Bagi kebanyakan pemahaman masyarakat, maksud “Rasuah” dan “Hadiah” seringkali sukar dibezakan dan keadaan ini membuatkan kita gagal untuk mengenal pasti yang mana satu rasuah dan yang mana satu hadiah. Dalam hal ini, kebijaksanaan dan celik minda sangat penting agar kita tidak membiasakan diri kita terdidik dengan budaya rasuah. Dalam beberapa keadaan, tidak kurang ramai juga yang beranggapan memberi upah kepada anak-anak yang berjaya melakukan sesuatu perkara juga sebahagian daripada maksud rasuah.
Rasuah dan hadiah adalah dua perkataan yang membawa kepada dua maksud yang berbeza. Perbezaan antara rasuah dan hadiah ini sangat jauh ibarat langit dan bumi. Bagi memahami maksud rasuah dan hadiah, kita boleh lihat dalam kitab Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwitiyyah, nukilan dan terbitan oleh Kementerian Wakaf dan Urusan Keislaman Kuwait. Perkataan rasuah ditakrifkan sebagai apa yang diberikan dengan tujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan. Selain itu, Imam al-Mawardi telah merumuskan maksud rasuah adalah apa yang diberikan kerana menuntut sesuatu, hadiah pula apa yang disumbangkan tanpa sebarang alasan.
Berdasarkan pemahaman daripada pentakrifan tersebut, kesimpulan mudah yang menjadi garis pemutus membezakan antara rasuah dan hadiah adalah terletak dan bergantung kepada tujuan dan objektif sesuatu pemberian itu dihulurkan. Kerana kita dapat fahami secara tuntas, rasuah diberi dengan tujuan untuk dibalas dengan sesuatu keuntungan, sebaliknya hadiah pula diberikan dengan tujuan lain tanpa mengharapkan sebarang keuntungan. Untuk itu, adalah penting bagi kita memastikan apakah tujuan dan objektif sesuatu pemberian itu diberikan.
Meskipun begitu, hanya si pemberi sahaja yang boleh merungkaikan jawapan tentang tujuan dan objektif memberikan sesuatu pemberian tersebut. Sebagai orang yang bijak, sudah tentu kita tidak boleh mengambil mudah dengan menerima apa sahaja pemberian orang lain tanpa mengetahui tujuan sebenar pemberian tersebut dihulurkan. Sudah tentu niat si pemberi tersebut akan menentukan sama ada perkata tersebut dimaksudkan sebagai rasuah atau sebaliknya sekadar hadiah. Dalam soal ini, baginda Nabi SAW begitu tegas tentang menerima hadiah. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Apa jadi dengan pegawai yang kita utuskan, kemudian pulang dan berkata : ‘Ini bahagian kamu, ini bahagian aku. Silakan dia duduk di rumah ayah dan ibunya, lalu tunggu adakah akan diberikan hadiah kepadanya atau tidak?!’ Demi Allah, dia (pegawai berkenaan) tidak mengambil sesuatu melainkan pada hari kiamat nanti dia akan menanggung pemberian itu atas tengkoknya”.
Hadith ini secara tidak langsung mengingatkan kita semua terutama yang memegang tampuk kekuasaan agar tidak menerima sebarang pemberian yang mempunyai kaitan dengan kedudukannya. Jika sebaliknya, ada yang menerima pemberian tersebut dengan mengharapkan balasan dari kuasa yang kita sedang kita miliki, kenalilah itu adalah rasuah. Pemberian rasuah tidak sekadar berputar soal memberi wang ringgit, bahkan pemberian rasuah juga boleh muncul dalam pelbagai bentuk seperti harta, wanita dan perjanjian sebarang manfaat lain jika hasrat si pemberi dipenuhi.
Allah SWT telah mengingatkan kita umat manusia agar tidak memakan harta daripada sumber yang haram dan batil. Sepertimana yang terkandung dalam surah al-Baqarah ayat 188, Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“Dan janganlah kamu makan (mengambil) harta antara kamu dengan cara yang batil dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan cara dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.
Tanpa kita sedari, rasuah bukan sahaja mengakibatkan hilang integriti diri, bahkan sebaliknya, jauh lebih besar adalah rasuah boleh merosakkan dan memusnahkan negara. Agenda penindasan dan kezaliman hak orang lain terus berlaku, menjejaskan kestabilan ekonomi dan politik, sekaligus mampu melumpuhkan sistem bernegara. Apabila budaya memberi hadiah dengan mengharapkan balasan telah menjadi tradisi dalam berurusan, secara tidak langsung keadaan ini menekan mereka yang tidak berkemampuan memberi hadiah untuk berurusan dengan mereka.
Begitu juga apabila sesuatu pemberian yang dikatakan “hadiah” itu diberikan dengan tujuan mengelak daripada dikenakan hukuman, didenda dan sebagainya, keadaan ini akan melumpuhkan sistem perundangan di negara bermaruah kita ini. Sebab itu, baginda Nabi SAW sangat tegas dan menegah umatnya daripada terbabit dengan gejala rasuah ini. Dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Allah melaknat pemberi rasuah dan penerimanya”.
Menerima rasuah adalah bermaksud kita telah menjual kebenaran. Seolah-olah kebenaran itu boleh disembunyikan dengan pemberian rasuah melalui atas nama hadiah. Seperti yang dinukilkan oleh Ibnu Muflih dalam kitab al-Adab al-Syar’iyyah, Saiyidina Ali bin Abi Talib pernah berkata :
“Sesungguhnya binasalah manusia yang terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ia di beli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ia di tebus”.
Walau bagaimanapun, pemberian hadiah dengan tujuan tidak mengharapkan sebarang balasan atau ganjaran adalah sangat dituntut di dalam Islam. Memberi hadiah dengan tujuan yang baik seperti menghubungkan hubungan baik, menghargai jasa, mengharmonikan persaudaraan adalah sesuatu yang digalakan oleh Islam. Hal ini seperti yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Berilah hadiah nanti kamu akan saling sayang menyayangi”.
Rumusannya, rasuah dan hadiah serupa pada makna pemberian tetapi tidak sama pada makna tujuan. Kebijaksanaan adalah sangat penting bagi membezakan antara rasuah dan hadiah. Islam tidaklah anti-sosial sehingga melarang menerima sesuatu pemberian daripada orang lain namun kewaspadaan itu sangat penting agar diri kita tidak terbiasa dan terjerat dengan gejala tidak bermaruah ini. Adapun dalam soal memberi ganjaran pada anak-anak kerana bersikap baik dan seumpamanya bukanlah sesuatu yang boleh dianggap sebagai rasuah. Ianya lebih menjurus kepada memberikan nilai tambah moral kepada anak-anak bagi terus bersemangat tanpa menyembunyikan atau memalsukan kebenaran. Semoga Allah merahmati kita semua.
Disediakan oleh: Faidhi Azis