“Beri aku 1000 orang tua, niscaya akan kucabut semeru dari akarnya. Beri aku 10 pemuda niscaya akan kuguncangkan dunia.”
Ir. Soekarno
Mengapa Soekarno berkata demikian?
Kerana beliau sangat faham akan kualiti yang ada dalam diri pemuda. Jika kita kembali menelusuri sejarah, kita akan dapati bahawa golongan pemuda adalah golongan yang banyak membantu menanam semangat ke dalam akar fikiran masyarakat. Sama ada semangat itu adalah semangat pembaharuan agama ataupun semangat nasionalisme, golongan pemuda adalah tulang belakang dalam mencorak cara pemikiran masyarakat.
Hal ini kerana pemuda mempunyai idea yang segar dan mudah untuk diterima oleh golongan marhaen. Memang benar, terdapat cabaran yang sukar pada permulaan pergerakan advokasi untuk menyalurkan idea-idea yang mereka ada. Tetapi, akhirnya idea mereka ini dapat diterima masyarakat setelah mereka melihat akan kerelevanan pembawakan pemuda yang semakin hari semakin realistik.
Hal ini kerana setiap idea dan pembawakan itu akan dapat direalisasikan melalui kesabaran dan masa. Kita melihat salah satu perkara besar yang telah disumbangkan oleh anak muda di negara jiran kita Indonesia seperti “Sumpah Pemuda”. Sumpah ini telah diakui sebagai salah satu pemangkin dan elemen penting bagi Indonesia mendapatkan kemerdekaan mereka. Sumpah ini juga dikatakan menjadi tulang belakang kepada pembentukan “Pancasila” yang sehingga kini sangat dicintai dan dihayati oleh warganegara Indonesia.
Semua idea dan gerakan itu bermula dengan semangat pemuda untuk membebaskan tanah air mereka. Mengapa saya berpendapat golongan pemuda sejak dari awal perlu memerdekakan akal fikiran mereka daripada dikuasai oleh sesuatu ideologi mahupun sudut pandang? Saya tidak katakan mereka perlu jauhi daripada urusan berorganisasi, bahkan itu adalah antara platform yang terbaik untuk akal mereka bertumbuh.
Cuma mereka perlu elak daripada ambil satu ideologi dan terus tanam hingga sukar untuk mereka tukar fikiran. Perkara ini bahaya kerana ia akan membuatkan akal pemuda tempang. Kemungkinan besar ini akan menghasilkan satu cara fikir yang membawa kepada kematian semangat mereka untuk berfikir. Kalau mereka sudah tidak mahu berfikir dan cuba mengkritik akan sesuatu idea, sudah tentu kesan buruknya akan melahirkan ketaasuban.
Sesungguhnya ketaasuban yang ditanam dalam diri pemuda adalah suatu bentuk ketaasuban yang amat bahaya. Hal ini kerana dengan semangat dan tenaga mereka, kemungkinan ia akan membawa kepada kehancuran kepada cara fikir masyarakat kepada satu tahap yang sukar diperbaiki. Pemuda adalah tunjang kepada cara fikir masyarakat, kerana mereka adalah golongan majoriti. Oleh itu, mereka perlu diberikan kebebasan untuk berfikir mengikut apa yang telah ditetapkan oleh disiplin ilmu.
Tempoh mereka ini adalah tempoh untuk mengambara ke alam keilmuan dan ideologi yang berbeza. Walaupun saya berpendirian tentang keperluan untuk pemuda memerdekakan akal fikiran mereka, akan tetapi saya mengatakan di sini ada juga terdapat satu elemen penting yang masih perlu mengawal mereka dalam mempraktikkan perkara ini. Elemen ini adalah elemen “agama”. Secara khususnya agama merujuk kepada agama Islam.
Agama Islam adalah satu-satunya agama yang sangat mementingkan ilmu, bahkan wahyu pertama diturunkan adalah berkenaan membaca. Benar, pemuda perlu memerdekakan akal fikiran mereka daripada didoktrin dengan tegas.
Tetapi akal fikiran mereka juga perlu dipandu. Seperti setiap perkara dalam kehidupan perlu dipandu contohnya seperti sebuah kereta. Jika sebuah kereta itu mahu menuju kepada destinasi yang betul, pemandunya juga perlu tahu jalan dan arah yang tepat untuk menuju destinasi itu. Perkara lain akan berlaku sebaliknya jika pemandu sendiri tidak tahu destinasi yang dituju. Bahkan kemungkinan akan berlaku perkara yang buruk seperti kemalangan jalan raya.
Oleh itu, pemuda perlu juga rujuk kepada agama cara yang betul untuk memerdekakan akal fikiran mereka. Melalui agama, mereka akan faham mengapa mereka dilahirkan mempunyai akal dan apa tujuan Allah kurniakan mereka kemahiran untuk berfikir. Sesungguhnya akal fikiran pemuda yang merdeka adalah akal fikiran yang dipandu oleh agama.
Sebab yang utamanya adalah kerana agama dapat memandu manusia menggunakan akal untuk sampai kepada destinasi sebenar arah tujuan utama mereka. Agama adalah kompas, akal adalah alat. Jika pemuda dapat menggabungkan kedua-duanya, tentu akan melahirkan golongan pemuda yang bebas daripada anasir yang tidak sihat serta menggunakan akal fikiran mereka dalam membawa kebaikan kepada seluruh umat manusia.
Akal pemuda yang semata-mata bebas tanpa dipandu oleh agama akan mengakibatkan arah tujuan tidak jelas. Kalau arah tujuan tidak jelas, bagaimana mereka hendak menggunakan akal ke arah kapasitinya yang paling maksima? Perkara ini telah disimpulkan oleh Hassan al-Banna apabila beliau telah berkata:
“Asas keimanan adalah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara dan semua sifat ini tidak wujud kecuali pada diri seorang pemuda.”
Hassan al-Banna
Ingat, keperluan pemuda untuk membebaskan akal fikiran adalah sesuatu perkara yang mesti. Tetapi, kebebasan itu juga perlu dipandu. Elemen asas yang dapat memandu pemuda dalam menggunakan akal fikiran menuju ke arah kebaikan adalah elemen agama. Natijah yang paling baik adalah sepertimana pemuda- pemuda al-Kahfi.
Mereka berjaya memerdekakan akal fikiran mereka daripada diikat oleh masyarakat sewaktu itu yang syirik kepada Allah SWT. Hasilnya, mereka adalah golongan pemuda ideal yang kita dapat ambil ibrah dan pengajaran untuk dicontohi.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 13)
Oleh itu, Merdekakanlah akal fikiranmu wahai pemuda dengan dipandu oleh wahyu agama yang benar !
Semoga kalian golongan pemuda, adalah golongan yang menjadi pemangkin kepada budaya fikir yang sihat supaya dapat menyelamatkan manusia daripada ketaksuban dan kehancuran kebodohan.
Disediakan oleh,
Hazmi Azman