Tahukah anda, di dunia nyata kita sebenarnya tidak kurang watak adiwira wanita yang boleh dicontohi dan dijadikan inspirasi. Wanita-wanita ini mungkin tidak mempunyai kuasa luar biasa, namun itulah yang menjadikan mereka lebih sesuai dan relevan untuk diperkenalkan kepada para wanita dan anak-anak kita. Terutamanya tokoh-tokoh wanita yang hayatnya tidak jauh dari sudut masa dan geografi, di samping tokoh-tokoh yang nama mereka terpahat dalam sejarah Islam. Di dalam artikel ini, penulis ingin berkongsi tentang seorang tokoh dari bumi Aceh bernama Cut Nyak Dhien.

Siapakah Cut Nyak Dhien?

Cut Nyak Dhien dilahirkan dalam keluarga bangsawan pada 1848 di Lampadang, Aceh Besar. Ayahnya, Teuku Nanta Setia merupakan seorang uleebalang di wilayah VI Mukim. Semasa Cut Nyak Dhien lahir dan membesar, rakyat di wilayah VI Mukim sedang membangun benteng pertahanan bagi menghadapi serangan daripada wilayah Meuraksa. Ketika itu, beliau selalu memerhatikan bagaimana ayahnya berbincang dengan tokoh-rokoh besar di rumah mereka tentang hal ehwal peperangan.

Mengapa Mujahidah Cut Nyak Dhien Meninggal Dunia di Sumedang



Semasa hayatnya, Cut Nyak Dhien pernah berkahwin sebanyak dua kali dan suaminya bukanlah calang-calang lelaki. Suami pertamanya, Teuku Cek Ibrahim Lamnga adalah seorang pemuda yang taat pada agama dan tidak gentar di medan perang. Setelah suami pertamanya syahid ketika bertempur dengan Belanda di Gle Tarum, Cut Nyak Dhien berkahwin pula dengan Teuku Umar, seorang pemuda yang terkenal dengan kehebatannya memimpin pasukan perang. Pasangan yang bersatu atas nama perjuangan ini pernah menimbulkan rasa gerun dan tidak tenteram pada Belanda.

Peribadi dan perjuangan Cut Nyak Dhien amat menarik untuk ditelusuri, mungkin kerana jarangnya kita dapat membaca kisah tokoh-tokoh seperti beliau. Ini antara sebab kenapa Cut Nyak Dhien adalah adiwira yang patut dijadikan inspirasi para wanita:


1. Beliau adalah ketua yang berkarisma dan amat dihormati

Mengangkat wanita sebagai ketua bukanlah perkara asing di bumi Aceh. Cut Nyak Dhien sendiri telah diberikan perhatian oleh Teuku Nanta Setia sejak kecil supaya dapat menggantikan tempatnya apabila dewasa kelak. Peranan Cut Nyak Dhien di medan perang bukan setakat isteri yang mendampingi suami, malah beliau menjadi perancang strategi. Ada yang mengatakan, Cut Nyak Dhien adalah ‘otak’ Teuku Umar.

Selepas kematian Teuku Umar, beliau tidak berhenti memimpin pasukan dan meniupkan api perjuangan. Para pengikutnya amat menghormati dan melindungi beliau, tidak kira lelaki mahupun wanita. Sehingga beliau sudah rabun dan tidak berdaya dari segi fizikal pun, Cut Nyak Dhien tetap disegani musuh.

2. Wanita bangsawan yang sanggup hidup susah bersama suami dan pengikutnya.

Apabila kampungnya diserang Belanda, Cut Nyak Dhien hidup mengungsi dan jauh daripada suami pertamanya yang keluar berperang selama dua tahun setengah. Semasa pengungsian inilah api kebencian beliau terhadap Belanda menjadi semakin membara dan sokongan kepada suaminya menjadi bertambah kuat. Setelah berkahwin dengan Teuku Umar, Cut Nyak Dhien enggan berjauhan dengan suaminya dan sanggup hidup secara gerila selama 20 tahun. Pernah Teuku Umar mencadangkan supaya isterinya mengungsi ke tempat yang lebih aman, namun ini jawapan Cut Nyak Dhien;

“Hanya ujung peluru kafir yang dapat menghambat aku. Jangan dirisaukan aku. Aku tidak bersedia berpisah dengan kau. Aku rela menderita demi melanjutkan perjuangan suci ini. Aku terima semua ini. Oleh sebab itu harapan aku, teruskanlah perjuangan ini. Aku tetap setia mendampingimu.”

Sekian lama di dalam hutan, akhirnya Cut Nyak Dhien ditemui Belanda. Musuhnya itu terkejut melihat keadaan beliau yang serba kekurangan. Belanda menyangka wanita bangsawan yang mereka geruni itu memiliki tempat perlindungan yang selesa dan memakai perhiasan cantik. Namun sangkaan mereka salah sama sekali. Kehidupan selesa tiada dalam kamus seorang pejuang seperti Cut Nyak Dhien.


3. Cepat bangkit selepas kehilangan suami.

Gugurnya Teuku Cek Ibrahim Lamnga di medan perang mengundang rasa sedih dan hiba dalam diri Cut Nyak Dhien. Beliau dikatakan menangis dan meratapi kematian tersebut. Namun, setelah ditenangkan oleh ayahnya, Cut Nyak Dhien sedar dan bangkit daripada kesedihan selepas beberapa hari. Ini pesan Teuku Nanta Setia ketika memujuk anak perempuannya;

“Jangan kau tangisi dia, bukankah ia telah berbakti kepada tanah air dan agama. Kini ia telah syahid, kita juga akan mengikuti jejaknya. Setiap manusia akan mati. Sabarlah menghadapi cobaan ini. Teguhkan iman dan bulatkan  tekad. Pada pundak kitalah terletak tanggungjawab yang berat ini.”

