Dalam hidup kalian pasti adanya satu detik di mana kalian rasa sudah berputus asa dengan Allah—berputus asa dengan rahmat-Nya kerana ditimpa ujian yang bertalu-talu. Sampai satu saat, hati nuranimu tidak henti-henti menyalahkan Tuhan atas semua dugaan yang menimpa diri.
Semestinya kalian pernah mengalaminya bukan? Sehinggakan terkadang kalian memutuskan untuk berpaling daripada Allah kerana tiada kekuatan untuk terus bertahan dengan ujian yang menimpa. Jika benar kalian pernah merasai perasaan sebegitu maka peganglah kata-kata saya ini dengan genggaman erat di hatimu teman. Semoga ia membuatkan kamu tidak menyalahkan Tuhan lagi kerana kita diuji selama ini semuanya bersebab.
Teman ketahuilah,
Allah menciptakan kita di dunia ini bukan semata-mata untuk ikan di hulu tuba di hilir, tidak. Sebelum menuding jari kepada Tuhan, saya ingin sampaikan bahawa ada hikmah yang amat hebat disebalik ujian Tuhan itu. Ujian itu adalah untuk mengangkat darjat dan menghapus dosa.
Allah menguji hambanya kerana Dia terlalu cintakan kita, kadangkala kita leka dan alpa sehinggakan kita lupa kepada-Nya. Oleh itu, Tuhan duga kita sebab rindu nak dengar rintihan kita memohon pada-Nya, saat itu pohonlah apa sahaja nescaya Dia akan kurniakan jika tidak di dunia maka di akhirat kelak. Percayalah, Tuhan genggam doa kita satu-persatu dan akan ditunaikan pada waktu yang terbaik satu demi satu. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.
Allah bagi dugaan dekat kita sebab Dia nak hapuskan dosa kita.
Rasulullah SAW bersabda :
“Ujian akan terus menimpa seseorang sehingga akhirnya dia berjalan di muka bumi tanpa dosa lagi.”
Menurut Sheikh al-Mubarakfuri, dosa itu seolah-olah belenggu yang menahan dan mengikat manusia manakala ujian pula seperti sesuatu yang membebaskan manusia daripada penjara dosa dan belenggu maksiat.
Lihatlah kebesaran Allah—waktu kita sakit, Allah sebenarnya nak ampunkan dosa hamba-Nya dan apabila kita bersabar atas ujian tersebut maka diberi pula ganjaran pahala. Allah nak angkat darjat kita—saat diuji dengan masalah keluarga, kewangan yang sempit menyebabkan kita tertekan dengan kehidupan, diuji dengan kematian insan tersayang mahupun diuji dengan kesakitan—waktu itulah seandainya kita terus bersabar maka Tuhan ampunkan dosa kita yang terdahulu.
Pada masa yang sama, Allah berikan ujian untuk menyedarkan kita daripada kelalaian kita, Dia nak kita bangkit dari terus dibuai mimpi. Kita seringkali mencari Allah di saat-saat sukar sahaja lalu bila dah senang kita lupakan Allah. Ujian adalah sebagai sentapan hati agar kita kembali taat kepada Ilahi.
Allah itu pencipta kita jadi mengapa kita hanya berdoa ketika diuji sahaja, ketika sedih baru mahu mencari Tuhan, ketika susah baru mahu mengenal erti keinsafan dan taubat. Janganlah begitu, kita ini hamba maka hargailah setiap ujian mahupun musibah yang Allah berikan kerana ia tak lain tak bukan hanya untuk kita kembali sujud kepada-Nya.
Hebatnya Allah kerana Dia tidak pernah marah tatkala kita seringkali meminta-minta kepada-Nya. Manusia seringkali mengecewakan tetapi Tuhan tidak akan pernah menghampakan. Sebab itu kalau nak mengadu, mengadulah kepada Allah terlebih dahulu.
Segala jenis bencana mahupun wabak yang menimpa jangan sesekali kita menyalahkan Tuhan. Walau apa jua ujian yang mendatang maka tempuhlah dengan penuh keyakinan akan kekuasaan-Nya. Sesungguhnya Allah telah menjanjikan ganjaran syurga bagi mereka yang sabar. Allah takkan uji tanpa asbab, Dia membuka jalan yang mudah untuk kita dapat pahala, Dia beri kesenangan untuk kita beribadah.
Terkadang kita terlupa bahawa kita selalu meminta doa untuk masuk syurga sedangkan amalan kita tidak cukup untuk melayakkan diri ke syurga. Oleh sebab itu, Allah beri ujian kepada hamba-Nya untuk melayakkan kita ke syurga dengan kesabaran kita dalam menghadapi ujian tersebut. Sesungguhnya syurga itu bukan percuma.
Hakikatnya, sabar seseorang manusia tidak pernah ada limit, manusia sahaja yang kata sabar itu ada hadnya. Sama juga dengan pahala, pahala yang Allah nak beri tak pernah ada limit tanpa mengira siapa kita. Maka nikmat mana lagi yang mahu kita pertikaikan?
Allah SWT berfirman di dalam surah ar-Rahman ayat 16 yang bermaksud:
“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?”
Ayat tersebut diulang-ulang beberapa kali dalam surah ar-Rahman.
Jadi, jangan sesekali kita mempersoalkan mahupun menyalahkan Tuhan di atas apa yang terjadi. Sabar, sabar, dan teruskan sabar. Walau apa jua ujian yang kalian hadapi, jangan pernah menyerah, jangan pernah berputus asa walau seteruk apapun sehinggakan kalian rasa sudah tidak kuat lagi.
Apa yang harus dilakukan adalah kembali taat kepada-Nya. Dia yang tahu apa yang terbaik buat kita, Dia yang akan menghilangkan segala resah gelisah di hati. Mengadulah kepada Allah kerana jika mengadu kepada manusia kalian tidak akan beroleh ketenangan sebagaimana ketika menyerahkan segala urusan kepada Allah Taala sahaja. Letaklah pengharapan hanya pada Tuhan andai tidak mahu dikecewakan.
Andai jatuh maka bangkit kembali dengan semangat juang yang lebih tinggi. Tuhan sentiasa ada untuk kita semua, segala doa kita didengari Allah. Cuma, mungkin doa itu disimpan dan akan dimakbulkan pada waktu yang tepat, indah pada waktunya! Perancangan Tuhan tiada siapa yang tahu. Begitulah kehidupan—bukan semua yang kita mahukan akan sentiasa kita dapat dan bukan semua yang telah kita atur berlaku persis seperti yang dirancang.
Pujuklah hati untuk reda dan teruskan perjalanan.
Profil penulis:
N. Nur Nasuha berasal dari Kelantan, Malaysia yang merupakan seorang pelajar pra-universiti dalam bidang Sains Sosial (Kesusasteraan Melayu Komunikatif). Beliau aktif berkongsi tentang agama Islam di media sosial instagram dan twitter @nasuharsl .