Mahu atau tidak, setiap perjalanan hidup kita akan wujudnya persimpangan-persimpangan hidup yang mengharuskan kita untuk membuat pilihan. Harus diakui, membuat pilihan merupakan perkara yang agak sukar. Pelbagai faktor dan pemikiran yang datang menerpa minda ketika membuat keputusan. Ada masa kita buntu, perlukan nasihat dan tunjuk ajar dalam mendepani cabaran tersebut.

Bertitik tolak daripada itu, kita bertindak untuk berjumpa, berhubung dan berbincang dengan pelbagai pihak bagi membantu kita membuat pilihan dan keputusan baik daripada rakan, sahabat baik, majikan, mentor, guru-guru, kaunselor dan beberapa tokoh pimpinan.

Daripada perbincangan tersebut, pelbagai garis panduan, nasihat, tunjuk ajar, pengalaman dan mutiara kata kita cuba kutip dalam membantu kita membuat pilihan.

Walaupun begitu, hasil perbincangan tersebut hanya dapat dijadikan panduan, bukan pemutus keputusan kerana akhirnya, setiap situasi seseorang individu adalah berbeza walaupun dilihat serupa. Dari sudut kewangan, kemudahan, kekuatan, kecenderungan, kapasiti; setiap individu pasti ada perbezaannya waima perbezaan yang sangat sedikit.

Pada akhirnya, yang perlu membuat keputusan itu kita, orang lain hanya bertindak selaku garis panduan untuk kita timbang tara kesesuaian dan prioriti keperluan diri masing-masing.

Semakin mendewasa, semakin banyak persimpangan yang perlu diperkirakan. Ada waktu terasa berat pilihan yang ada yang hampir membuatkan kita berputus asa, risau, gelisah, kurang yakin diri dan pelbagai bayangan ketakutan menghantui diri. Teringat akan pesanan Buya Hamka:

Kepada Pemuda: 

” Bebanmu akan berat, jiwamu harus kuat. tapi aku percaya langkahmu akan jaya. kuatkan Pribadimu “

Mahu atau tidak, teruskan berusaha dan bertawakal walaupun sukar.

Buya Hamka juga berpesan:

Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Yang takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.

Betapa indahnya Islam apabila menggariskan konsep istikharah, yang membuatkan hambanya sedar bahawa keputusan yang dipilih haruslah terlebih dahulu berpandukan penelitian yang telah dilakukan semaksima mungkin dan akhirnya mengakui bahawa yang Maha Mengetahui itu adalah DIA dan perlulah diserahkan urusan kepadaNya setelah berusaha semaksima mungkin untuk memilih. 

Istikharah juga mengajar hambanya erti reda setelah berusaha sehabis baik agar kelak, sekiranya hasilnya tidak seperti yang diharapkan, kita dengan tenang dapat menerima keputusan tersebut bahawa itulah yang terbaik dan tidak menyalahkan takdir. Begitu juga sekiranya hasilnya adalah seperti yang diharapkan, perlu disyukuri bahawa itulah yang terbaik untuk kita dan tidak mendabik dada. 

Semoga kita semua kuat dan tabah mengharungi persimpangan-persimpangan kehidupan tanpa noktah ini yang menjadikan kita senantiasa membuat pilihan. 

Disediakan oleh,

Aina

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.