Pernah aku terfikir akan justifikasi bahagia itu apa. Sepanjang perjalanan menunggang motosikal jenama SYM Bonus dari Sungai Petani menuju ke UUM Sintok, seringkali juga minda aku melayang ke tempat lain. Pernah sekali itu, aku nyaris ditimpa kemalangan di atas lebuhraya. Mujur juga motosikal aku itu tidak mampu memecut laju, maka sempat juga aku berhenti sebelum berlanggar dengan lori yang terpaksa berhenti di tepi lebuhraya kerana terdapat kerosakan pada enjinnya itu. Ternyata ada juga hikmahnya.
Perjalanan yang agak jauh itu mengambil masa dua jam lebih juga, membawa erti bahawa aku perlu keluar dari rumah pada pukul 6.30 pagi, ketika mana mentari masih lagi belum memancarkan sinarnya. Perjalanan penuh dengan keghairahan yang tersendiri, bukankah begitu?
Sepanjang perjalanan aku menuju ke tempat kerja, rasanya dua kali juga motosikal aku mati di tengah perjalanan kerana minyak motor sudah habis. Ya, walaupun kerap juga berulang alik, kadang-kadang aku masih belum dapat meneka dengan baik kadar minyak yang perlu digunakan. Atau ada juga waktu yang aku malas untuk keluar dari lebuhraya dan masuk ke pekan Jitra semata-mata untuk mengisi minyak. Begitulah, malas kita akan ada akibat yang perlu ditanggung, bukan?
Namun sepanjang dua kali motosikal aku kehabisan minyak, aku tidak perlu untuk menolak jauh ke stesen minyak terdekat kerana pasti akan ada penunggang motosikal yang akan membantu aku. Syukur juga rasanya aku pada waktu itu.
Seingat aku, pada saat-saat berita keluar mengatakan aku perlu ke Changloon untuk bertugas di sana, aku agak kecewa, frust juga. Mak waktu itu, memujuk aku mengatakan bahawa ada hikmah. Ya, ada hikmah dan rasa hikmah itu dua benda yang berbeza waktu datangnya.
Aku masih tertanya-tanya apa itu bahagia. Ya, aku tidak lupa akan ayat aku yang pertama dalam karangan ini tadi. Aku pun tiada niat untuk menjadi penceramah yang seringkali terbabas dari tajuk ceramah. Bahagia yang benar-benar subjektif ini seringkali aku lihat ketika bersendirian di C-Mart Changloon, melihat betapa seronok, riangnya kanak-kanak bermain di tempat permainan kanak-kanak yang terletak di depan kaunter pasaraya. Bahagia juga dapat aku lihat di Restoran Yasmeen Nasi Kandar, melihat seorang lelaki yang makan nasi kandar di situ dengan penuh berselera sekali, tanpa menghiraukan hiruk pikuk di luar kedai.
Persoalan yang sama juga tetap aku fikirkan apabila dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Kedah bersama Nisa. Ketika Nisa sedang nyenyak tidur di sebelah, aku dan fikiran aku akan melayang bersama. Pernah juga aku berfikir, apakah Pia itu sedih dan tidak merasa bahagia langsung sepanjang kehidupannya? Dan di akhir telefilem Deritanya Pia, Pia meninggal dunia dan memberi bahagia kepada Zhafran dan Qis, apakah tuhan itu memilih siapa yang perlu bahagia atau tidak?
Bahagia itu kekal subjektif. Apa yang membuat kita bahagia, belum tentu mampu membahagiakan orang lain. Kebahagiaan yang dirasakan oleh budak-budak yang bermain di taman permainan tidak akan mampu difahami dan dinikmati oleh orang dewasa. Aku masih rasa Pia tidaklah sederita dari apa yang kita lihat. Mungkin empati kita akan merasakan bahawa Pia tidak merasai langsung kebahagiaan di dalam hidupnya, kerana empati kita itu didasari oleh keadaan diri sendiri yang merasakan bahawa aku bahagia kerana aku ada apa yang aku ada sekarang. Maka Pia tidak bahagia, kerana dia tiada apa yang aku ada sekarang.