Berbanding semasa kehilangan suami pertamanya, faktor usia dan kematangan menjadikan Cut Nyak Dhien lebih tenang apabila dikhabarkan berita Teuku Umar yang gugur ditembak Belanda. Mengambil alih tugas suaminya sebagai ketua pasukan, beliau meneruskan perjuangan demi tanah air dan agama tercinta. Tiada masa untuk menoleh dan maratapi kenangan lalu lagi.

4. Berpegang teguh pada prinsip dan perjuangan.

Cut Nyak Dhien adalah seorang wanita yang mengajar kita supaya tidak menyandarkan ketaatan dan perjuangan pada manusia. Walaupun manusia di sekelilingnya telah berubah atau tiada, beliau tidak sesekali menjadi seperti lalang ditiup angin.

Pernah suatu masa, Teuku Umar memutuskan untuk berpihak kepada Belanda. Ada yang mengatakan bahawa ini adalah rancangan beliau untuk mendapatkan maklumat tentang strategi Belanda dan mendapatkan bekalan senjata. Walaupun Cut Nyak Dhien setia berada di sisi Teuku Umar supaya dapat memujuknya kembali kepada perjuangan sebenar, beliau enggan menemani suaminya ketika rumah mereka dikunjungi tetamu Belanda.

Seiring pertambahan usia, kesihatan dan keadaan fizikal Cut Nyak Dhien semakin membimbangkan. Matanya sudah rabun, tubuhnya juga sudah tidak kuat. Namun begitu, Cut Nyak Dhien enggan menyerah kalah dan lebih rela mati daripada menyerahkan diri kepada Belanda. Semasa penangkapan beliau, Cut Nyak Dhien masih mahu mempertahankan maruahnya dan berkata kepada tentera Belanda, “Jangan sentuh badan saya kafir.”. Jika kita melihat gambar selepas penangkapan tersebut, kita boleh melihat Cut Nyak Dhien masih mengenakan tudung kepala, sebagai bukti ketaatan beliau kepada agama.

5. Wanita yang berani dan menjadi contoh kepada orang sekelilingnya.

Apabila membaca kisah Cut Nyak Dhien, tidak dapat tidak kita akan membuat kesimpulan bahawa beliau adalah wanita yang sangat berani (dengan keberanian luar biasa jika mahu diukur dengan zaman sekarang). Keberanian Cut Nyak Dhien inilah yang menjadi sumber kekuatan kepada para pengikut dan pasukan gerilanya. Paling utama, beliau telah menjadi contoh kepada anak perempuannya sendiri bernama Cut Gambang.

Dalam satu pertempuran dengan Belanda, suami Cut Gambang telah ditembak oleh tentera Belanda. Cut Gambang mara ke depan bagi melindungi suaminya yang tercinta. Malangnya, Cut Gambang turut ditembak. Di saat-saat menanti malaikat maut mencabut nyawanya, Cut Gambang sempat memberi amaran kepada tentera Belanda yang cuba mendekatinya, “Janganlah sentuh aku kafir buduk.”

Setelah ditangkap, Cut Nyak Dhien masih menerima kunjungan daripada rakyat Aceh yang amat mengasihinya. Hal ini menimbulkan kegusaran kepada Belanda, lalu beliau diasingkan ke Sumedang, Jawa Barat.

Selama Cut Nyak Dhien di sana, identiti beliau tidak diketahui oleh masyarakat tempatan. Fitrah seorang pejuang, walau di mana pun diri berada tetap mahu menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat. Dengan menggunakan daya ingatannya, Cut Nyak Dhien mengajar wanita tempatan mengaji al-Quran. Masyarakat tempatan memanggil beliau Ibu Peru atau Ibu Ratu kerana kepandaiannya mengaji dan pengetahuan agamanya yang mendalam. Hanya setelah beliau meninggal dunia, barulah mereka mengetahui bahawa itu adalah Cut Nyak Dhien. Begitulah peribadi seorang pejuang yang merendah diri dan wajar untuk kita contohi, terlebih lagi dalam zaman yang penuh fitnah ini.

Buku yang khusus tentang Cut Nyak Dhien agak sukar dicari di pasaran Malaysia. Namun begitu, banyak artikel tentang beliau yang boleh dibaca di internet dan filem bertajuk Tjoet Nya’ Dhien yang diterbitkan pada tahun 1988 boleh ditonton di Youtube. Watak Cut Nyak Dhien yang dimainkan oleh Christine Hakim amat mengesankan. Jika anda tidak berhajat untuk ke panggung wayang pada hari wanita ini, filem sejarah ini amat disarankan untuk ditonton.

Disediakan oleh,

Zahrah Yunos

Rujukan:

1. Cut Nyak Din oleh Muchtaruddin Ibrahim. Terbitan Balai Pustaka.

2. Jejak-jejak Pahlawan: Perekat Kesatuan Bangsa Indonesia oleh J.B Soedarmanta. Terbitan Grasindo.

3. Sepak Terjang 10 Wanita Muslim Terpopuler oleh Merry Magdalena. Terbitan Grasindo.

4. Kisah Cut Nyak Dhien di Sumedang Meski Tak Melihat Dapat Mengajar Mengaji Ibu-ibu. http://m.tribunnews.com/amp/nasional/2017/08/11/kisah-cut-nyak-dien-di-sumedang-meski-tak-melihat-dapat-mengajar-mengaji-ibu-ibu?page=2

Kemaskini: 2 Disember 2021

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.