Setiap kali aku berjumpa dengan rakan-rakan mahasiswa yang lain, selalu saja terbit satu persoalan di dalam kepala.
‘Apa peranan aku?’
Di saat teman-teman yang lain sudah tahu secebis gambaran masa depan mereka. Setiap kali mereka membuka kitab, mereka tahu ada gigi yang perlu dibaiki. Ada nombor yang perlu diimbang. Ada data yang perlu disusun. Ada rumah yang perlu dibina. Ada defendan yang perlu dibela. Ada umat yang perlu diislah. Produk-produk penyelesai masalah yang perlu didagang. Malah mungkin ada peranti yang tidak masuk akal yang bakal mereka cipta. Maka, aku ini peranannya apa?
Apa peranan anak sastera ini. Apa butuhnya anak seni dalam keramaian ini. Fungsi kami belum dibuktikan, halal haram kerja kami masih tak pasti. Keserabutan identiti, masih merempat mencari erti diri. Apa perlunya ilmu fitrah yang dibuku ini? Sedangkan sastera dan seni tidak terikat pada teks bersistem. Seni lahir daripada fitrah setiap manusia yang berfikir. Yang mengalami. Yang merasai.
Jadi, aku ini apa? Sumbangan apa yang aku boleh lakukan di medan ini. Mungkin sama seperti sangkaan mereka. Medan ini tidak lain adalah tempat mengadu nasib. Seperti medan bahasa untuk meluahkan setiap yang bersalahan. Meratap dan menyalakan. Memuja lalu menyesal. Tapi sesempit itukah sastera yang aku cintai ini? Bagaimana satera boleh membantu bangsaku? Agamaku? Memajukan watan ini dengan sastera dan seni? Sedangkan ramai dari anak bangsa ini sendiri berfikiran seperti mertuanya Kasim Selamat. Mungkin patut aku butakan saja mata, biar tak sempat melihat bidang seni ini dihina.
Sehinggalah murabbiku memberi definisi – sastera itu ertinya suci, bersih. Seperti bulu biri-biri yang memutih. Beliau mengingatkan kami kepada sastera arab jahiliyah yang dahulu dianggap sebahagian daripada jiwa masyarakat Arab ketika itu, memang dilihat sebagai luahan fitrah. Memuja-muja, meratap malang. Butir-butir indah itu memang wujud dalam diri manusia sejak sekian lama.
Sehinggalah turunnya Al-Quran, yang mencabar keindahan sastera Arab ketika itu. Saat mendengar dari susunan huruf dan kalimah. Sehinggalah ayat-ayat Al-Quran itu sendiri mematahkan rasa hebat dalam diri para penyair ketika itu. Menggoda jiwa untuk mendalami maksud di sebalik alif lam mim. Mencari penawar kepada kekosongan dalam memuja cinta yang tak ada, kepada cinta terhadap Dia yang menciptakan cinta. Yang melemahkan jiwa Al-Khatab. Yang membuka pintu Mekah dan membebaskan penghambaan sesama manusia dan mengembalikan jiwa-jiwa itu untuk mengenal kembali Allah yang esa. Al-Quran. Menjadi panduan utama dalam perkembangan sastera Arab setelah itu.
Temasya. Itu yang diberitahu oleh seorang akhawat semasa daurah kami di Bagan Lalang. Turunnya wahyu pertama ibarat satu temasya bagi umat manusia. Setelah sekian lama terputus hubungan wahyu. Akhirnya, bermula dengan satu perkataan; Iqra’ memulakan kembali perjalanan Jibril a.s dari langit ke bumi. Menyampaikan kalam Tuhan yang mengutuskan Nabi SAW bagi menjadi panduan manusia.
Kemudiannya dilanjutkan oleh Khulafa’ bani Umaiyah. Dari situ, munculnya sastera sufi di mana ahli tasawuf menjadikan sastera sebagai salah satu wadah bagi mendekatkan diri kepada Allah swt. Malah kisah Laila Majnun itu sendiri merupakan salah satu simbol cinta sufi. Berlawanan seperti yang sering diceritakan orang bahawa Qais, si majnun itu sekadar cinta angau terhadap Laila. Bahkan cinta seorang Qais bukanlah semata-mata terhadap gadis itu tetapi kepada Tuhan yang menciptakan keindahan Laila.
Seterusnya berlalu ke zaman Abasiyah. Di mana Islam menjadi ustaziyatul alam, iaitu rujukan kepada seluruh dunia. Dengan perkembangan ilmu dan pusat pengetahuan termasyhur, Baitul Hikmah. Sudah tentu, perkembangan ilmu seiring dengan perkembangan sastera yang menjadi ejen penyebar utama segala bentuk ilmu dan ideologi. Sastera memainkan peranan besar dalam membina tamadun agung ini. Penulisan karangan ilmu-ilmu sains dan teknologi masih menggunakan kaedah sastera arab ketika itu di mana kaedah-kaedah tersebut memudahkan penuntut ilmu untuk mengingat dan menghafal.
Seperti itulah sejarah menjawab persoalanku. Dan murabbiku telah menyimpulkan lipatan fakta ini dengan satu frasa mudah. ‘Sastera Berdimensi’. Itulah sastera yang ingin aku usahakan. Dalam setiap pelan tindakan sesuatu projek perlukan seni. Setiap hujah peguam yang membela perlukan sastera. Dalam pelaksanaan undang-undang, di situ ada sasteranya. Dalam pemasaran perniagaan, menggunakan sastera. Pembedahan yang amat sulit pun perlukan seninya. Ideologi-ideologi yang berkembang, perlukan sasteranya. Maka aku mengira, di situlah aku berperan. Bukan sekadar menghafal syair, atau melantun puisi. Kerana segala bentuk bidang yang membina dunia ini perlukan sasteranya tersendiri. Pelbagai bentuk kehidupan dengan segala macam visi, memerlukan bahasa dan seni sastera untuk manusia beradaptasi. Dari situ, sasteraku berdimensi.
Disediakan oleh: Syuhada Lukman