Sejauh mana anda suka membaca? Adakah dengan membaca, fikiran anda akan menjadi tenang? Pernahkah soalan ini menjadi tanda tanya selama menjadi seorang pencinta buku?
Jawapan yang kita temukan pastinya berbeza-beza, bergantung pada tujuan setiap pembaca, yang kemungkinan dipengaruhi dari segi kehendak dan keperluan seseorang. Atas faktor inilah agaknya yang memupuk minat pembaca kearah mana, sama ada meminati buku-buku fiksyen ataupun bukan fiksyen. Boleh jadi juga meminati keduanya.
Bagi saya tidak penting bagaimana caranya seseorang itu mulai mencintai buku, kerana ada hal yang lebih penting untuk difikirkan agar kecintaan itu tidak sekadar kebutuhan yang semu, tetapi menjadikan membaca sebagai satu keperluan hidup juga rutin harian yang menggembirakan dan melapangkan dada.
Umum mengetahui fungsi membaca adalah untuk memperdalam ilmu pengetahuan. Dengan membaca buku-buku yang bermanfaat akan menghasilkan satu kefahaman dan meleraikan pelbagai persoalan hidup.
Membaca adalah jalan mudah untuk mempelajari suatu ilmu, meluaskan pandangan dan memberi gerak fikir dari pelbagai sudut. Membaca juga menyuntik jarum kesedaran disamping dapat membangun daya intelektual yang tinggi dalam kelompok masyarakat.
Membaca adalah sumber kebahagiaan bagi pencinta buku, manakala bagi sesetengah orang pula membaca adalah makanan bagi minda, seperti mana tubuh manusia memerlukan pelbagai sumber berupa zat, protein dan vitamin untuk kekal sihat, begitu pula dengan minda juga memerlukan bahan bacaan yang dapat memberi kebaikan dan manfaat kepada pembaca.
Dengan membaca kita dapat memahami cerita dari pelbagai sudut kehidupan. Ada sebahagiannya yang menjadi inspirasi kepada pembaca, tidak kurang juga iktibar yang boleh diambil sebagai pengajaran.
Salah satu kebaikan membaca dapat menjadi terapi minda dan emosi. Terdapat buku-buku yang bersesuaian untuk dijadikan terapi bagi seseorang yang mengalami sindrom kemurungan dan tekanan perasaan. Tentunya kaedah ini memerlukan nasihat dari yang pakar.
Siapa sangka, hanya dengan membaca mampu membuat seorang pembaca menjadi seorang yang bahagia dan tenang hatinya, seperti membaca kalamullah dapat menyejukkan hati dan sekaligus penunjuk arah jalan yang benar. Bagi orang islam pastinya mendalami dan mentadaburi ayat-ayat Al-Quran membawa kepada ketenangan hati dan kelapangan minda.
Berbahagialah, orang-orang yang suka membaca dan memanfaatkan bacaannya.
Disediakan oleh: Aishah Nerina