“Barangkali sudah sejak Hawa kecantikan mengampuni kekurangan dan cacat seseorang. Kecantikan mengangkat wanita di atas sesamanya, lebih tinggi, lebih mulia. Tetapi kecantikan, bahkan hidup sendiri menjadi sia-sia bila dikuasai ketakutan..”
Bumi Manusia, Pramoedya Ananta Toer
Sebelum itu, saya tidak menggalakkan tulisan ini ditelaah oleh mereka yang sedang atau belum menghabiskan novel bersiri tetralogi Buru oleh Pramoedya Ananta Toer iaitu Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca kerana tulisan ini mengandungi bocoran awal (spoiler).
Barangkali di Malaysia, nama Annelies tidaklah semasyhur nama Salina dalam karya agung Pak Samad itu, atau mungkin tidaklah sebesar nama Hayati dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karangan Hamka. Namun bagi penggemar dan pembaca karya-karya Pak Pram atau yang sekurang-kurangnya yang sudah menonton filem Bumi Manusia (2019), nama Annelies akan terus segar membekas.
Siapakah Annelies? Nama penuhnya ialah Annelies Mellema atau lebih mesra dengan panggilan Ann, merupakan seorang gadis kacukan Belanda dan peribumi (Jawa) yang menjadi watak penting dalam menggerakkan penceritaan tetralogi Buru ini. Bermula dengan Bumi Manusia, Annelies diperkenalkan sebagai seorang gadis yang sempurna kecantikannya. Annelies asalnya merupakan anak kepada Nyai Ontosoroh iaitu seorang gundik intelektual dan berani yang menguruskan ladang suaminya Tuan Herman Mellema; Boerderij Buitenzorg di Wonokromo.
Kita tidak akan membaca Bumi Manusia tanpa Minke, iaitu watak utama dalam siri ini. Pada awal babak Bumi Manusia, Minke telah berkenalan dengan Annelies sehingga ia perlahan-lahan menyimpul ikatan cinta dan akhirnya bernikah sejurus selepas Minke menamatkan pengajiannya di Hoogere Burgerschool (HBS).
Saya tidak ingin menulis panjang tentang plot dalam Bumi Manusia, kerana tulisan ini sekadar ingin mengkhabarkan situasi dan keberadaan Annelies selepas Bumi Manusia tamat. Bumi Manusia diakhiri dengan babak kekalahan atau ketidakmampuan Minke dan Nyai Ontosoroh untuk melindungi Annelies. Hal ini disebabkan oleh tuntutan Ir. Maurits Mellema yang merupakan anak Tuan Herman Mellema di Belanda dalam mengurus hak waris ayahnya yang sudah meninggal di Surabaya termasuk hak penjagaan Annelies.
Ringkasnya, Ir. Maurits Mellema merupakan saudara berlainan ibu kepada Annelies. Dalam hukum perundangan ketika itu, Nyai Ontosoroh tidak diiktiraf penuh sebagai ibu Annelies kerana dia hanyalah seorang gundik kepada Tuan Herman Mellema walaupun dialah yang melahirkan Annelies. Ir. Maurits Mellema memenangi tuntutan itu dan Minke, Nyai Ontosoroh serta Annelies terpaksa akur dengannya.
Semestinya yang paling terkesan dalam hal ini ialah Annelies, kerana dia terpaksa meninggalkan ibu kandungnya serta suaminya untuk berangkat ke Belanda. Maka, Bumi Manusia ditutup dengan dialog Minke dan Nyai Ontosoroh ( Halaman 535);
“Kita kalah, Ma,” bisikku.
“Kita telah melawan, Nak, Nyo, sebaik-baiknya, sehormat-hormatnya.”
Novel kedua; Anak Semua Bangsa merupakan sambungan daripada Bumi Manusia yang memperihalkan keberadaan Annelies pada awal-awal babaknya. Minke telah meminta Panji Darman atau nama lainnya Robert Jan Dapperste untuk menjaga dan merawat Annelies sepanjang perjalanannya ke Belanda. Oleh sebab itulah, awal babak Anak Semua Bangsa diisi dengan hantaran-hantaran telegram Panji Darman yang mengkhabarkan situasi kesihatan semasa Annelies yang kian memburuk.
