Paulo Coelho adalah seorang penulis yang berasal dari Brazil. Karyanya, The Alchemist yang asalnya ditulis dalam bahasa Portugal, telah diterjemahkan kepada 74 bahasa dunia dan dicetak di 168 buah negara.
Helaian demi helaian dibelek, saya memahami bahawa buku ini disukai ramai kerana mempunyai kelainan tersendiri. Paulo banyak menyentuh peri pentingnya menggapai cita-cita dan tidak membiarkannya terkubur begitu sahaja.
Pada permulaan buku ini, beliau menggariskan empat sebab yang menghalang manusia maju dalam kehidupan mereka, iaitu:
- Persekitaran yang tidak menyokong.
- Cinta. Kita mengorbankan cita-cita demi orang tercinta. Walhal cinta yang tulus sepatutnya menjadi pendorong kepada diri untuk terus melangkah maju.
- Ketakutan untuk menghadapi kegagalan.
- Terus mengalah dan lupa akan pengorbanan yang dilakukan sebelum ini.
Watak utama dalam buku ini adalah Santiago, seorang budak lelaki pengembala kambing yang berasal dari Sepanyol. Santiago pergi bertemu ahli nujum untuk menafsirkan mimpinya. Ahli nujum itu memberitahu bahawa terdapat sebuah harta karun yang tertanam di bawah Piramid di Mesir.
Atas nasihat seorang raja tua yang baru dikenalinya, Santiago menjual semua kambingnya dan mulakan perjalanan ke bumi Mesir untuk mencari harta karun tersebut. Sewaktu Santiago singgah di sebuah kampung , dia telah bertemu dengan seorang alkemis yang mengetahui rahsia-rahsia alam. Di sini pengembaraannya bermula.
Paulo memberi gambaran alkemis itu seperti seorang guru kepada budak lelaki itu. Ketika ditanya tentang dunia, beliau menjawab kepada budak lelaki itu bahawa :
“Seseorang yang bijak akan menyedari bahawa dunia ini hanyalah gambaran daripada syurga sebenar. Kewujudan dunia ini juga membuktikan bahawa adanya syurga yang lebih indah dan sempurna daripada dunia ini sendiri. Dia -Yang Maha Berkuasa- telah menciptakan dunia ini dengan pelbagai unsur alam supaya manusia boleh memahami ajaranNya apabila mereka meneliti unsur-unsur ini..”
Minda saya terus teringat akan ayat-ayat Allah yang terkandung di dalam al-Qur’an al-Karim. Bukankah Allah s.w.t juga menyuruh hambaNya untuk melihat setiap ciptaanNya di dunia dan berfikir tentang kekuasaanNya? FirmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 164:
“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, pergantian malam dan siang, kapal yang berlayar di laut dengan (muatan) yang bermanfaat bagi manusia, apa yang diturunkan Allah dari langit berupa air, lalu dengan itu dihidupkan-Nya bumi setelah mati (kering), dan Dia tebarkan di dalamnya bermacam-macam binatang, dan perkisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, (semua itu) sungguh, merupakan tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang mengerti.”
Seterusnya, alkemis tersebut memberikan nasihat kepada budak lelaki itu tentang ‘kunci utama’ yang mengawal manusia iaitu hati. Katanya,
“Ikutilah kata hatimu. Hatimu mempunyai kaitan dengan si Pemilik Dunia. Hati mu datang daripadaNya, dan akhirnya akan kembali kepadaNya jua.”
Apabila saya membaca ayat ini, saya terus teringat akan pesan Nabi Muhammad s.a.w tentang hati. Tegasnya, Nabi Muhammad s.a.w telah mendahului semua insan dalam urusan hati. Sabda baginda di dalam sebuah hadis:
“Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” [Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)]
Allah s.w.t juga telah menerangkan tentang keadaan jiwa yang kembali kepadaNya dalam keadaan tenang. FirmanNya dalam surah al-Anfal, ayat 27 dan 28:
“Wahai jiwa yang tenang! () Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang ridha dan diridhai-Nya.”
Belum terhenti setakat itu, Paulo Coelho seolah-olah ingin mengkhabarkan kepada pembacanya tentang pilihan-pilihan di dunia. Katanya -melalui watak alkemis:
“…Dunia ini mempunyi dua penghujung sahaja, sama ada menjadi elok atau semakin teruk. Hal ini semua bergantung kepada manusia. Apabila manusia itu baik, dunia ini akan menjadi lebih baik dan begitulah sebaliknya..”
Di dalam al-Qur’an di dalam surah ar-Rad ayat 11, Allah s.w.t telah memberi jaminan kepada manusia bahawa Dia berupaya mengubah takdir kita apabila kita sendiri yang berusaha untuk mengubah diri kita.
Setiap kali saya berhenti membaca buku ini, saya berfikir adakah Paulo seorang Muslim?
Hal ini kerana penceritaan ini banyak menggambarkan budaya bangsa Arab sebagai latar belakangnya. Contohnya, pengembaraan mereka merentasi padang pasir yang luas, perkampungan yang dikelilingi kebun kurma di tengah-tengah padang pasir, peperangan antara kabilah, dan orang-orang Islam yang patuh dengan ajaran Islam.
Apabila saya mencari maklumat mengenainya, saya mengetahui bahawa dia seorang Kristian Katolik yang berpegang teguh dengan ajaran agama. Bahkan, Santiago sebenarnya merupakan figura penting dalam kitab The New Testaments dan mungkin Paulo terinspirasi dengan nama tersebut.
Buku ini sesuai dibaca untuk golongan dewasa kerana banyak menggunakan bahasa kiasan dan istilah yang aneh. Pembaca mungkin perlu memerah fikiran mereka ketika membaca karya ini kerana ada kejadian yang diceritakan di sini tidak berlaku di dalam dunia realiti.
Saya juga yakin bahawa pembaca yang bijak akan dapat mencari titik persamaan antara mesej beliau dengan ajaran—ajaran tauhid dalam Islam. Namun berhati-hatilah, kita hanya boleh mengambil faedah daripada pembacaan buku ini tetapi tidak perlu mengaguminya secara berlebihan. Saya sangat mengesyorkan buku ini kepada teman-teman yang sukakan buku-buku yang membuka minda mereka.
Disediakan oleh,
Nik Nur Humaira’