Membunuh itu hukumnya berdosa besar di sisi agama Islam. Ini bukan lagi keluar dari mulut orang Islam, bahkan sudah menjadi kegunaan orang bukan Islam. Orang Islam perlu malu mendengar ayat penyataan ini keluar dari mulut orang-orang yang belum mengenal Allah. Kerana Allah tidak memperkenalkan hukum di awal pengenalan Dia dan hamba-Nya, tetapi memperkenalkan diri dengan sifar ArRahman dan ArRahim-Nya pada dunia.
Seperti layaknya basmallah yang diungkap tanpa jemu.
Ketika kita berbicara tentang membunuh diri, Al-Quran tidak menyatakan hukum. Firman Allah :
وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
Mafhumnya: Janganlah kamu membunuh dirimu, sesungguhnya Allah amat sayang kepada kamu.
Allah itu sifat-Nya yang paling dasar adalah rahmah. Tidak ada satu pun penciptaan-Nya yang mampu menyayangi setaraf Allah menyayangi ciptaan-Nya. Kasih sayang ibu kepada anak, pemimpin kepada rakyat, guru kepada murid. Tiada yang mampu mencapai kualiti kasih sayang Allah kepada hamba. Namun sayang, sifat ini terlalu dasar sehingga kita tidak selalu mencanangkan kepada manusia lainnya.
Sehingga hari ini, yang didengar oleh orang bukan Islam adalah hukum-hukum yang digaris oleh para ulama kita yang sedia faqeh tentang sifat Allah. Mereka sudah terlalu lama menghayati kekuasaan dan keesaan Allah, meneliti ayat-ayat Al-Quran yang tersirat banyak kalimah yang tidak diketahui oleh orang-orang biasa. Sudahlah orang Islam biasa pun tidak mampu menerangkan kesantunan bahasa yang rumit dalam Al-Quran, apatah lagi orang bukan Islam yang tidak membacanya !
Jangan salah faham. Saya tahu mengapa hukum ini perlu dibahas dan dibincang. Perkara yang ingin dibentangkan di sini adalah cara melihat hukum secara kritikal. Mengapa membunuh itu berdosa besar? Adakah ia ditujukan kepada orang kaya yang stabil emosi dan mentalnya, namun masih berani melanggar perintah Allah, atau kepada manusia yang mempunyai masalah mental dan emosi yang keterlaluan di samping tidak mampu mendapat bantuan?
Harus selalu ingat bahawa ketika melihat perlakuan dosa, kita bukan Tuhan. Kita adalah pendosa yang melihat manusia lain melakukan dosa. Ya, mungkin kita mempunyai dosa yang berbeza, ia tidak bermakna dosa kita lebih layak mendapat pengampunan berbanding dosa orang lain. Mengapa harus meletak hukum jika kita boleh mendoakan yang baik-baik? Mengapa harus membentang hukum jika kita boleh membentang rahmah?
Saya ingin mengingatkan kepada kalian bahawa ia satu perkara yang memalukan apabila orang bukan Islam lebih mengenal dapatan perbahasan hukum fikah daripada Tuhan yang jelas menggariskan panduan hidup untuk manusia selalu menghayati kasih sayang-Nya. Apabila seorang manusia meninggal dunia, mereka tidak diraikan kematiannya. Kita meraikan kehidupan, sumbangan, dan personaliti yang menjadi hikmah dan teladan.
Jika seseorang itu membunuh diri, kita tidak lagi layak berbicara hukum. Kita harus berbicara tentang perjuangan dan kekuatan mereka dalam melambatkan perbuatan tersebut. Apakah sepuluh tahun sudah perjuangan mereka? Adakah sudah dua puluh tahun mereka cuba melangsungkan kehidupan? Allah pasti tahu sedalam mana derita mereka, dan kita sewajibnya sayup mendoakan yang baik-baik kepada jiwa-jiwa yang sudah tabah terlalu lama.
Adakah neraka buat jiwa-jiwa yang membunuh diri?
Tidak ada sesiapa yang tahu. Syurga itu dimasuki bukan kerana pahala, namun kerana rahmah. Kerana kasih Allah yang melihat kebaikan seorang manusia yang memberi minum seekor anjing, walaupun dia seorang penzina. Kasih sayang Allah kepada seorang manusia yang memandikan dan mencium peluk babi kerana haiwan tersebut adalah ibu bapanya yang dilaknat oleh Allah. Syurga itu ada bukti cinta yang tulus sehingga ia terlalu sangsi untuk dipercayai.
Penghuni neraka dikenali kerana kesombongan. Iblis, angkuh dengan perintah Allah walau dia lebih tahu Allah Maha Mengetahui. Firaun, angkuh mengangkat diri sendiri sebagai Tuhan sekalian alam sedang dia sendiri gentarkan kematian. Pendosa yang angkuh dengan dosanya, bukan pendosa yang merendah diri mengetahui bahawa dia adalah hamba lemah dan sentiasa harus perlu meminta ampun dari Tuhan yang Maha Pengampun.
Tanyakan kepada diri sendiri, adakah dosa ini dilakukan kerana angkuh atau kerana keterbatasan manusia melawan kelemahan sendiri? Ingat, kekuatan kita berbeza. Dosa kita berbeza. Terlalu perlu untuk kita selalu merendah diri apabila berbicara tentang dosa. Kita harus lantang dan mencanangkan kasih sayang Allah yang tidak malap. Lalu mendoakan untuk diri dan jiwa-jiwa yang sedang membata kekuatan menjalani hidup satu hari lagi.
Apa khabar jiwa-jiwa yang sedang berusaha? Semoga di mana pun kita berada, jiwa-jiwa ini masih mahu menghayati kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya, seiring mahu memperbaiki kepincangan kita dalam melakukan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya. Semoga Allah merahmati kita semua.
Disediakan oleh,
Fatin Farhana A. Wahid