Saya pernah mengalami satu fasa berkeluh-kesah ketika saya masih dalam status pelajar di institusi pengajian tinggi awam. Ketika itu saya asyik berfikir tentang masa depan dari segi pekerjaan apa yang boleh saya dapat, bagaimana untuk berjaya melepasi temuduga kerja, adakah saya punyai kelayakan yang cukup, dan sudikah majikan di luar sana untuk menerima saya.
Ketika itu ayah saya masih lagi hidup dan apabila saya kelihatan merungut sewaktu bersamanya, beliau seringkali membacakan potongan ayat al-Qur’an untuk membetulkan perspektif saya yang asyik risau tetapi kurang berusaha. Hasil daripada perbuatan ayah saya yang selalu ‘reassure’ (meyakinkan) diri saya membuatkan saya semangat untuk mencari tips dan panduan sebagai graduan mencari pekerjaan. Sempat juga saya beli buku bertajuk “Jom Cari Kerja!” terbitan Telaga Biru serta mencari di dalam internet berkenaan peluang memasuki mana-mana syarikat.
Secara kebetulan, ketika mengambil subjek Strategic Management for Public Sector, kami diberi tugasan untuk membentangkan isu di Malaysia yang sedang dijalankan pelan oleh kerajaan untuk menyelesaikannya. Saya pun memilih isu pengangguran graduan yang sukar mendapat kerja dan langkah kerajaan mewujudkan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) ketika itu kerana isu itu dekat dengan hati.
Kami sempat menemuramah pegawai tinggi di Unit Pembangungan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menyelia operasi keseluruhan SL1M sambil dijamu nasi lemak dan sempat menunaikan solat Jumaat di Masjid Putrajaya kemudian sambung kembali sesi temuramah tersebut. Sekembalinya daripada berjumpa dengan pegawai tersebut, menjadikan semangat saya bertambah lagi untuk menyiapkan diri sebelum tamat belajar supaya terus dapat pekerjaan.
Apa yang berlaku selepas itu, sebaik sahaja tamat belajar saya terus sahaja menyertai sukarelawan dalam masa sama mendapat peluang latihan untuk graduan baru di bank tempatan. Mungkin berkat daripada mengubah pemikiran dan berusaha menyediakan diri.
Beza Ketetapan Rezeki Supaya Kita Berusaha
Rutin saya apabila sedang beriadah larian, saya gemar untuk mendengar kata-kata motivasi atau slanga modennya ialah ‘podcast’ di Youtube. Perkara yang ingin saya kongsikan di sini ialah ucapan pelakon utama American Gangster dan Malcolm X, Denzel Washington, sewaktu majlis konvokesyen tahun 2015 di Dillard University.
Dalam ucapan beliau, perkara yang menarik perhatian saya ialah apabila beliau berkata “Just because you’re doing a lot more, doesn’t mean you getting a lot more done. Don’t confuse movement with progress”. Apa yang saya faham ialah usah kita melakukan sesuatu tanpa ada perancangan yang rapi kerana itu akan membawa kepada pembaziran masa tanpa hasil yang baik. Kita boleh bergerak tetapi tidak semestinya kita maju ke hadapan. Berapa ramai orang yang hidup dalam kancah ‘rat race’, tanpa ada kemajuan dalam hidupnya.
Rezeki ada dua jenis, iaitu rezeki yang memang telah ditentukan oleh Allah terhadap kita tanpa kita dapat mengubahnya dan lagi satu ialah rezeki yang Allah tetapkan kepada kita jika kita berusaha mencarinya, Ini menurut pendapat mantan Mufti Wilayah Persekutuan, apabila beliau menulis tentang rezeki yang bertajuk Irsyad Fatwa Ke-203: Adakah Allah Sekat Rezeki Saya.
Rezeki jenis pertama contohnya apabila kita lahir dalam keluarga yang kaya raya sehinggakan kita tidak perlu atau kurang berusaha untuk mendapatnya. Ini di dalam konteks wang dan harta benda. Dalam konteks rezeki pancaindera atau tubuh badan, seperti kebanyakan orang kita dikurniakan tanpa usaha pun. Kerana ada orang terpaksa berusaha untuk mendapat tubuh badan sihat dan ada orang lain pula mengalami kecacatan.
Rezeki jenis kedua contohnya ialah mendapat pekerjaan yang bagus dari segi gaji dan kemudahan oleh syarikat. Atau pun berjaya mengembangkan perniagaan sendiri sehingga dapat membuka cawangan baru di tempat lain.
وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّـهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ
“Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”
(Surah Hud 11: 6)
Kata kunci kepada ayat ini ialah ‘bergerak’. Dalam konteks rezeki ialah berusaha mendapatkannya. Kita tidak boleh duduk sahaja kemudian berharap duit masuk ke dalam akaun, kecuali jika kita ialah anak raja sepertimana saya jelaskan mengenai rezeki jenis pertama yang telah ditetapkan oleh Allah.
Bahkan kisah Maryam yang disebutkan dalam al-Qur’an juga menyuruh beliau menggegarkan pohon tamar supaya buahnya jatuh dan dapat diambil untuk santapan walaupun Allah boleh berikan makanan di hadapan matanya. Ini kan pula kita insan biasa, tidak ada keistimewaan jika kita tidak berusaha mencari rezeki.
