Mudahnya saya bahagikan kita semua kepada dua golongan. Golongan dunia dan golongan akhirat.
Golongan dunia akan berkata kepada golongan akhirat,
“Asyik nak beramal sahaja, macam manalah nak maju. Kenalah berjaya kat dunia dulu, baru berjaya di akhirat.”
Lalu golongan dunia memandang rendah kepada golongan akhirat.
“Kesiannya, hidup melarat.”
Golongan akhirat pula kata kepada golongan dunia,
“Apalah nak jadi, asyik fikir pasal dunia sahaja. Langsung tak ingat akhirat. Kumpul harta banyak-banyak ini nak di bawa ke mana?”
Lalu golongan akhirat juga memandang rendah kepada golongan dunia,
“Jahilnya dia. Nilai akhiratkan lebih utama berbanding nilai dunia?”
Lalu, kita yang sedang bersemangat mahu meningkatkan ekonomi keluarga mahupun negara, terbantut. Kita berhenti daripada kerja bersungguh-sungguh, berhenti daripada belajar pelbagai perkara, berhenti daripada berfikir macam mana mahu memberikan manfaatkan kepada masyarakat.
Kehidupan dulu yang seperti tidak cukup masa, tiba-tiba jadi mewah masa. Banyak masa yang kita ada dibiarkan begitu sahaja. Lalu kita memilih untuk hidup biasa-biasa. Hanya jadi golongan yang bekerja. Bukan golongan yang mencipta kerja.
Akhirnya masa yang ada, kita isi dengan hiburan. Kita hanya serahkan rezeki kepada Tuhan.
Tetapi, sebenarnya itu hanya alasan untuk kita terus bermalas-malasan.
Lalu ekonomi keluarga dan negara tidak ke mana. Jadilah kita umat Islam yang mundur ke belakang.
Teringat kata-kata Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid,
“Orang Islam perlu kaya.”
Islam itu tidak anti kepada kekayaan. Malah, seruan menjadi kaya itu bermula semenjak awal kedatangan Islam lagi.
Buktinya Abu Bakar as-Siddiq yang telah membebaskan Bilal daripada terus menjadi hamba. Bagaimana Khadijah – isteri Rasulullah SAW yang telah menjadi sandaran kepada Rasul apabila Baginda mula menyebarkan Agama Islam.
Lihatlah bagaimana Uthman bin Affan yang telah menyelamatkan ekonomi Madinah daripada dimonopoli oleh Orang Yahudi. Bagaimana Abdul Rahman bin Auf yang telah menginfakkan hartanya untuk kegunaan umat Islam waktu itu.
Mereka semua ini adalah ahli-ahli korporat (orang kaya) yang memberikan sumbangan signifikan dalam mengembangkan agama Islam.
Dengan kata lain, ada kemungkinan kalau bukan kerana sokongan ahli korporat, peniaga besar atau orang-orang kaya pada masa itu, tidak semudah itu agama Islam boleh berkembang sama ada di Mekah, apatah lagi di Madinah.
Inilah tahap ataupun kekuatan ekonomi Islam yang ada ketika itu.
Keadaan ini berterusan sehinggalah ke zaman Umaiyah dan juga Abbasiyah. Pada zaman itu pemerintah Islam mempunyai istana yang hebat dan sangat kaya. Sehinggalah kekayaan pada waktu itu diselewengkan, berlakunya pemborosan, ketirisan, maksiat berleluasa, lahirnya kepercayaan karut marut dan sebagainya.
Maka lahirlah penulis-penulis tasawuf yang mengkritik tentang kekayaan pada waktu itu dan di antara mereka mengatakan,
“dunia ini bangkai dan orang yang mencari dunia itu adalah anjing.”
Mereka bukan mengkritik sama ada boleh jadi kaya atau tidak, tetapi mengkritik apabila kekayaan sudah tidak lagi memberi kebaikan kepada masyarakat.
Cuba kita renung kembali, siapa yang tidak suka harta? Pasti semua orang suka pada harta. Kerana ini memang fitrah manusia.
Allah berfirman,
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga). Surah ali-‘Imran 3:14.
Agama tidak melarang untuk kita suka kepada harta. Kerana ini adalah fitrah kita. Cuma agama mengajar kepada kita bahawa setiap perkara itu ada peraturan termasuklah dalam usaha kita mencari harta.
Oleh itu, saya mahu mengajak diri saya dan juga anda semua untuk berusaha mengejar kekayaan dan kejayaan, tetapi bersamanya peringatan. Peringatan daripada Tuhan.
Salah satu peringatanNya ada di dalam surah yang ke-102 di dalam al-Quran.
Surah ini diberi nama at-Takaathur (berlumba-lumba mengumpul kekayaan). Ada juga pendapat lain yang mengatakan Surah al-Hakum ataupun Surah al-Hakumuttakaathur (merujuk kepada ayat yang pertama).
Saya mengajak kita semua membaca dan belajar melalui surah ini bukan untuk ditujukan kepada orang kaya yang sibuk mencari harta kerana bukan tugas kita untuk menilai atau melabel manusia.
Mungkin orang kaya itu lebih baik daripada kita kerana menjadi orang kaya beriman yang menginfakkan seluruh hartanya persis Abu Bakar as-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan sahabat-sahabat yang lain.
Masya-Allah! Allah suka, Nabi pun suka kerana kekayaannya itu digunakan untuk mencari keredaan Allah Yang Maha Esa.
Lalu, saya membaca surah ini kerana apa?
Kerana yang cari harta itu bukan orang kaya sahaja. Kita semua mencari harta tidak kira kaya atau miskin, tua atau muda, Islam atau bukan Islam. Semuanya perlukan harta untuk hidup di dunia.
Menariknya surah ini bukan semata-mata untuk harta kerana Allah menyebutnya secara umum sahaja (Takaathur). Surah ini sangat penting untuk kita tadabbur bersama agar kita tidak hanya berjaya di dunia atau di akhirat sahaja. Tetapi berjaya di dunia akhirat.
Kekayaan tidak memudaratkan, tetapi kita sendiri yang menyalahgunakan.
Disediakan oleh,
Hakim Darno