Ya, Annelies sedang sakit kuat dan sedang bertarung nyawa sendiri. Tidak dinyatakan secara jelas berkaitan penyakit Annelies atau barangkali saya yang terlepas pandang. Sehinggalah datangnya telegram daripada Panji Darman yang mengkhabarkan bahawa Annelies telah meninggal di Huizen, Belanda (Halaman 51);
“Mevrouw Annelies sendiri sudah tidak menyadarkan sesuatu. Hanya Tuhan yang bisa menentukan dalam keadaan apa ia sekarang ini..”
“Mengucapkan ikut berdukacita atas meninggalnya Mevrouw Annelies.”
– Panji Darman
Khabar itu telah menyebabkan Minke dan Nyai Ontosoroh berasa sangat sedih, namun mereka tetap menerimanya dengan tabah. Sebelum ini, Nyai Ontosoroh telah kehilangan anak lelakinya iaitu abang kepada Annelies; Robert Mellema sebelum diikuti dengan Annelies yang telah pergi ke negeri abadi dan dia tidak sanggup lagi kehilangan menantunya iaitu Minke.
Mereka beranggapan bahawa Ir. Maurits Mellema itulah yang telah membunuh Annelies atas tuntutan-tuntutan hak yang telah dimenanginya sehingga Annelies terpaksa dibawa ke Belanda bersama kerapuhan fizikal dan batinnya. Maka, kematian Annelies itu telah membuka babak baru dalam kehidupan Minke. Minke yang sebelum ini terlalu mengagungkan Barat sudah perlahan-lahan menyedari kepentingan mempertahankan peribumi.
Babak dalam Anak Semua Bangsa memperlihatkan perkembangan dunia kepengarangan Minke yang mahu melawan ketidak adilan serta membela nasib peribumi melalui cerita-cerita yang dikarangnya terutama selepas menziarahi desa pertanian tebu di wilayah Sidoarjo.
Kemuncak dalam Anak Semua Bangsa ini kembali mengangkat perihal kematian Annelies apabila Ir. Maurits Mellema telah datang ke Wonokromo untuk mengunjungi Nyai Ontosoroh dan Minke. Pada detik itu, Jean Marais dan anaknya iaitu Maysaroh juga ada bersama mereka. Juga pada detik itulah Maysaroh meraung-raung kemarahan apabila mengetahui yang Annelies sudah mati, dan pembunuhnya itu sedang berdiri di hadapan mereka.
Tidak berlaku sebarang kekerasan antara Nyai Ontosoroh, Minke, Jean Marais, Darsam (pengawal keluarga Nyai Ontosoroh) dan Ir. Maurits Mellema yang merupakan Luitenant Kolonel Marine Belanda, sebaliknya hanya berlaku sedikit dialog perlawanan. Nyai Ontosoroh maklum bahawa kedatangan Ir. Maurits Mellema ke Wonokromo hanyalah untuk mengambil alih perniagaan mendiang ayahnya yang kini dibawa kelolaannya, namun akhirnya keputusan itu ditunda sendiri oleh Ir. Maurits Mellema (halaman. 532);
“Jadi kapan kami harus angkat kaki dari sini?”
“Sekarang telah kuputuskan penundaan.”
Novel Anak Semua Bangsa ditutup dengan penyerahan bungkusan yang mengandungi beg pakaian tua serta beberapa lembar pakaian-pakaian bekas milik Annelies. Nyai Ontosoroh tidak mampu menahan air matanya selepas melihat pakaian arwah anaknya itu, dia juga langsung terkenangkan kisah pengusirannya dari rumah orang tuanya dengan beg pakaian tua itu. Maka, Annelies selepas Bumi Manusia berakhir dengan catatan duka yang akhirnya telah membentuk keperibadian perlawanan pada jiwa suaminya; Minke.
Kebangkitan Minke bersambung pada novel berikutnya dalam Jejak Langkah yang setebal 721 halaman itu. Inilah kisah cinta yang terus hidup. Minke telah mengabadikan Annelies dalam sebuah lukisan karya sahabatnya Jean Marais dengan nama ‘Bunga Penutup Abad’. Seperti Bumi Manusia, novel Anak Semua Bangsa ini juga ditutup dengan dialog Minke bersama Nyai Ontosoroh;
“Sebagaimana kita akan tetap terkenang pada hari ini, dia pun seumur hidup akan diburu-buru oleh kenangan hari ini, sampai matinya, sampai dalam kuburnya.”
“Ya, Ma, kita sudah melawan, Ma, biarpun hanya dengan mulut..”
Disediakan oleh,
Ilham Yusuf
Penulis merupakan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang aktif menyumbangkan tulisan di akhbar-akhbar, majalah serta portal karya kreatif tempatan.