasulullah sallallaahu `alaihi wa sallam yang bersemi dalam diri akan berputik semangat hidup luar biasa, yang wangiannya dinikmati oleh seluruh manusia.
Disediakan oleh:
Nur Najihah Binti Ayob