Hari ini begitu banyak munculnya skim cepat kaya yang menjanjikan keuntungan tanpa ada usaha kemudian akhirnya hanyalah berlandaskan penipuan. Sebaik sahaja mereka menerima wang yang kononnya bertujuan untuk dilaburkan, terus sahaja jejak mereka hilang tanpa kesan.
Membetulkan Perspektif Terhadap Rezeki
Terdapat satu kisah mengenai ulama besar yang bernama Malik bin Dinar. Saya mendengar cerita ini daripada Dr Zaharuddin Abd Rahman ketika beliau menyampaikan ceramah bertajuk Kerana Rezeki Masuk Neraka. Disebutkan bahawa pada satu hari Malik bin Dinar pergi ke pasar dan berhajat untuk membeli buah tin. Beliau menawarkan kepada peniaga tersebut supaya dicagarkan sandalnya sebagai pertukaran kepada buah tersebut. Peniaga tersebut yang tidak mengenali beliau menolak cadangan Malik bin Dinar maka beliau pun berlalu pergi. Apabila Malik bin Dinar telah pergi, peniaga lain yang menyaksikan situasi tadi menegur peniaga buah tin tersebut bahawa orang itu ialah seorang ulama besar yang terkenal. Peniaga buah tin tersebut cepat-cepat menyuruh hambanya memberikan buah tin kepada Malik bin Dinar dan menjanjikan kepadanya jika diterima, hamba itu akan dibebaskan. Maka, hamba itu terus berlari dan berjaya mendapatkan ulama tersebut. Namun Malik bin Dinar enggan untuk menerima buah tin tersebut walaupun hamba tersebut akan dibebaskan jika dia mengambilnya. Ini kerana dia tidak mahu orang melayan dia disebabkan nama dan pengaruhnya sebagai ulama. Sejak dari itu, beliau berjanji tidak akan makan buah tin sehingga hari kiamat.
Berdasarkan kisah Malik bin Dinar ini, kita boleh mengambil pengajaran dalam memahami keberkatan rezeki dan rezeki yang baik. Kerana dalam satu hadis, Rasulullah pernah menegur seorang amil zakat yang mengambil lebihan wang untuk diri sendiri.
اسْتَعْمَلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم رَجُلاً مِنْ بَنِي أَسَدٍ يُقَالُ لَهُ ابْنُ الأُتَبِيَّةِ عَلَى صَدَقَةٍ فَلَمَّا قَدِمَ قَالَ هَذَا لَكُمْ وَهَذَا أُهْدِيَ لِي. فَقَامَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم عَلَى الْمِنْبَرِ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ ” مَا بَالُ الْعَامِلِ نَبْعَثُهُ، فَيَأْتِي يَقُولُ هَذَا لَكَ وَهَذَا لِي. فَهَلاَّ جَلَسَ فِي بَيْتِ أَبِيهِ وَأُمِّهِ فَيَنْظُرُ أَيُهْدَى لَهُ أَمْ لاَ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يَأْتِي بِشَىْءٍ إِلاَّ جَاءَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَحْمِلُهُ عَلَى رَقَبَتِهِ، إِنْ كَانَ بَعِيرًا لَهُ رُغَاءٌ، أَوْ بَقَرَةً لَهَا خُوَارٌ، أَوْ شَاةً تَيْعَرُ
Nabi SAW mengutus seorang lelaki dari Bani Asad yang bernama Ibnu Lutbiah sebagai pemungut zakat. Ketika kembali dari tugasnya, dia berkata: “Ini untuk kalian sebagai zakat dan ini pula bahagian untukku”. Maka Baginda pun berdiri di atas mimbar dan memuji Allah dan bersabda: “Cubalah dia duduk saja di rumah ayahnya atau ibunya, dan menunggu adakah akan ada yang memberikan kepadanya hadiah? Dan demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, tidak seorangpun yang mengambil sesuatu dari zakat ini (secara tidak sah), kecuali dia akan datang pada hari kiamat dengan dipikulkan di atas lehernya berupa unta yang berteriak, atau lembu yang mengeboh atau kambing yang mengembik”
(Riwayat Bukhari)
Peristiwa ini menjadi larangan kepada kita daripada menggunakan jawatan atau nama yang kita ada untuk kepentingan peribadi semata-mata. Ini kerana tanpa jawatan dan nama, sudah tentu tiada layanan istimewa daripada orang lain. Selain itu, perkara ini juga untuk mengelakkan berlakunya terdorongnya kita daripada terjerumus ke kancah rasuah mengambil kaedah dalam Islam iaitu, sadd adz-dzari’ah (سد الذريعة), menutup pintu ke arah kemungkaran.
Dalam dunia pekerjaan pasti ada yang pernah berhadapan dengan situasi begini. Orang tertentu akan melayan kita baik, ataupun beri kita hadiah kononnya untuk mengeratkan hubungan. Padahal apabila fikir secara logik, mereka tidak akan berbuat baik dengan kita jika kita tidak ada kuasa dan jawatan.