Setiap manusia tidak akan pernah sama rasa keinginan, rasa kehendak dalam dunia. Mungkin sebab itu, aku sering mengulang bahagia itu tidak akan pernah sama antara manusia. Perasaan bahawa kebahagiaan itu suatu yang collective, perlu sama antara sesama manusia menurut Carl Jung dalam buku The Undiscovered Self merupakan antara barah yang perlu disangkal oleh setiap manusia. Jung yang menulis tentang collective mind masses di dalam buku nipis tersebut berusaha untuk menerangkan keburukan yang akan terjadi jika manusia itu hilang identitinya sendiri kerana terlalu cuba untuk mengikut kehendak crowd, atau masyarakat.
Tekanan masyarakat tidak dinafikan sering memberi ketakutan kepada kita selaku manusia. Tanggapan masyarakat sekeliling dalam melihat diri kita sendiri akan memberi kesan kepada cara kita mencuba untuk menikmati kehidupan di dunia ini. Tanggapan-tanggapan yang seakan bunyi bunyian kosong pada awalnya kemudian akan menjadi bait-bait ayat yang akan mula kekal dalam minda kita. Ketakutan akhirnya akan bertindak keluar mengambil alih fungsi minda kita ketika itu lalu kita akan mula untuk mengikut sahaja apa saranan-saranan yang dikatakan oleh masyarakat dalam menjalani kehidupan.
Begitu hakikat yang cuba untuk diperjuangkan oleh Jung. Dalam buku tersebut, Jung yang penuh dengan penyesalan dan kekecewaan, melihat manusia yang semakin hilang identiti diri kerana terlalu cuba untuk mengikut sepenuhnya apa yang ada dalam masyarakat tanpa cuba untuk mengenal diri sendiri terlebih dahulu.
Begitu juga dengan apa yang kita rasa pada erti bahagia. Collective mind masses yang mendorong pemikiran kita untuk merasakan bahagia itu perlu sama pada semua orang, akan memudahkan setiap dari kita untuk melihat setiap manusia itu tidak bahagia jika dia tidak mempunyai apa yang kita ada dan nikmati dalam dunia ini. Pia dalam telefilem Derita Pia itu akan dilihat sebagai seorang wanita yang tidak sempat menikmati bahagia di dalam kehidupannya.
Lalu bagaimana untuk kita cuba menilai bahagia itu? Mungkin bahagia itu tidak perlu dinilai,apatah lagi dibanding-bandingkan dengan yang lain. Cukup dengan cuba menikmati apa yang ada pada sekeliling kita, itu juga bahagia. Ya, syukur itu bahagia. Agak cliché bukan?
Manusia tidak akan merasa bahagia selagi tidak cuba untuk mengenal diri sendiri, dengan cara mengenal tuhannya. Begitu tulisan Al-Ghazali di dalam bukunya The Alchemy of Happiness. Menurut Al-Ghazali, yang membuatkan manusia itu mampu untuk merasakan kenikmatan bahagia itu ialah apabila manusia itu sendiri sudah mula mengenal apa tujuan kehidupannya di dunia ini serta permulaan perjalanan kehidupannya untuk mengenal tuhan, iaitu Allah yang satu.
Al-Ghazali dengan idea tentang bahagianya berjaya membuatkan aku tidak mengantuk sepanjang lima jam perjalanan di atas jalan raya. Fikiran yang masih melayang tentang makna apa itu bahagia membuatkan aku juga turut cuba untuk bertanya pada diri sendiri. Apakah aku sedang bahagia sekarang?
Aku toleh ke kiri, di sebelah tempat duduk penumpang. Nisa masih lagi tidur dengan tenang. Sesekali perutnya yang besar bergerak-gerak menampakkan tapak kaki yang kecil dari dalam.Mungkin si dia pun turut sama ingin berbicara denganku tentang apa itu bahagia. Atau mungkin juga si kecil yang masih di dalam rahim itu memahami resah seorang bakal ayah yang tidak lama lagi akan menimang cahaya mata.
Aku kembali memberi fokus kepada perjalanan yang berbaki satu jam sahaja lagi. Suasana di lebuhraya masih tetap sunyi namun tidak pernah menghalang tumpuan dalam pemanduan. Ya, aku seorang yang sangat menikmati indahnya sunyi. Sunyi pada waktu malam, walau tidak mampu melihat sesuatu, tetap terasa indah sebuah dunia ciptaan tuhan. Tuhan yang juga menciptakan waktu malam, dan tidak hanya waktu siang.
Disediakan oleh: Mohd Rashidi Bin Radzali