Bagi yang mengikuti perkembangan semasa, Seksyen 17A, Akta SPRM (2009) telah dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020 ini yang meletakkan liabiliti terhadap syarikat walaupun perbuatan rasuah dilakukan oleh pekerja bawahan. Hal ini untuk mengetatkan lagi penguatkuasaan oleh syarikat swasta dan dapat bersama mencegah perbuatan rasuah.
Rezeki bukanlah sekadar apa yang kita dapat tanpa melihat daripada puncanya. Ada orang yang berkata, “Alhamdulillah, rezeki” padahal menipu dalam borang tuntutan atau menjual produk haram. Hujah mereka ialah jika bukan rezeki, kenapa Allah beri pada mereka. Isu ini pernah dibahaskan oleh mantan Mufti Wilayah Persekutuan dalam penulisan laman web yang bertajuk Al-Kafi #1231: Maksud Rezeki Yang Baik dan Cara Mendapatkannya. Di dalam penulisan tersebut juga ada menyebut hadis tentang orang yang berdoa memohon bantuan dari Allah tetapi tidak dimakbulkan kerana makan daripada hasil yang haram.
Pandangan Alam Mengenai Simpanan Rezeki
Rasulullah ialah seorang yang dermawan. Apa sahaja yang baginda ada akan diinfakkan harta tersebut untuk kebaikan semata-mata. Dr Zaharuddin juga ada menceritakan hadis berkenaan Nabi membetulkan pandangan alam isterinya, Aisyah, terhadap rezeki. Diceritakan oleh Aisyah bahawa Rasulullah pernah menyembelih kambing dan diagihkan dagingnya kepada orang yang memerlukan. Setelah itu, Nabi bertanya Aisyah tentang baki daging kambing tersebut.
مَا بَقِيَ مِنها؟ قالت: مَا بَقِيَ مِنها إِلَّا كَتِفُهَا، قَالَ: بَقِي كُلُّهَا غَيرَ كَتِفِهَا
“Apakah masih berbaki kambing tadi wahai Aisyah? Aisyah menjawab: Tiada yang tinggal melainkan bahagian bahu sahaja. Lalu Rasulullah membetulkan kenyataan Aisyah: (bukan begitu Wahai Aisyah) kekal semuanya yang telah disumbangkan tadi (sebagai amalan) melainkan bahagian bahunya sahaja (yang tertinggal bukan sebagai amalan).”
(Riwayat Tirmizi)
Dalam hadis ini Rasulullah mengajar isterinya untuk melihat dari konteks akhirat. Bahagian bahu kambing yang masih berbaki itu masih tertinggal daripada menjadi amalan untuk hari akhirat. Jadi, perbuatan sedekah dan amalan baik sangat dianjurkan dalam Islam. Kita tidak boleh berkira-kira untuk bersedekah sekiranya kita mampu.
Perkara ini mengingatkan saya pada kejadian yang berlaku pada diri saya sendiri sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda. Ketika itu cuti semester akhir pengajian diploma. Saya berkeluh-kesah tentang bagaimana ingin sambung belajar kerana wang tidak mencukupi. Pada satu hari, saya niatkan dalam hati bersedekah ke dalam tabung masjid supaya Allah dapat menggandakan jumlahnya nanti.
Beberapa lama berlalu selepas itu saya mendapat bantuan daripada Perbadanan Islam Johor sejumlah wang tunai yang cukup untuk mendaftarkan diri melanjutkan pengajian. Sudah tentulah saya perlu berusaha juga kerana saya telah mencari-cari bantuan di dalam internet dan mendapatkan pengesahan daripada Ahli Parlimen di tempat saya untuk keperluan memproses borang.
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ، وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا، وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ للَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ
“Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta seseorang dan Allah akan menambahkan kemuliaan bagi orang yang memberi kemaafan. Begitu juga Allah akan mengangkat kedudukan seorang yang bersifat tawaduk.”
(Riwayat Muslim)
Kita dianjurkan oleh Allah untuk mencari rezeki di dunia ini. Terutamanya keadaan ekonomi umat Islam yang masih ketinggalan berdasarkan statistik. Hal ini boleh dirujuk dalam buku tulisan Muhammed Abdul Khalid bertajuk The Color of Inequality.
Namun, peringatan keras diberikan oleh Rasulullah supaya mencari rezeki yang baik sahaja. Apabila kita punyai rezeki lebih, secara logiknya kita boleh membantu mereka yang lebih memerlukan. Perbuatan ini juga menambahkan lagi pahala amalan kita. Elakkan sombong diri dan merasa riak terhadap rezeki yang Allah kurniakan pada kita.
Sesetengah orang menggunakan alasan ‘tak apalah, dia mampu’. Apabila berhadapan dengan situasi tersebut, kaedah berinteraksi dengannya pada saya ialah diam sahaja dan ambil perkara yang baik sahaja. Kerana kita tidak boleh mengetahui isi hati orang lain sama ada dia sombong atau tidak.
Disediakan oleh,
Muhammad Baha’uddin Hamizan
Hantar karya anda di emel [email protected].
Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!